Monday 28 February 2011

Goalball insafkan legenda EPL

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR


DENGAN mata yang ditutup gogal hitam, keadaan sekeliling bagi Jesper Blomqvist dan Dominic Matteo menjadi gelap gelita. Tiada langsung cahaya yang dapat dilihat. Kaki yang sebelum itu pantas melangkah, mula menapak perlahan.

Kedua-dua pemain bola sepak legenda dari Manchester United (MU) dan Liverpool itu kemudian dipimpin ke hadapan tiang gol masing-masing. Tiang gol sepanjang sembilan meter itu adalah ukuran penuh sisi lebar gelanggang yang seluas 162 meter persegi.

Sedia menanti mereka adalah empat pelajar yang turut memakai penutup mata dan akan berganding bahu untuk beraksi dalam permainan goalball iaitu sejenis sukan berkaitan bola yang direka khas untuk golongan cacat penglihatan.

Sukan itu memerlukan tiga pemain untuk dua pasukan yang beraksi. Setiap pasukan akan cuba untuk menjaringkan gol dengan cara melontar bola khas yang mempunyai loceng di dalamnya ke gawang lawan.

Walaupun ia kelihatan mudah, namun apabila seorang yang baik penglihatan bertukar menjadi si buta, segala-galanya berubah.

Kelincahan Blomqvist dan Matteo ketika beraksi di padang tidak lagi wujud sebaliknya apa yang dapat dilihat hanyalah pergerakan sangat perlahan dan teraba-raba walaupun cuma untuk bergerak satu kaki ke hadapan.

DALAM permainan goalball penonton perlu sentiasa senyap kerana pemain bergerak berpandukan bunyi loceng yang diletakkan di dalam bola.

“Permainan ini terlalu sukar. Pertama kali mencubanya membuatkan saya bersyukur apabila mempunyai penglihatan sempurna. Meskipun hanya beraksi kurang 20 minit, tetapi ia sangat mencabar.

“Pelajar-pelajar ini sungguh hebat. Di sebalik kekurangan yang dialami (cacat penglihatan), tetapi mereka mampu bermain dengan begitu baik,” kata Blomqvist yang berjaya menyumbang beberapa gol untuk pasukannya.

Dalam perlawanan goalball yang berlangsung di Sekolah Menengah Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Setapak, Kuala Lumpur itu, pasukan Blomqvist (MU) berjaya menewaskan Matteo (Liverpool) dengan keputusan 8-2.

Sukan mencabar
Sementara itu, Matteo yang baru ‘menggantung but’ daripada arena bola sepak Liga Perdana England (EPL) tahun lalu, mengakui betapa sukarnya menjadi orang buta.

‘Kehilangan’ pancaindera penglihatan dalam tempoh yang sesingkat itu juga telah membuatkan dia berasa tidak tentu arah hingga membataskan pergerakan.

“Mula-mula nampak mudah, tetapi apabila mata sudah ditutup semuanya menjadi tidak keruan. Namun, kerjasama yang diberikan ahli pasukan saya sangat dihargai. Meskipun kami tewas tetapi ia satu pengalaman yang cukup bermakna bagi saya,” tutur Matteo yang kini berusia 36 tahun.

Kehadiran Blomqvist dan Matteo ke sekolah tersebut merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Standard Chartered Bank Malaysia (Standard Chartered).

Ia bertujuan bagi mempromosikan projek mereka yang menyasarkan untuk menangani kebutaan yang boleh dicegah atau dipanggil Seeing is Believing (SIB).

PERMAINAN ini mengajar Matteo betapa hidup tanpa daya penglihatan bukanlah mudah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Standard Chartered, Arif Siddiqui, kekurangan diri tidak boleh menjadi alasan untuk manusia gagal mencapai potensi diri dengan sebaik mungkin.

“Justeru, sudah menjadi tanggungjawab kami untuk menguatkan dan membolehkan mereka menjadi yang terbaik yang mereka dapat. Ini boleh dilakukan dengan melengkapkan mereka dengan peralatan yang diperlukan sekali gus menjadi individu bermaklumat dan sempurna,” ujar Ariff.

Dalam pada itu, Pengetua SM Pendidikan Khas Cacat Penglihatan Setapak, Che’ Fatimah Che’ Abdullah, 57, melahirkan rasa gembira di atas kesudian pihak Standard Chartered membawa dua pemain bola sepak legenda EPL menjejakkan kaki ke sekolah mereka.

“Melalui acara sebegini, ia mampu memberi motivasi kepada pelajar-pelajar agar tidak berasa rendah diri dengan kekurangan yang ada. Malah, ia juga membuatkan para pelajar rasa dihargai dan disayangi masyarakat,” kata Che’ Fatimah.

Selain perlawanan persahabatan goalball, pihak sekolah turut menyediakan beberapa persembahan istimewa yang dipersembahkan oleh pelajar yang berbakat seperti nyanyian, dikir barat dan persembahan muzik.

Lawatan dan kehadiran Blomqvist dan Matteo ke sekolah tersebut diadakan bersempena Kejohanan Bola Sepak Piala EPL Masters Malaysia 2011 tajaan Standard Chartered yang akan berlangsung pada 13 Mac ini di Stadium Putra Bukit Jalil.


Sumber: Kosmo Online
(Bukan mudah bermain permainan ini kerana memerlukan kepekaan deria pendengaran, saya sendiri ketika bermain dengan pelajar saya, terkapai-kapai tidak tentu arah mencari arah bunyi balingan bola tersebut dan sudah tentu  ketika itu kita harus bersyukur kerana diberikan peluang untuk melihat)

PERMOHONAN DPLI AMBILAN 2011 DI BUKA

Berminat nak menjadi guru, lepasan Ijazah yang bersesuaian dengan kursus boleh lah memohon menjadi guru.

Permohonan DPLI  ambilan tahun 2011 telah di buka. Untuk maklumat lanjut sila klik di sini
https://online.mohe.gov.my/upu/online1112/allstpm/index_dp.html

untuk makluman kursus bolehlah klik di sini
https://online.mohe.gov.my/upu/emas/index_epanduan.php?pagefunc=epanduan


untuk makluman tentang syarat  khas klik di sini
https://online.mohe.gov.my/upu/emas/index_syarat.php


dan kalau nak memohon klik lah sini
 https://online.mohe.gov.my/olf/web/form?OC=10&CC=27&AS=04
semoga berjaya dan menjadi guru yang terbaik...

586 guru besar terima ganjaran tawaran baru

JASIN: Kerajaan mengotakan janjinya pada hari ini, dengan memberi ganjaran kepada guru besar dan guru yang berjaya meningkatkan pencapaian sekolah pada kedudukan lebih baik melalui Tawaran Baru membabitkan peruntukan RM18.4 juta.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata di bawah Tawaran Baru kepada Guru Besar yang dijanjikan kerajaan pada tahun lalu, hari ini seramai 586 guru besar yang berjaya dari seluruh negara menerima ganjaran tersebut.

"Staf sokongan seperti kerani di 586 sekolah yang berjaya itu juga akan  diberi imbuhan yang setimpal kerana mereka juga memberi sumbangan kepada  sekolah tersebut. Kadar ganjaran belum ditetapkan," katanya selepas menyampaikan Anugerah Tawaran Baru Kepada Guru Besar di Sekolah  Menengah Tun Syed Zahiruddin, Ayer Tawar di Merlimau dekat sini.
Di bawah Tawaran Baru itu, guru besar menerima ganjaran sebanyak RM7,500 diikuti sebanyak lima peratus daripada jumlah keseluruhan guru di sekolah  terbabit akan menerima RM1,800 manakala baki guru lain mendapat RM900.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata pembayaran ganjaran tersebut  akan dibuat serta merta kerana peruntukan telah disediakan. -BERNAMA

Sumber: Berita Harian

Fahamilah masalah OKU

Ramlan (bukan nama sebenar), yang menjalani kehidupan sebagai orang kurang upaya (OKU), melahirkan perasaan tentang betapa sukar bagi beliau untuk masuk ke dalam bank dan restoran kerana tempat-tempat ini tidak mempunyai kemudahan asas untuk golongan cacat fizikal. “Setiap kali bila hendak menjalankan transaksi di kaunter bank atau makan bersama keluarga di restoran, saya menghadapi kesukaran kerana tiada cerun serta laluan kerusi roda atau lif dan rel pegang bagi mereka yang kurang upaya”, kata Ramlan.


Ramlan juga menyatakan kesukaran setiap kali hendak mengeluarkan wang dari mesin wang automatk (ATM).

“Kebanyakan ATM terletak dalam bangunan bank atau dalam stesen minyak. Memang susah nak masuk ke tempat sebegini kerana lokasinya tidak mesra kepada OKU,” kata Ramlan, seorang pesakit polio yang terpaksa mengguna kerusi roda untuk bergerak.

Ini adalah dilema atau masalah besar yang dihadapi oleh mereka yang kurang upaya fizikal di negara ini kerana kebanyakan bank serta restoran adalah tidak mesra OKU.

TIDAK MAHU PERGI BERCUTI

K.Muthu, yang kudung kaki kanannya kerana terlibat dalam kemalangan, berkata beliau agak sukar untuk pergi bercuti bersama keluarga di destinasi pelancongan dalam negara kerana kebanyakan hotel tidak mempunyai kemudahan bagi OKU.

“Tak banyak (hotel) yang punya kemudahan untuk OKU, jadi saya rasa susah untuk pergi melancong. Tidak banyak hotel yang ada laluan kerusi roda. Tidak dinafikan memang ada beberapa hotel menyediakan kemudahan tersebut tetapi bagaimana dengan tandas serta bilik mandi yang sesuai.

“Saya sukar nak mandi dan guna tandas (di hotel), jadi saya tidak mahu pergi melancong dan lebih suka tinggal sahaja di rumah”, kata beliau.

Walaupun terdapat Akta Orang Kurang Upaya (OKU), masih terdapat banyak bank, restoran serta hotel yang tidak menyediakan kemudahan untuk OKU seperti pintu yang besar dan sesuai, laluan kerusi roda, lif dan tandas OKU.

“Malah ada juga hotel di destinasi pelancongan yang tidak ada lif. Jadi bagaimana mereka yang kurang upaya seperti saya hendak pergi bercuti dan melancong”, kata beliau.

AKTA ORANG KURANG UPAYA

Akta Orang Kurang Upaya diluluskan di Parlimen pada 24 Dis 2007 dan diwartakan pada 24 Jan 2008 sebelum dikuatkuasa pada 7 Julai 2008.

Menurut peguam-peguam, ramai OKU merungut bahawa Akta OKU 2008 hanya sebagai akta bercorak pentadbiran dan bukan penguatkuasaan kerana akta tersebut tidak mempunyai kuasa dan tiada tindakan penalti bagi mereka yang tidak mematuhi dan mendiskriminasi OKU.

Tuan punya restoran di Rawang, Ismail Kassim berkata: “Saya tidak sedar wujudnya undang-undang tersebut, bagaimanapun restoran saya terletak dalam bangunan lama dan sukar untuk membuat perubahan bagi tujuan mesra OKU”.

Kata beliau, kebanyakan bangunan yang menempatkan restoran dan bank telah didirikan lebih 10 tahun lepas sebelum Akta OKU dikuatkuasakan.

Seorang lagi tuan punya restoran, di Kota Damansara, yang hanya mahu dikenali sebagai Vijay berkata restoran beliau mempunyai tempat duduk khas di tingkat bawah bagi OKU dan sesiapa yang kurang upaya akan diberi bantuan oleh pekerja restoran bila mereka singgah untuk makan.

“Bagaimanapun kami jarang sekali menerima kunjungan mereka yang kurang upaya tapi kalau mereka datang kami akan beri bantuan. Kami akan cuba tolong seberapa yang boleh”, kata Vijay sambil menambah ketiadaan kemudahan asas bagi OKU mungkin menyebabkan mereka dari golongan ini sukar untuk mengunjungi restorannya.

Tiada undang-undang yang dengan nyata menetapkan setiap bangunan perlu dilengkapi dengan kemudahan kepada OKU dan mungkin atas sebab itu banyak bangunan awam serta persendirian tidak mempunyai kemudahan asas tersebut.

– BERNAMA

11 pelajar dakwa dicabul guru disiplin

Sumber: Berita Harian
Oleh Wan Faizal Ismayatim dan Nor Fazlina Abdul Rahim

Cikgu letak tangan atas dada lepas merotan

KUALA LUMPUR: Sebelas pelajar perempuan Tingkatan Tiga sebuah sekolah menengah di Ampang di sini, mengadu dicabul guru disiplin ketika merotan mereka bagi kesalahan tidak hadir perhimpunan kerana menyiapkan kerja sekolah, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 7 pagi, guru lelaki berusia 40-an itu didakwa meletakkan tangannya pada bahagian dada pelajar terbabit kononnya bagi merasai denyutan jantung ketika merotan punggung mereka. Semua pelajar terbabit sebelum itu dikatakan berada dalam kelas bersama dua lagi pelajar lelaki kerana menyiapkan kerja sekolah sebelum ketidakhadiran mereka ke perhimpunan disedari seorang pengawas. Pengawas itu kemudian mencatatkan nama semua pelajar berkenaan sebelum membawa mereka berjumpa guru disiplin.

Sumber berkata, apabila berjumpa guru disiplin, semua 13 pelajar termasuk dua pelajar lelaki dirotan di punggung dengan guru berkenaan didakwa memegang dada pelajar perempuan kononnya untuk merasai denyutan jantung mereka.

Katanya, berikutan kejadian itu, pelajar perempuan terbabit mengadu kepada ibu bapa mereka sebelum ibu kepada salah seorang pelajar datang ke sekolah pada hari sama untuk mendapatkan penjelasan.

“Ketika wanita itu cuba mendapatkan penjelasan, guru disiplin terbabit dikatakan naik berang dan mencampakkan buku ke lantai menyebabkan wanita terbabit cuba berjumpa pengetua sekolah namun tetap tidak berhasil.

“Berikutan itu, beliau membuat laporan polis pada hari sama,” katanya semalam.

Difahamkan, guru lelaki itu kini ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu tetapi enggan mengulas lanjut kerana siasatan sedang dijalankan.

Pelajar sekolah, IPT tak faham makna al-Fatihah

KUALA LUMPUR: Kajian mendapati ramai pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT) masih tidak memahami erti bacaan al-Fatihah dalam solat mereka, kata Prof Emeritus, Datuk Dr Isahak Haron.
Tokoh akademik dari Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berkata, kajian menunjukkan lebih 80 peratus pelajar Tingkatan Dua dari beberapa sekolah menengah serta penuntut sebuah universiti, gagal menjelaskan makna dalam bacaan al-Fatihah. Beliau berkata, perkembangan itu jelas membimbangkan kerana pemahaman dan penghayatan makna bacaan al-Fatihah amat penting untuk memperoleh kekhusyukan dalam solat, sekali gus memberi lebih kesan ke arah pembentukan Muslim yang dituntut agama. “Justeru, sistem pendidikan Islam di sekolah mesti menitikberatkan aspek pemahaman serta penghayatan dalam mengerjakan sembahyang, dan bukan hanya tertumpu kepada didikan pergerakan fizikal atau bacaan yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Forum Pendidikan Nasional bertema ‘Transformasi Pendidikan Nasional Hadapi Cabaran Pembangunan Ekonomi dan Perubahan Politik’ anjuran Majlis Perundingan Melayu di sini, semalam.

Seterusnya, Isahak berkata, pelajar Melayu dari Tahun Dua hingga Tingkatan Lima yang masih tertakluk kepada pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), dikhuatiri terus lemah dalam dua subjek kritikal itu.

“Mereka akan terus menjadi lost generation seperti kumpulan pelajar yang lalu. Bagi kira-kira 30 peratus pelajar yang gagal teruk dalam Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris di sekolah secara kumulatif, pendidikan di sekolah sudah tidak bermakna. Sekolah tempat mereka ‘gagal’,” katanya

Sumber: Berita harian

Jadual kerja anjal guru elak beban tugas lebih

Sumber: Berita Harian
Oleh Syuhada Choo Abdullah

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran melaksanakan waktu persekolahan satu sesi dari jam 8 pagi hingga 4 petang dengan memperkenalkan jadual kerja anjal untuk guru supaya tidak menanggung beban kerja berlebihan.

Pengerusi Panel Penasihat Sekolah Kluster Kecemerlangan, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, berkata jadual persekolahan selama lapan jam itu dapat memenuhi waktu harian pelajar secara berkualiti, selain mengelakkan mereka daripada terjebak dengan gejala sosial. Melalui pelaksanaan itu, beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran berkata, pentadbiran sekolah boleh menyusun pelbagai aktiviti berfaedah untuk mengisi jadual waktu petang setiap hari tanpa membebankan pelajar dengan pembelajaran akademik semata-mata. “Antaranya, pelajar boleh menjalani aktiviti sukan dan kokurikulum, menyiapkan kerja rumah di bawah bimbingan dan pemantauan guru, mengikuti kelas tambahan bagi melonjakkan prestasi pencapaian mereka atau memasuki kelas pemulihan untuk mereka yang memerlukan bantuan.

“Malah, pihak sekolah juga boleh mengadakan pelbagai aktiviti kemahiran menarik pada sebelah petang seperti kelas seni untuk pelajar dalam aliran sains bagi menggalakkan lagi daya kreativiti.

“Dari segi jadual kerja anjal untuk guru, disarankan sebahagian daripada mereka bertugas mulai jam 8 pagi hingga 1 tengah hari, manakala bakinya dari jam 11 pagi hingga 4 petang ,” katanya selepas menghadiri Forum Pendidikan Nasional bertema ‘Transformasi Pendidikan Nasional Hadapi Cabaran Pembangunan Ekonomi dan Perubahan Politik’ anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) di sini, semalam.

Abdul Rahman berkata, 70 peratus sekolah di negara ini sudah menjalankan sekolah satu sesi tetapi waktu persekolahan hanya dari jam 7.30 pagi hingga 1.30 tengah hari menyebabkan ada pelajar mengambil kesempatan ruang masa selepas itu terjebak dengan gejala sosial kerana ibu bapa bekerja.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan supaya guru permulaan diberi tempoh percubaan selama enam bulan di sekolah bagi memastikan kesesuaian sebenar mereka untuk menjadi pendidik dan jika tidak, wajar dicadangkan mereka mencari kerja lain.

Sunday 27 February 2011

Bukan mudah menjadi guru cemerlang

kat entry ni aku nak tulis apa yang aku perolehi semasa mengikuti seminar guru cemerlang  yang diadakan di Auditorium Mini Putrajaya Kota Kinabalu..

1. Menjadi guru adalah kerjaya yang telah kita pilih , jadi berkhidmatlah sepenuh hati dan tumpukan dengan mendidik  tanpa kerjaya kedua.
2. Rajin membaca untuk menambah ilmu pengetahuan dan pengajaran yang kita ajar
3. Jangan lokek dalam soal kewangan untuk pendidikan pelajar dan jangan harapkan sebarang ganjaran dan imbuhan
4. Kita harus bermula dengan murid yang kurang pandai untuk memberi peluang kepada mereka menjadi pelajar yang cemerlang
5. Sentiasa memberi idea dalam soal meningkatkan akademik pelajar
6. Berani menghadapi cabaran
7. Berani membuat inovasi untuk kemajuan pelajar
8. Ikhlas dan percaya ada rahmat segala apa yang kita buat jika hasil yang kita lakukan tidak dihargai
9. Jangan minta dihargai apa yang kita lakukan kerana sesungguhnya keja yang kita lakukan suatu hari nanti akan mendapat ganjaran untuk diri kita serta keluarga kita.
10 Bila berada di sekolah gunakan sepenuhnya masa dengan aktiviti P&P dan tugas-tugas berkaitan dengan pendidikan dan kurangkan bersembang.

Sesungguhnya seminar tersebut membuka mata ku sendiri supaya menjadi guru yang bergelar cikgu kepada anak murid yang disayangi dan diingati. Terima Kasih kepada  penceramah pada hari tersebut kerana ceramah yang  diberikan  memang berkesan dan bermanfaat.

Wednesday 23 February 2011

soalan lazim berkaitan permohonan ke upu

kalau tak faham tentang kemasukan ke UPU link kat bawah ini ada soalan lazim

http://upu.mohe.gov.my/portal/epanduan/faq.php

Panduan syarat am dan syarat khas

Buat anak didikku yang masih blur dengan syarat am dan syarat khas universiti pilihan anda, di sini cikgu buat entry link untuk panduan anda semua.

syarat am dan syarat khas Universiti Malaya klik di sini
https://online.mohe.gov.my/upu/emas/index_syarat.php?pagefunc=epanduanSyarat&carian1=M&carian2=AS&carian3=A

syarat am dan syarat khas Universiti kebangsaan Malaysia klik di sini
https://online.mohe.gov.my/upu/emas/index_syarat.php?pagefunc=epanduanSyarat&carian1=K&carian2=AS&carian3=A


syarat am dan khas UPSI klik di sini
https://online.mohe.gov.my/upu/emas/index_syarat.php?pagefunc=epanduanSyarat&carian1=A&carian2=AS&carian3=A

Panduan mengisi borang UPU lepasan stpm

Entry kali ini aku postkan link  panduan menisi borang UPU lepasan  STPM. semoga ianya menjadi panduan berguna untuk anda mengisi borang tersebut.

https://online.mohe.gov.my/upu/online1112/allstpm/Panduan_STPM_STAM.pdf

Sikap kejam pencuri beras

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Seorang pemandu treler kecewa dengan sikap orang ramai yang ghairah mengutip beras yang bertaburan dalam satu nahas daripada menyelamatkan dia dan rakannya yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 394.4, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Behrang-Tanjung Malim, Kuala Kubu Bharu kelmarin.

Ahmad Rozlin Ahmad Murad, 22, mendakwa sikap jelik pengguna jalan raya yang tidak menghiraukan rayuannya supaya menghubungi pihak berkuasa untuk menyelamatkan kelindan lori, Hanafi Mohd. Daud, 19, tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Dalam kejadian itu, Hanafi meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan manakala Ahmad Rozlin cedera parah di tangan dan kaki kiri.

Lebih mengharukan apabila Ahmad Rozlin mendakwa dia dibiarkan terlantar selama lebih sejam di atas bahu jalan tanpa dipedulikan oleh orang ramai yang ghairah mengutip 43 tan beras tempatan pelbagai gred yang tumpah selepas kemalangan. Ketika itu dia dalam perjalanan ke Puchong, Selangor dari Perlis.

(Bila sudah ada perasaan tamak dan haloba, manusia sudah hilang akal fikiran, nilai kemanusiaan  tidak dipeduli lagi..yang penting diri sendiri perlu diutamakan terlebih dahulu... apa sudah jadi dengan masayarakat kita  yang sudah jauh terbabas nilai kemasyarakatannya)

IPT bantu pelajar istimewa

Oleh Nik Sukry Ramli
niksukry@bharian.com.my
2010/11/11
Selain prasarana, universiti turut menjalin hubungan dengan industri bagi menyediakan peluang kerja
HASRAT setiap ibu bapa pastinya untuk melihat anak melanjutkan pengajian hingga ke peringkat paling tinggi. Pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan anak yang ditatang bagai minyak penuh itu dapat belajar dalam keadaan selesa, sekali gus cemerlang dalam pelajaran. Walaupun bimbang memikirkan keadaan anak yang mungkin terpaksa hidup sendirian di menara gading kelak, pelbagai kemudahan yang disediakan dapat mengurangkan perasaan itu. Namun, bagaimana dengan nasib orang kurang upaya (OKU)? Jika selama ini, ibu bapa atau ahli keluarga lain menjadi dahan tempat bergantung bagi anak kurang upaya itu, bagaimana keadaannya meniti kehidupan sebagai warga kampus kelak? Persoalan seperti mampukah pelajar OKU khususnya yang cacat penglihatan melalui kehidupan sebagai pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT), antara yang memerlukan jawapan.
Langkah kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperkenalkan Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 membuktikan sikap prihatin terhadap nasib golongan istimewa itu. Walaupun masih banyak ruang masih boleh diperbaiki, langkah terbabit ialah permulaan baik bagi memastikan mereka tidak terus berasa terpinggir daripada arus pembangunan semasa.
Kesungguhan IPT seperti Universiti Malaya (UM) yang sentiasa berusaha menyediakan pelbagai kemudahan bertaraf dunia kepada pelajar OKU sesuatu hasrat yang terpuji dan seharusnya dicontohi pengendali IPT lain.
Kolej Kediaman Ketujuh atau lebih dikenali Kolej Za’ba, UM yang diterajui Prof Madya Dr Rohana Jani antara kolej kediaman IPT memiliki kemudahan paling lengkap untuk golongan OKU.

Walaupun beroperasi di bangunan lama, reka bentuknya diubahsuai dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan dan keselesaan pelajar OKU yang menetap di situ.

“Kami mengamalkan prinsip berbincang dengan pelajar OKU bagi mengetahui keperluan mereka. Pihak pentadbir UM juga banyak memberikan sokongan dalam memastikan pelajar mendapat kemudahan terbaik.

“Usaha ini ialah kesinambungan sumbangan bekas Naib Canselor UM, Datuk Dr Rafiah Salim. Beliau banyak memberikan tumpuan kepada pelajar OKU dan berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan mereka dapat mengikuti pengajian dalam suasana yang menyenangkan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Dr Rohana berkata, faktor kos yang tinggi bagi membuat pengubahsuaian bangunan dan kemudahan antara masalah besar dalam menyediakan infrastruktur yang bagus.

Katanya, kerja-kerja ubahsuai itu terpaksa dilakukan secara berperingkat, namun sehingga kini sudah banyak kemudahan yang baik dapat ditawarkan kepada pelajar berkenaan.

“Kos mengubahsuai kemudahan bilik air misalnya, memerlukan khidmat nasihat daripada pihak berkuasa tempatan. Begitu juga pelbagai infrastruktur lain. Kami turut menyediakan ramp (laluan khas), kemudahan lif dan kaunter khas bagi memudahkan pelajar OKU ini berurusan setiap hari.

“Selain itu, kami mempunyai Jawatankuasa Penambahbaikan Kemudahan OKU yang bermesyuarat tiga tahun sekali. Mesyuarat membabitkan pelbagai agensi seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) yang berperanan merancang pelbagai langkah boleh diambil bagi melengkapkan lagi kemudahan,” katanya.

Beliau berkata, pengendali IPT seharusnya peka dengan keperluan pelajar OKU dan sentiasa bertanyakan mereka kemudahan yang perlu dipertingkatkan.

Katanya, penubuhan Persatuan Pelajar Istimewa UM (PERMIUM) pada 1998 juga menjadi titik-tolak kepada usaha menyediakan kemudahan lebih baik kepada pelajar OKU.

“Sehingga kini kami mempunyai kira-kira 40 ahli PERMIUM dan kebanyakannya sedang mengikuti pengajian pada peringkat pasca siswazah. Ahli PERMIUM ini turut dibantu oleh 17 sukarelawan yang terdiri daripada pelajar biasa.

“Langkah ini sebagai permulaan saja, ketika pelajar OKU masih bersama kami (UM). Sekarang kami sedang giat mencari rakan industri bagi menempatkan pelajar ini di pasaran kerja sebaik menamatkan pengajian,” katanya.

Rohani berkata, sehingga kini peratusan pelajar IPT (OKU) yang ditawarkan kerja sebaik menamatkan pengajian masih rendah, sekitar 0.27 peratus berbanding sasaran 1 peratus yang ditetapkan kerajaan sebaik Akta OKU 2008 diluluskan.

Katanya, pemain industri perlu memberikan peluang kepada pelajar OKU menunjukkan kemampuan mereka dan tidak masih mengamalkan sikap diskriminasi sehingga membuatkan mereka (pelajar OKU) terus rasa rendah diri dan hilang keyakinan untuk bersaing.

Bersyukur UM ambil berat keperluan

KEMUDAHAN lengkap dan sikap ambil berat pihak Universiti Malaya (UM) terhadap pelajar OKU antara menarik minat pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kaunseling, Ahmad Shamsuri Muhamad, terus memilih UM sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) melanjutkan pengajiannya.

Beliau yang mengalami masalah penglihatan berkata, layanan baik diterima daripada tenaga pengajar di samping sikap terbuka diamalkan pengetua Kolej Kediaman Ketujuh (Kolej Za’ba) membuatkan beliau dan rakan-rakan lain berasa selesa.

“Mereka memang selalu berbincang dengan kami dan bertanyakan sekiranya ada kemudahan yang boleh diberi penambahbaikan. Sikap ini membuatkan kami ‘jatuh hati’ dan terus setia di sini.

“Selain itu, tidak banyak IPT lain yang mempunyai kemudahan seperti disediakan UM. Sejak daripada zaman sekolah menengah lagi kami dimaklumkan guru kami mengenai kemudahan yang disediakan di UM, dan sebab itu sebaik diberi peluang melanjutkan pengajian, UM menjadi pilihan pertama,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pendapatnya disokong oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda Ekonomi, Mohd Rizam Mat Noor, yang berpuashati dengan layanan diberikan UM kepada pelajar sepertinya.

“Seperti saya yang mengalami masalah penglihatan, banyak usaha dibuat UM untuk memenuhi keperluan, seperti laluan khas yang dibina dan kemudahan pengangkutan untuk ke bilik kuliah. Cuma, sekali-sekala saya lebih suka berjalan sendiri ke kuliah.

“Pengetua Kolej Za’ba (Prof Madya Dr Rohani Jani) juga selalu bertanya khabar dan bertanyakan kami mengenai kemudahan yang disediakan. Perbincangan melalui PERMIUM juga diadakan dan ini banyak membantu kedua-dua pihak mengenalpasti kemudahan yang diperlukan,” katanya.

Sementara itu, bagi Presiden PERMIUM, Nor Baidillah Bakri, banyak aktiviti dirancang setiap tahun bagi memastikan pelajar OKU tidak merasa rendah diri dengan kekurangan mereka.

Beliau yang sedang mengikuti pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kaunseling), berkata pihak UM juga sudah bersetuju untuk mengambil kira pendapat mereka (pelajar OKU) sebelum menyediakan kemudahan.

“Kami bukan ‘manja’ sehingga membuat pelbagai permintaan, namun dengan adanya perbincangan antara kedua pihak dapat memastikan setiap kemudahan disediakan itu benar-benar diperlukan.

“Sebab itu, jika UM menyediakan kemudahan tanpa meminta pendapat kami, dan sekiranya kemudahan itu tidak dapat memenuhi keperluan, ia akan merugikan,” katanya.
Beliau berkata, UM juga sudah bersetuju untuk memastikan setiap bangunan baru yang akan dibina dalam kawasan kampus utama Lembah Pantai mempunyai ciri-ciri mesra OKU.


(Buat anak didik ku yang akan memohon untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya bacalah artikel ini sebagai panduan yang berguna)

Cantiknya Simpang Mengayau Kudat Sabah




GAMBAR DIPETIK DARI KINABALU BLOG BY DRIZAT

Ini adalah gambar Simpang Mengayau yang dikenali sebagai Tips of borneo  atau penghujung Sabah yang aku petik dari (Kinabalu blog by Drizat). Kenapa aku post kat entry ini sebab aku dan rakanku akan membuat lawatan sambil belajar ke tempat ini dan walaupun aku orang sabah aku belum pernah ke tempat ini. jadi pilihan lawatan sambil belajar kani yang telah kami rancang ialah membuat lawatan ke simpang Mengayau. semoga perancangan kami akan menjadi sebab pandangan kaca mataku gambar yang lihat sangat cantik tempat tersebut..

Doa gangguan sihir




DOA YANG SANGAT WAJAR DIAMALKAN DI ZAMAN INI (AYAT PENGERAK)
Oleh: Ismail bin Abu Bakar
Ada satu doa yang pendek tetapi sangat besar manfaatnya sekiranya diamalkan dalam kehidupan seharian kita. Doa yang dimaksudkan seperti sabda Rasulullah s.a.w. seperti berikut;


 
Rasulullah s.a.w. mengajarkan kepada umatnya satu doa yang jika dibaca tiga kali di waktu pagi dan tiga kali di waktu petang maka akan terhindarlah kepada yang membacanya daripada segala kemudaratan disepanjang hari tersebut. Doa daripada hadis di atas adalah seperti berikut

                                                        
                                            
Mengikut kamus Dewan Bahasa Edisi Ketiga, ”Mudarat” membawa maksud seperti berikut;
1. Tidak Beruntung, Menanggung Rugi
2. Tidak Berhasil, Tidak Berjaya, Gagal
3. Berbahaya
4. Melarat, Bertambah Payah


Dengan itu jika kita amalkan doa yang tersebut di atas, insya’Allah kita akan terhindar daripada ”mudarat” yang disebutkan. Maka dengan itu faedahnya yang diperolehi ialah kita akan;
1. Beruntung, Tidak Menanggung Rugi.
2. Berhasil, Berjaya dan Tidak Gagal.
3. Selamat dari bahaya.
4. Tidak melarat, Menjadi Senang.
Keberuntungan beramal dengan doa ini
Terhindar Daripada Bahaya
Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din menamakan doa ini sebagai ”Ayat Pengerak” kerana dengan membaca doa ini boleh mengerakkan hati kita untuk meneruskan atau tidak bila hendak melakukan sesuatu kerja-kerja yang berbahaya. Tuan Guru memberikan petua bagaimana untuk beramal dengan doa ini seperti berikut;
• Bila hendak memulakan perjalanan samaada perjalanan yang dekat ataupun jauh, mengembara ke tempat yang telah biasa ataupun yang belum pernah dikunjungi dan sebagainya atau untuk memulakan sesuatu pekerjaan yang mungkin biasa atau berisiko seperti masuk hutan untuk berburu, memancing, menyembelih binatang, bekerja di tempat pembinaan, dan seumpamanya, maka sebelum itu bacalah doa ini sebanyak tujuh kali. Insya’Allah, Allah s.w.t akan melindungi kita daripada segala bentuk kemudaratan, kejahatan dan bahaya yang mungkin ada di sekeliling kita.


• Jika bacaan tersekat-sekat atau terlupa atau ketika sedang membaca ada gangguan seperti gangguan telepon berdering, gangguan daripada anak-anak, gangguan daripada rakan-rakan yang menyapa dan sebagainya yang menyebabkan kosentrasi bacaan terganggu, maka berehatlah dahulu. Jangan diteruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Setelah berehat beberapa ketika, baca sekali lagi sehingga tujuh kali bacaan. Jika sekiranya bacaan tujuh kali itu lancar baru teruskan perjalanan atau pekerjaan tersebut. Jika diteruskan juga perjalanan atau pekerjaan sedangkan bacaannya tidak lancar, mengikut pengalaman Tuan Guru, kita boleh terkena dengan kemudaratan yang mungkin ada dihadapan kita.


Perlu diingatkan disini bahawa, insya’Allah kita boleh terlepas daripada kemudaratan yang dinamakan Qada’ Muaalaq iaitu ketentuan Allah yang boleh berubah dengan kita berusaha melalui berdoa kepada-Nya. Bagaimanapun jika ianya Qada’ Mubram iaitu ketentuan Allah yang tidak boleh berubah seperti mati maka kalau ajal telah tiba kita membaca doa ini seribu kali sekali pun pasti kita akan mati.
Terhindar Daripada Kemudaratan Makanan
Makanan dan minuman yang masuk ketubuh badan kita sebahagiannya mengandungi bahan kimia yang beracun. Racun tersebut tidak memberi kesan untuk jangkamasa pendek tetapi terbukti sebahagiannya memudaratkan tubuh badan untuk jangkamasa panjang. Penyakit yang begitu sinonim dewasa ini dalam masyarakat kita seperti kanser, diabetes, dan sebagainya adalah berpunca daripada makanan dan juga minuman. Untuk mengelakkan makanan yang kita makan membawa mudarat kepada tubuh badan adalah disarankan agar mengamalkan doa ini sekurang-kurangnya tiga kali sebelum menjamah apa sahaja makanan dan minuman. Insya’Allah dengan keberkatan membaca doa ini semua makanan dan minuman yang halal, yang dimakan dan diminum tidak memudaratkan tubuh badan kita.


Terhindar Daripada Sihir
Perbuatan belajar dan mengamalkan ilmu sihir hukumnya adalah syirik dan mereka yang syirik akan mendapat balasan laknat Allah s.w.t. dan mereka akan ditempatkan di dalam neraka selama-lamanya melainkan jika sempat bertaubat sebelum mati.

Kesan perbuatan sihir boleh terkena kepada sesiapa sahaja dengan izin Allah s.w.t. Ada sihir untuk tujuan kecantikan seperti memakai susuk dan kebanyakan amalan sihir adalah untuk tujuan khianat yang boleh memudaratkan seseorang dan sesetengahnya boleh membawa maut. Ada perbuatan sihir yang sememangnya ditujukan kepada seseorang kerana dorongan hasad dengki, dan ada juga yang terkena sihir dengan tidak disengajakan seperti secara tidak sengaja termakan makanan dan minuman yang mengandungi santau.

Pengalaman penulis berhenti makan dengan seorang sahabat di sebuah gerai makan. Gerai tersebut terletak di tepi jalanraya. Ketika hendak menjamah makanan, tiba-tiba pinggan kaca yang berisi nasi terbelah dua. Dalam peristiwa yang lain, sahabat penulis itu menceritakan dia pernah minum di sebuah restoran dimana gelas ditangannya pecah sebelum sempat sampai ke mulutnya. Kedua-dua kejadian ini berlaku kerana makanan dan minuman tersebut ada mengandungi sihir santau. Dia terhindar daripada mudarat sihir dengan berkat beramal dengan doa ini setiap kali sebelum menjamah makanan dan minuman.

Dalam hal yang lain pula, ada juga sihir digunakan untuk tujuan melariskan jualan makanan. Unsur-unsur bahan sihir tertentu dimasukkan ke dalam makanan yang menyebabkan sesiapa yang menjamah makanan tersebut akan merasakan masakan tersebut sungguh sedap. Dengan mengamalkan doa ini insyaAllah kita hanya akan merasa yg asal tanpa dipengaruhi faktor lain.

Terhindar Daripada Gangguan Makhluk Halus
Apabila kita pergi ke sesuatu tempat yang pada kebiasaannya tempat tersebut makhluk halus berkeliaran atau tinggal seperti di tepi tasek, di dalam hutan, di bangunan yang telah lama di tinggalkan dan sebagainya, maka kita terdedah kepada gangguan makhluk ini. Namun begitu jika kita beramal dengan doa ini insya’Allah mereka tidak berjaya untuk mengusik, manakut-nakutkan dan memudaratkan kita.

Satu perkara yang penting juga, apabila kita pulang ke rumah dari tempat yang disebutkan di atas, kadang kala makhluk itu akan mengekori kita dan masuk ke dalam rumah kita tanpa kita sedari. Jika kita mempunyai anak-anak kecil mereka mudah diganggu oleh makhluk ini, akibatnya anak kecil kita menangis tidak henti-henti. Untuk mengelakkan mereka masuk ke rumah kita, bacalah doa ini tiga kali kemudian ludah ke sebelah kiri sebelum kita masuk ke dalam rumah.

Di dalam hadis yang tersebut di atas, Rasulullah s.a.w. mengajarkan supaya membaca doa ini tiga kali, dengan itu mungkin kurang berkesan jika kita membacanya kurang daripada tiga.

Semoga artikel pendek ini memberi manfaat kepada yang membaca dan mengamalkannya, insya'Allah.

Sumber dipetik dari : Darussyifa Online

Tuesday 22 February 2011

Terpaksa tolak tawaran universiti

Oleh NORAZMAN ABDUL RAHIM
berita@kosmo.com.my


NORAZIM menghidap penyakit saraf dipapah oleh ibu dan ayahnya di rumahnya di Tenggaroh 5, Mersing semalam.

MERSING – Biarpun mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang diumumkan baru-baru ini, hasrat untuk melanjutkan pengajian ke menara gading terpaksa ditolak ekoran penyakit saraf yang dihidapi sejak berusia 12 tahun.

Pelajar malang berkenaan, Norazim Ngadiran, 21, dari Felda Tenggaroh 5, di sini, berkata, ekoran itu, dia tidak boleh berjalan melainkan dengan bantuan kerusi roda dan sentiasa mengharapkan bantuan keluarga untuk bergerak.

“Sepanjang belajar di sekolah, ibu saya sentiasa ada bersama saya tetapi kalau saya terima tawaran universiti, siapa yang akan bantu saya sepanjang di sana nanti?” katanya.

Norazim memberitahu, pelbagai usaha dilakukan untuk merawat penyakitnya, namun masih belum menunjukkan sebarang hasil.

Anak keempat daripada lima adik-beradik itu memperoleh keputusan 5A dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

sumber: Kosmo Online

Telefon awam di sekolah dipertingkat

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Kementerian Pelajaran akan berusaha mempertingkatkan kemudahan telefon awam di kawasan sekolah agar dapat membendung gejala pelajar membawa telefon bimbit ketika waktu persekolahan.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, perkara itu sekali gus akan menjawab persoalan mengenai pelajar yang menghadapi kesukaran menghubungi ibu bapa atau penjaga ketika di sekolah.

"Apabila masalah itu diatasi maka tiada lagi alasan kenapa pelajar termasuk yang tinggal di asrama harus membawa telefon bimbit ke sekolah.

"Membawa telefon bimbit ke sekolah memang banyak mendatangkan masalah berbanding kebaikan kepada pelajar," katanya ketika di hubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan khas Utusan Malaysia yang mendedahkan kegiatan pelajar yang bebas membawa telefon bimbit ke sekolah.

Laporan tersebut turut menyatakan bahawa surat pekeliling kementerian mengenai larangan penggunaan telefon bimbit tersebut seolah-olah sudah diabaikan oleh pelajar dan pihak sekolah.

Menurut Ka Siong, mesyuarat Jawatankuasa Induk Disiplin yang diadakan tahun lepas telah memutuskan agar larangan itu kekal dilaksanakan.

"Perkara ini telah diumumkan oleh bekas Ketua Pengarah Pelajaran tahun lalu, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

"Oleh yang demikian, pihak sekolah perlu melakukan pemantauan dan pemeriksaan ke atas pelajar dari semasa ke semasa," katanya.
sumber: Utusan Melayu

Kemerosotan keputusan STPM 2010 akan dikaji

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Kementerian Pelajaran akan mengkaji punca kemerosotan peratusan lulus penuh Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2010 di seluruh negara yang diumumkan semalam.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kementerian akan menyediakan analisis bagi mengenal pasti punca penurunan peratusan lulus penuh itu sebelum tindakan seterusnya diambil.

Selain itu, kata beliau, tindakan menempatkan guru berpengalaman dan berkualiti di luar bandar tidak semestinya langkah tepat untuk merapatkan jurang prestasi antara calon bandar dan luar bandar.

"Kebanyakan sekolah di luar bandar mahupun di kawasan pedalaman mempunyai guru yang berpengalaman mengajar lebih daripada lima tahun dan bukanlah hanya dipenuhi dengan guru baru lepasan maktab sahaja.

"Masih banyak perkara yang perlu dikaji sebelum mengambil tindakan bagi memastikan ia benar-benar berkesan dan memastikan keputusan lulus penuh dapat ditingkatkan semula," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seramai 50,576 calon menduduki STPM tahun lalu dan hanya 46,780 atau 92.49 peratus calon lulus penuh bagi sekurang-kurangnya satu mata pelajaran.

Peratusan calon yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran juga menunjukkan penurunan iaitu dari 47.72 peratus atau 25,001 calon yang dicatatkan pada 2009 berbanding 46.41 peratus (23,473 calon) tahun lalu.

Selain itu, 11 lagi mata pelajaran turut menunjukkan penurunan prestasi iaitu Bahasa Malaysia, Pengajian Am, Seni Visual, Perakaunan, Kesusasteraan Melayu, Kesusasteraan Inggeris, Geografi, Biologi, Ekonomi, Matematik S dan Bahasa Arab.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan berkata, kajian tersebut perlu dilakukan secara menyeluruh meskipun terdapat sesetengah pihak beranggapan ia tidak serius.

Katanya, jika perkara tersebut tidak ditangani segera, dibimbangi pelajar lepasan STPM tidak mampu bersaing dengan penuntut program matrikulasi mahupun diploma.

Tegasnya, lebih serius peratus lulus bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia turut menunjukkan penurunan pada tahun lalu.

"Penurunan tersebut perlu dikaji dengan teliti bagi mengenal pasti sama ada pendekatan memartabatkan bahasa kebangsaan itu masih rendah dan tidak menonjol.

"Kesan pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik juga perlu dikaji sama ada turut menjadi punca penurunan bagi mata pelajaran tersebut," katanya.

Jelas Mohamad Ali, kementerian perlu mengesan penurunan keputusan STPM 2010 dan mencari langkah terbaik mengatasinya yang juga merangkumi langkah jangka pendek, pertengahan dan panjang.

sumber: Utusan Melayu

KARNIVAL PENGAJIAN TINGGI NEGARA 2011

LOKASI PAMERAN
KARNIVAL PENGAJIAN TINGGI NEGARA 2011

ZON TARIKH NEGERI LOKASI
ZON 1 14 – 15 Januari 2011 Terengganu Terengganu Trade Centre, Terengganu
(Majlis Pelancaran)

ZON 2 22 – 23 Januari 2011 Melaka /
Negeri Sembilan Melaka International Trade Centre (MITC), Melaka

ZON 3 29 – 30 Jan 2011 P. Pinang Penang International Sports Arena (PISA), Pulau Pinang

ZON 4 12 -13 Feb 2011 Kelantan Kelantan Trade Centre & Stadium Sultan Muhammed Ke-IV
Kota Bharu, Kelantan

ZON 5 19 -20 Feb 2011 Kedah / Perlis Dewan 2020, Perlis

ZON 6 26 – 27 Feb 2011 Sabah Suria Sabah, Kota Kinabalu, Sabah

ZON 7 5 - 6 Mac 2011 Pahang Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah,
Kuantan, Pahang

ZON 8 12 – 13 Mac 2011 Johor PERSADA,
Johor Bahru, Johor

ZON 9 19 – 20 Mac 2011 Sarawak Permata Exhibition Centre
Kuching, Sarawak

ZON 10 26 – 27 Mac 2011 Perak Dataran Majlis Bandaraya Ipoh, Perak

ZON 11 2 – 3 April 2011 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur / Wilayah Persekutuan Putrajaya / Selangor MINES International Exhibition Centre,
Seri Kembangan, Selangor
(Majlis Penutup)

Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar
Jabatan Pengajian Tinggi
Kementerian Pengajian Tinggi
(Bagi mereka yang baru menerima keputusan STPM, jangan lepaskan peluang untuk menjengah sekejap di Karnival ini. Banyak Info yang boleh diperolehi. Jangan segan bertanya)

Sighted Guide Techniques

Panduan bagi mereka yang mahu membantu memimpin mereka yang kurang upaya penglihatan

Bagaimana membantu orang Buta

Entry kali ini aku postkan tentang bagaimana cara membantu orang buta yang aku petik dari  Komuniti OKU untuk dijadikan teladan dan pengalaman berguna.

Cara-cara meminpin orang buta ketika berjalan. Ketika berjalan, tangan orang buta mesti berpegang pada bahagian siku orang yang membawanya. Ini bertujuan untuk memudahkan pergerakan orang yang dipimpinnya dan orang yang meminpinnya. Apabila berada di sesuatu tempat yang sempit, orang yang dipimpin mesti berada di belakang orang yang meminpin. Ini bertujuan supaya si buta itu tidak melanggar objek dan memudahkan si buta itu berjalan. Dan, ia seterusnya memudahkan pergerakan orang yang meminpin. Semasa meminpin orang buta, tolonglah jangan dipegang tongkat si buta itu. Ini adalah kerana, tongkat itu, ibarat mata bagi orang buta. Jadi, bila tongkat sudah dipegang, ianya amat merbahaya sekali bagi orang buta itu. Pernah berlaku satu kes di mana seorang buta telah terjatuh ke dalam longkang akibat tongkatnya telah dipegang oleh orang yang membawanya. Satu lagi, apabila si buta itu memegang siku anda, pergerakan anda termasuk naik atau turun tangga, dapat dirasakannya dengan mudah dan berkesan. Sekarang, kita nak pergi pula ke cara-cara menghidangkan makanan dan minuman pula. Apabila membawa si buta ke kedai makan, warung atau restoran, bila dah berhenti di sesebuah meja, ambilkan kerusi dan ambil tangannya untuk memegang kerusi tersebut dan baru suruh dia duduk. Ini amat penting sekali. Manalah nak tau, kot-kot tersalah duduk, memanglah duduk lantai. Selepas itu kalau dapat, beritahu apa yang terdapat di atas meja. Apabila makanan dan minuman yang dipesan telah sampai, tolong beritahu, apa yang ada di depan si buta tu. Dan kalau boleh, ambil tangan mereka dan bagi mereka pegang cawan dan pinggan yang terdapat di atas meja. Jangan bagi mereka pegang makanan dan air minuman pulak. Siapa yang nak makan lepas tu? Perlu diingatkan di sini, orang buta ni, dia makan banyak cara. Ada yang makan, tak tumpah walau setitik pun kat meja. Tapi, ada pulak tu macam aku ni, amboi, macam cakar ayam saja makan. Mesti ada yang tertumpah ke atas meja. Maklumlah buta kan? hahahahahahaha. Jadi, anda janganlah malu-malu untuk tolong dia makan. Maksudnya, kalau ada yang nak tertumpah tolong masukkan ke dalam pinggan/mangkuk itu kembali. Kalau dah terjatuh atas meja, tak payahlah. Itulah serba sedikit penerangan kali ini.

Sumber:  Ultraman Blind Pulau Pinang Malaysia.(Komuniti OKU)

Monday 21 February 2011

'Buta mata, bukan buta hati'

JOHOR BAHRU 21 Feb. - Cacat penglihatan tidak menghalang pelajar Maktab Sultan Abu Bakar di sini, Muhamad Nadhir Abdul Nasir mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Anak ketiga daripada enam beradik itu mendapat 3A 1B iaitu memperoleh A dalam mata pelajaran Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Sejarah dan B bagi Pengajian Perniagaan dan bercita-cita menjadi seorang usahawan berjaya suatu hari nanti.
Beliau yang bersekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru menjadi pelajar cemerlang negeri Johor bagi kategori calon istimewa - cacat penglihatan.
Dia nyata gembira dengan kejayaan tersebut, namun cukup merendah diri apabila ditanya tentang resipi kejayaannya.
"Saya bukan seorang yang bijak, genius dan tak berbakat, maka saya perlu berusaha lebih gigih daripada orang lain dan keputusan ini jawapan kepada usaha itu," katanya yang ingin menyambung pengajian dalam bidang perniagaan.


Muhamad Nadhir menetap di Taman Seri Lembah, Kluang merupakan antara pelajar cemerlang STPM yang diumumkan oleh Pengarah Pelajaran negeri, Markom Giran di Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di sini hari ini.
Beliau yang cacat penglihatan tahap dua sejak berusia sembilan tahun memberitahu, Sejarah satu-satunya subjek yang dipelajari menggunakan tulisan Braile manakala yang lain belajar seperti biasa.
Dalam pada itu, ibunya, Noormah Abu Bakar, 50, gembira pencapaian anaknya itu yang meneruskan keputusan membanggakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dicapai sebelum ini iaitu 7A 1B.
"Saya bangga dengan Muhamad Nadhir kerana dia tidak pernah menggunakan kekurangan yang ada sebagai alasan," ujarnya.
Sementara itu, pelajar cemerlang keseluruhan negeri, Low Chea Yee, 19, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sultan Abu Bakar, Muar dekat sini memberitahu, rahsia kejayaannya adalah belajar setiap hari terutama pada waktu pagi.
Dia yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik dan mendapat 5A memilih untuk belajar pada awal pagi kerana ketenangan yang dinikmati pada waktu itu amat sesuai untuk mengulang kaji pelajaran.
"Saya berhasrat untuk meneruskan pelajaran dalam bidang perubatan dan Universiti Malaya merupakan pilihan utama saya," katanya yang merupakan anak seorang pekerja kilang dan ibunya seorang suri rumah.

Pasangan kembar, Goh Guo Dong dan Goh Guo Liang daripada Maktab Sultan Abu Bakar di sini yang turut mencatat keputusan cemerlang STPM kali ini berkata, setiap hari mereka memperuntukkan sekurang-kurangnya dua jam untuk mengulang kaji pelajaran.

Mereka yang berkongsi buku teks untuk mengulang kaji pelajaran juga mempunyai cita-cita yang sama iaitu ingin menjadi jurutera dan berhasrat meneruskan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia.

Sumber: Utusan Melayu

Calon anak tempatan diutamakan menjadi guru

21 February 2011 19:17   
\KOTA KINABALU - Kementerian Pelajaran akan memberi keutamaan kepada calon anak tempatan yang akan mengajar di Sabah dan Sarawak, namun kualiti guru tidak boleh dikompromi.
Ketika menegaskan perkara itu, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, turut berpendapat bahawa keutamaan harus diberi kepada penduduk Sabah dan Sarawak untuk mengajar di kedua-dua negeri itu, asalkan mereka berkelayakan.
"Pendirian kementerian kami ialah kami mesti mendapatkan calon berkelayakan untuk memohon Kursus Perguruan Lepas (KPL) SPM dan Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI).
"Kami tidak boleh menawarkan tempat kepada sesiapa sahaja, jika calon tidak boleh menamatkan latihan kerana tidak memenuhi syarat kelayakan asas, kami tidak mahu terjerumus dalam keadaan ini.
"Dalam kata lain, untuk memberi keutamaan kepada anak Sabah dan Sarawak, kami tidak boleh terus menerus memberi guru sementara kepada Sabah.
"Kami mahu mereka mendapat guru berkelayakan dan jika kami tidak memberi mereka guru berkelayakan, mereka akan berkata kami meminggirkan Sabah dan Sarawak. Jadi anda boleh lihat betapa kami berada dalam kedudukan yang sukar," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak SJK (C) Chee Hwa di sini Isnin.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang menggesa kementerian supaya melanjutkan kontrak 578 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di Sabah yang tamat pada tahun lepas.
Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata perlanjutan kontrak itu perlu memandangkan berlaku kekurangan guru di Sabah, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman, namun kementerian itu sebaliknya mempertimbangkan untuk menghantar guru dari Semenanjung Malaysia untuk mengatasi masalah itu.
Wee berkata saban tahun kementerian menerima beribu-ribu permohonan bagi jawatan guru dalam semua kategori sekolah.
Beliau berkata kementerian berharap ahli politik dan kalangan pemimpin di Sabah memberi sokongan dengan membawa lebih ramai anak tempatan yang berminat dalam profesion berkenaan serta menggesa mereka supaya menghadiri temuduga terbuka pada Mac ini.
"Pengambilan bagi KPL SPM akan bermula bulan depan dan saya harap penduduk Sabah akan mengambil inisiatif dengan memohon kemasukan ke institut latihan perguruan untuk meningkatkan jumlah guru berkelayakan," katanya.

Sabtu lepas, Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata kerajaan akan terus menghantar guru dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak, sehingga kedua-dua negeri terbabit mempunyai gurunya sendiri yang cukup untuk memenuhi keperluan.
Dr Mohd Puad berkata kedua-dua negeri berkenaan masih tidak dapat memenuhi kuota guru berdasarkan permintaan, walaupun dengan temuduga terbuka diadakan di kedua-dua negeri itu. - BERNAMA

kurang upaya dan kemiskinan bukan penghalang

21 February 2011 19:21   
KUALA LUMPUR - Kurang upaya dan kemiskinan hidup bukan penghalang kepada seseorang itu untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang diumumkan Isnin.
Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St John, Mohd Rifaat Hussin yang cacat penglihatan dan pelajar istimewa Low Hong Ping serta Syivero Patrick, pelajar SMK Kota Marudu, Sabah, kekurangan yang dihadapi tidak sedikit pun melunturkan semangat mereka untuk mencapai keputusan 4A dalam STPM 2010.
Mohd Rifaat, anak bongsu daripada tiga adik beradik, terpaksa berdepan cabaran di mana beliau mengikuti kelas bersama-sama dengan pelajar normal.
Beliau bernasib baik kerana kawan-kawan sekelas sudi menghulurkan bantuan selain daripada sokongan guru-guru yang tidak pernah membezakan antara pelajar normal dan kurang upaya sepertinya.
"Dalam kelas, saya belajar dengan pelajar normal yang lain terutamanya apabila cikgu menulis di papan hijau. Saya tidak boleh melihat dan meminta kawan-kawan membacakan kepada saya apa yang ditulis itu," katanya.
Mohd Rifaat, dari Seremban, Negeri Sembilan, yang mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan sama ada di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) atau Universiti Malaya (UM), berpendapat bahawa kecacatan tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada seseorang itu untuk berjaya dalam hidup.

"Saya ingin menjadi seorang guru kerana saya hendak membantu orang-orang macam saya supaya sama-sama berjaya dalam hidup.

"Saya terkejut apabila mengetahui saya adalah antara pelajar terbaik STPM hari ini. Saya hanya dimaklumkan oleh pengetua supaya menghadiri majlis hari ini tapi tidak tahu yang saya adalah antara yang terbaik," katanya.

Mengenai sesi belajar yang diamalkan, Mohd Rifaat yang mencatat keputusan 4A dalam Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Kesusasteraan Melayu dan Pengajian Perniagaan berkata tumpuan penuh diberikan ketika di dalam kelas, dan menggunakan masa dua jam sehari di sebelah malam untuk mengulang kaji pelajaran.

Seorang lagi pelajar SMK St John, Low Hong Ping, calon istimewa kategori spastik pula mencatat keputusan 4A dalam Pengajian Am, Ekonomi, Pengajian Perniagaan dan Matematik Statistik.

Menurut ibunya, Cheong Yee Yee, 50, beliau bangga kerana anaknya yang serba kekurangan itu mencapai keputusan cemerlang dalam STPM.

Katanya keadaan kesihatan Low yang terbatas ternyata tidak menghalang kegigihan anak bongsunya itu untuk belajar sekaligus mencatat keputusan membanggakan.

"Saya tahu, anak saya sentiasa fokus dalam kelas dan mengulang kaji pelajaran selagi mampu sebab dia tidak boleh belajar sehingga lewat malam kerana keadaannya kesihatannya yang tidak mengizinkan. Di sekolah pula, Low sentiasa dibantu kawan-kawan dan orang gaji sentiasa menemani Low kerana banyak perkara yang dia tidak boleh lakukan sendiri," katanya.

Cheong berkata Low sangat berminat dalam bidang ekonomi dan mungkin melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya (UM), yang berdekatan dengan rumah mereka.

Tidak seperti kebanyakan remaja di bandar yang menghabiskan cuti sekolah dengan aktiviti melancong, Syivero Patrick, anak kelahiran Kota Marudu, Sabah, pula menghabiskan cuti hujung minggu atau cuti sekolah dengan membuat kerja-kerja sambilan bagi mendapatkan wang belanja untuk membeli keperluan sekolah.

"Saya bekerja sendiri, kadang-kadang saya tolong orang buat rumah atau tolong ibu bapa bersawah. Saya mahu bantu orang tua saya kerana mereka juga perlu menyara abang saya yang belajar di universiti," katanya.

Syivero, yang berazam untuk mengubah nasib keluarganya itu, berhasrat melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya (UM) dalam bidang perakaunan atau pendidikan.

"Saya biasanya mengamalkan sistem ulang kaji secara santai, tidak terlalu menekan tapi yang penting saya berikan tumpuan penuh dalam pelajaran di dalam kelas," katanya.

Syivero mendapat keputusan 4A dalam mata pelajaran Pengajian Am, Geografi, Ekonomi dan Pengajian Perniagaan dan 1B dalam Sejarah.

Pasangan kembar dari SMJK Katholik Petaling Jaya, Charlotte Teong Chuin Yi dan Aimee Teong Chuin Ai pula sentiasa menghabiskan masa bersama-sama mengulang kaji pelajaran.

Kedua-dua mereka memperoleh keputusan 5A dalam mata pelajaran Pengajian Am, Matematik Tulen, Fizik, Kimia dan Biologi.

"Kami aktif dalam bidang sukan dan ini tidak menghalang kami untuk memberi tumpuan dalam pelajaran. Yang penting adalah tumpuan di dalam kelas, apa yang cikgu ajar dan nasihat, kami patuhi," kata Aimee yang berminat melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan manakala Charlotte pula mahu meneruskan pengajian dalam bidang undang-undang.

Mereka adalah antara 10 pelajar cemerlang dari seluruh negara yang diberi ganjaran wang RM1,000, sijil penghargaan dan plak oleh Majlis Peperiksaan Malaysia. - BERNAMA

MUET Tiga kali setahun

21 February 2011 19:22


KUALA LUMPUR - Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) akan menawarkan ujian Malaysian University English Test (MUET) sebanyak tiga kali setahun mulai tahun depan.

Pengerusi MPM Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak berkata bilangan sesi ujian ini ditambah bagi menampung keperluan dan permintaan pelanggan yang semakin bertambah setiap tahun.

"Peningkatan kepada bilangan pelanggan menunjukkan petanda yang baik terhadap keperluan MUET ini.

"Mulai tahun depan, sesi ujian dijalankan pada Mac, Julai dan November berbanding sebelum ini sebanyak dua sesi pada April dan November sahaja," katanya kepada pemberita ketika pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Anugerah Pelajar Cemerlang STPM dan MUET 2010, di sini Isnin.
Seramai 94,117 calon menduduki MUET pada akhir tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 13.15 peratus berbanding jumlah calon MUET pertengahan tahun iaitu sebanyak 81,743 calon.

Beliau berkata secara keseluruhan, prestasi calon MUET akhir tahun telah meningkat sebanyak 46.02 peratus calon, mendapat Band 3 atau lebih baik berbanding dengan 33.87 peratus pada MUET pertengahan tahun lepas.
Pada majlis hari ini, dua pelajar cemerlang MUET pertengahan dan akhir tahun lepas turut diberikan ganjaran iaitu Lim Yi Wen dari Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist (ACS) Ipoh dan Ding Choon Ken dari Universiti Multimedia (B), Cyberjaya. Kedua-dua pelajar ini mendapat keputusan Band 6 dalam peperiksaan MUET 2010. - BERNAMA

STPM Sabah dan Sarawak

KUCHING - Tidak ketagih kepada laman web sosial, Facebook, merupakan salah satu rahsia anak seorang tukang kayu, Chai Swee Fen, 20, mencatatkan keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun lepas.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Lintang itu merupakan salah seorang daripada 13 pelajar di negeri ini yang berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00
Chai yang berminat dalam mata pelajaran Matematik, Biologi dan Kimia berhasrat untuk melanjutkan pelajaran di National University of Singapore (NUS) atau Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang farmasi.
"Saya akan sentiasa layari, termasuk berbual dengan rakan-rakan saya untuk menyihatkan minda dan mendapat pengetahuan tambahan. Bagaimanapun, saya tidak ketagih dengan Facebook," katanya kepada pemberita selepas mendapatkan keputusan STPM di SMK Batu Lintang di sini Isnin.
Di Sarawak, seramai 13 calon Sekolah Menengah Kebangsaan di negeri ini mencapai 4.0 PNGK manakala seramai 870 pelajar telah mendapatkan 3.0 ke atas.
Seramai 5,912 pelajar telah menduduki peperiksaan STPM di Sarawak pada tahun lalu dan 298 orang atau 5.04 peratus adalah calon persendirian.
Pada keseluruhannya, seramai 5,191 orang atau 92.47 peratus calon sekolah telah mendapat sijil STPM pada tahun lalu berbanding 5,228 calon (91.56 peratus) pada tahun 2009.
Daripada jumlah calon tersebut, seramai 37 calon lulus penuh dalam lima mata pelajaran (5P), 2,121 calon lulus penuh dalam empat mata pelajaran (4P), 1,233 calon lulus penuh dalam tiga mata pelajaran (3P) dan 938 calon lulus dalam dua mata pelajaran (2P) manakala 862 calon lulus dalam satu mata pelajaran (1P).
Keputusan STPM tahun lalu mencatatkan peningkatan peratusan dalam 11 mata pelajaran iaitu Computing, Usuluddin, Literature in English, Pengajian Perniagaan, Bahasa Arab, Seni Visual, Perakaunan, Sejarah, Bahasa Malaysia, Bahasa Cina dan Matematik Statistik.
Mata pelajaran Literature in English dan Matematik Lanjutan Tulen telah mencatatkan 100 peratus lulus.
Di KOTA KINABALU, Pengarah Pelajaran Sabah Datuk Dr Muhiddin Yusin mengumumkan sebanyak 88.51 peratus atau 5,221 pelajar daripada 6,185 pelajar di negeri ini yang mengambil peperiksaan STPM tahun lepas lulus penuh berbanding 60.17 peratus pada tahun sebelumnya atau penurunan sebanyak 1.66 peratus.
"Saya rasa penurunan ini ada kaitan dengan pencapaian calon-calon ini dalam beberapa mata pelajaran

"Saya dapati yang banyak berlaku penurunan yang agak ketara berbanding tahun 2009 adalah Bahasa Arab yang menurun sebanyak 24.23 peratus, Perakaunan (15.08 peratus) dan Usuluddin (9.43 peratus)," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan keputusan STPM di SMK Perempuan Likas di sini.
Bagaimanapun, sebanyak 12 sekolah mencapai 100 peratus kelulusan berbanding 11 sekolah berbanding tahun sebelumnya, iaitu SMK Agama Limauan di Papar, SMK Perempuan Likas di Kota Kinabalu, SM Lok Yuk Likas (Kota Kinabalu), Sekolah Tinggi Kota Kinabalu, SMK Keningau II (Keningau), SM Kunak Jaya (Kunak), SM Ken Hwa (Keningau), SM St Patrick (Tawau), SMJK Tiong Hua (Sandakan), SM La Salle (Kota Kinabalu) dan SMK Jambatan Putih (Tawau). - BERNAMA

boleh membantu kah ni..

untuk  pelajar STPM yang baru  sahaja mengambil keputusan STPM, ada saya linkkan Cut Pointer Average sebagai panduan untuk  memasuki IPTA pilihan

HOW TO USE THIS DATA?
Basically, applications to the Public University are made based on CGPA pointers i.e 0.00 to 4.00. Therefore, the students are advised to carry out some research on the statistical data on Average Cut-Off Points for the previous year intakes. Therefore, tamiliyakkam has listed the statistical data for the year 2008/2009 intake and also for the previous year intakes to help the STPM students to choose courses in Public University for the year 2009/2010 intake. For your information, these data were obtained from http://quansheng.org and also from our network among local University students.
MAX Very Safe to apply  LOW RISK

MEAN Safe to Apply LOW RISK

REC Risky To Apply MODERATE RISK

MIN Very Risky to Apply HIGH RISK

sila link di sini
http://tamiliyakkam.com/UM09.html
http://tamiliyakkam.com/USM09.html
http://tamiliyakkam.com/UKM09.html
http://tamiliyakkam.com/UPM09.html
http://tamiliyakkam.com/UTM09.html
http://tamiliyakkam.com/UMS09.html
http://tamiliyakkam.com/UNIMAS09.html
untuk lebih lanjut sila link kat sini untuk makluman seterusnya website berikut
http://tamiliyakkam.com/IPTA_2009_2010.html

semoga ini menjadi panduan buat anda semua untuk membuat pemilihan kursus.
 sumber: http://www.tamiliyakkam.com/

46,780 calon STPM 2010 lulus penuh

46,780 calon STPM 2010 lulus penuh
2011/02/21

PUTRAJAYA: Seramai 46,780 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2010 atau 92.49 peratus lulus penuh, menurut Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam satu pengumuman, hari ini.

Daripada jumlah itu, 2,995 calon lulus penuh lima mata pelajaran. Penurunan dicatatkan bagi calon yang mendapat Gred A dalam lima mata pelajaran iaitu lapan pelajar berbanding 15 pada 2009. Bagi lapan calon yang mendapat Gred A dalam lima mata pelajaran turut membabitkan empat daripadanya mencapai Gred A dalam semua kertas peperiksaan yang diambil, iaitu 13 kertas bagi aliran Sains dan 10 atau 11 kertas aliran Sastera.

Sunday 20 February 2011

kecemerlangan menjadi milik kamu sudah

Tahniah.. tahniah sekalung tahniah cikgu ucapkan buat kesemua anak didikku pelajar pendidikan khas kerana mencapai keputusan cemerlang dan membanggakan. Sesungguhnya kejayaan itu ada milik anda setelah anda berhempas pulas dalam serba serbi kekurangan. Cikgu teringat apa yang kamu semua katakan kekurangan bukan penghalang dan akhirnya kamu berjaya membanggakan ibu bapa, guru dan rakan-rakan sekalian. Buat Aziz abidin tahniah kerana menjadi pelajar cemerlang bukan sahaja untuk cemerlang untuk pendidikan khas tetapi juga menjadi cemerlang dan pelajar terbaik untuk sekolah. Tahniah.....
Selepas ini hala tuju kamu adalah memilih IPTA dan kursus yang terbaik. semoga berjaya..

Berilah mereka peluang

Diminta timbang serap GSTT

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
utusansabah@utusan.com.my

KOTA KINABALU 20 Feb. - Kementerian Pelajaran diminta menimbang untuk menyerap semua Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang telah ditamatkan kontrak baru-baru ini bagi mengatasi masalah kekurangan guru di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, bagi mengatasi masalah itu juga kementerian itu diminta memberikan keutamaan dan peluang kepada guru berasal dari negeri ini berkhidmat di Sabah.

"Jadi kita perlu bertanya kalau ada kekosongan dan kekurangan guru kenapa pula GSTT yang memang mempunyai ijazah itu dilepaskan.

"Malah saya juga ingin bertanya, kalau ada kekurangan di sini (Sabah) kenapa pula budak-budak kita dihantar ke Semenanjung," katanya.

Beliau menjelaskan demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran kem kesihatan dan kempen derma darah sempena ulang tahun ke-25 Parti Bersatu Sabah di Megaloong Mall di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Dr. Yee Moh Chai.
Baru-baru ini seramai 500 GSTT di negeri ini tidak disambungkan perkhidmatan selepas kontrak mereka tamat.

Tegas Pairin, usaha menampung kekurangan guru di negeri ini tidak akan dapat diselesaikan dengan hanya mengimport guru-guru dari Semenanjung.

Malah katanya, pelantikan guru-guru dari Sabah juga lebih efektif memandangkan mereka lebih memahami keadaan dan situasi di negeri ini.

"Kita tidak lagi perlu memindahkan guru-guru daripada tempat lain (Semenanjung) ke sini kerana kita tahu banyak di antara mereka yang datang ke sini tidak begitu selesa kerana tidak biasa dengan keadaan di sini," jelas beliau.
Sementara itu, Pairin berharap Kementerian Pelajaran melakukan tindakan segera bagi mengatasi masalah kekurangan guru di negeri ini yang telah berlarutan sejak sekian lama.
Beliau berharap lebih ramai rakyat negeri ini diberi peluang untuk mengikuti latihan perguruan seterusnya mengisi kekosongan guru

telefon bimbit

KUALA LUMPUR 20 Feb. – Apa sudah jadi dengan surat pekeliling Kementerian Pelajaran mengenai larangan penggunaan telefon bimbit di sekolah?

Hasil siasatan wartawan Unit Khas Utusan Malaysia di beberapa sekolah di sekitar ibu negara baru-baru ini jelas menunjukkan pekeliling yang kembali dikuatkuasakan pada Mac 2009 itu, tidak dipedulikan oleh para pelajar.

Lebih menghairankan, pihak sekolah dan ibu bapa pula seolah-olah merelakan ia dicabuli.

Rata-rata pelajar yang ditemui memberitahu, mereka sebenarnya membawa telefon bimbit ke sekolah secara curi-curi.

Pada masa yang sama, mereka mengakui bebas melakukan apa saja menggunakan alat telekomunikasi tersebut di dalam kawasan sekolah.

Alasannya, telefon bimbit penting untuk menghubungi ibu bapa apabila perlu atau jika berlaku sebarang kecemasan.

Namun apabila ditanya lebih lanjut, mereka menyatakan, tujuan sebenar membawa telefon bimbit ke sekolah adalah untuk berhubung bersama rakan-rakan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan jarang sekali menggunakannya untuk menghubungi ibu bapa.

Selain itu, mereka menggunakan alat telekomunikasi tersebut untuk mendengar lagu yang telah dimuat turun ketika di dalam kelas atau pada masa terluang.

Paling menyedihkan, mereka turut mendedahkan bahawa ada di kalangan rakan-rakan tidak kira lelaki mahupun perempuan yang menyimpan dan memuat turun gambar atau klip video lucah.

Agak mengejutkan apabila mendapati daripada segi perbelanjaan, mereka menghabiskan kira-kira RM10 ke RM40 sebulan yang diberi oleh ibu bapa bagi tujuan isian semula kredit.

Dalam masa sama, kes kecurian telefon bimbit juga kerap berlaku kerana ada antara mereka memiliki telefon yang canggih dan mahal seperti BlackBerry dan iPhone.

Hakikatnya, tindakan kementerian mengeluarkan larangan tersebut ialah bagi menyekat peningkatan kes-kes disiplin di kalangan pelajar.

Tambah mengejutkan, rata-rata mereka mengakui tidak boleh hidup tanpa telefon bimbit.

‘Ketaksuban’ mereka terhadap alat ini sehinggakan mereka lebih rela tertinggal buku sekolah daripada telefon bimbit.

Malangnya, setelah hampir dua tahun peraturan itu dikuatkuasakan, masalah penyalahgunaan telefon bimbit masih terus diperkatakan dan berleluasa di kalangan pelajar.

Dalam hal ini, siapa yang harus dipersalahkan? Pihak sekolah atau ibu bapa? Atau mungkinkah perkara ini berlaku didorong oleh sikap pelajar sendiri yang sememangnya degil?

Pandangan saya sebagai guru:
1. Ada ibu bapa tidak tahu anak mereka membawa handphone ke sekolah walaupun sudah berulang kali di rampas.
2. pelajar walaupun telah di rampas untuk sekian kali, masih mampu mempunyai handphone dan membawa ke sekolah
3. ibu bapa sendiri memberi handphone kepada anak mereka
4. Pelajar memang degil
5. terikut-ikut dengan kawan yang membawa handphone ke sekolah/asrama
6. telefon awam rosak alasan mereka membawa telefon
7. ibu bapa mahu memastikan anak mereka berada di sekolah justeru itu mereka mahu anak mereka membawa handphone
8. mahu dengar lagu(di asrama)
(Ini lah alasan yang saya selalu dengar apabila pelajar didapati membawa handphone)
Dan keputusan yang kami buat rampas,simpan dan buat perjanjian akhir. Dan pada akhir tahun persekolahan baru dipulangkan.Sebelum itu kami bagi lah nasihat tentang keburukan membawa handphone terutamanya di asrama.

Dividen KWSP 2010

KWSP umum dividen 5.8%, tertinggi dalam sejarah
20/02/2011 9:22pm


KUALA LUMPUR, 20 Feb — Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar dividen 5.8 peratus untuk ahlinya bagi tahun kewangan berakhir Dis 31, 2010, naik 15 mata asas, berbanding kadar 5.65 peratus yang dibayar pada 2009.

Ia merupakan bayaran dividen tertinggi yang pernah dicapai dana persaraan itu iaitu sebanyak RM21.61 bilion, peningkatan 11.55 peratus berbanding bayaran dividen RM19.37 bilion pada 2009.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman dalam satu kenyataan hari ini berkata pencapaian itu menggambarkan tahun yang memberangsangkan di mana pendapatan pelaburan kasar dana persaraan itu mencecah rekod tertinggi dalam sejarah sebanyak RM24.06 bilion.

Ia merupakan peningkatan 39.76 peratus berbanding RM17.22 bilion pendapatan pelaburan kasar yang dicatatkan pada 2009, katanya.

"Pendapatan pelaburan memberangsangkan yang dicapai pada tahun 2010 dijana terutamanya daripada prestasi pelaburan ekuiti. Suasana kewangan dan ekonomi yang bertambah baik menyediakan pasaran dengan kecairan mencukupi lalu membenarkan aktiviti pengambilan untung sepanjang tahun,” katanya.— Bernama

(Beruntung bagi mereka yang mencarum dalam KWSP)

keputusan STPM 2010

Esok 21.02.2011 keputusan STPM akan dijangka keluar selepas jam 12.00 Tengah Hari. Untuk menyemak keputusan anda sila Klik di sini http://www.mpm.edu.my/stpm/loginfrm.aspx selepas jam 12.00 tengah hari.
semoga mendapat keputusan cemerlang.

Buat pelajar pendidikan khas cikgu, cikgu doakan semoga mendapat keputusan cemerlang.

Kemaskini Borang Permohonan Program Matrikulasi Sesi 2011/2012

Pemberitahuan Kemaskini Borang Permohonan Program Matrikulasi Sesi 2011/2012

Bahagian Matrikulasi KPM akan membuka permohonan untuk mengemas kini borang permohonan mulai pada 21 Februari 2011 hingga 6 Mac 2011.

Hanya pelajar SPM 2010 yang telah mengisi borang permohonan melalui internet atau borang manual pada tahun lepas diminta untuk mengemas kini maklumat tambahan melalui laman sesawang http://apps.moe.gov.my/permohonan_matrikulasi/semakan

Talian bantuan Bahagian Matrikulasi 03-8884 4036/4040/4083 boleh dihubungi dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang (hari bekerja sahaja).

Saturday 19 February 2011

segala-galanya boleh

Ikuti jejak adik Wee Soo Yen

Oleh DR.MOHD RIDHUAN TEE

Wee Soo Yen

Sejuk hati apabila melihat penerima tokoh Maulidur Rasul, Wee Soo Yen, 16, pelajar Cina dari Kelantan kerana mendapat A subjek Bahasa Arab Komunikasi dan semua A subjek yang lain dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) lalu. Apabila diwawancara, cara beliau berbahasa Melayu begitu fasih sekali.

Bertambah manis dan anggun berbaju kurung berselendang bersama ahli keluarganya. Langsung tidak kekok berakulturasi dengan budaya Melayu. Malangnya, ada segelintir daripada kita, mungkin ramai, apabila yang syorkan memakai songkok ketika pembukaan parlimen di hadapan sultan, melakukan protes tidak tentu pasal kerana takut diasimilasikan.

Sedangkan kita tahu ketika Tahun Baru Cina, pemimpin Melayulah yang paling hebat menyepit, mengacau dan menghayun tinggi Yee Sang sehingga kelihatan lebih Cina daripada Cina. Maaf, saya gunakan istilah ini kerana ada yang menuduh saya lebih Melayu daripada Melayu, terutama pemimpin Pas Shah Alam yang sanggup merakamkan sidang video khas dalam Youtube untuk mematahkan hujah artikel saya sebelum ini. Terima kasih atas publisiti itu.

Apa yang dilakukan Soo Yen, pada saya, langsung tidak menggugat identiti kecinaannya. Soo Yen tetap kaum Cina, seperti saya. Saya tidak pasti beliau boleh berbahasa Mandarin atau tidak, tetapi saya yakin, majoriti masyarakat kita amat selesa dengan penampilannya. Inilah yang dikatakan 1Malaysia.

Walaupun saya tidak mengenai Soo Yen, dalam hati saya berkata jika ramailah rakyat Malaysia seperti beliau, sudah pasti kesepaduan sosial mudah terjalin. Ini tidak, kita asyik berpolitik tidak pernah habis, mendesak dan menuntut dan seperti apa yang dibuat oleh persatuan Dong Zong minggu lalu.

Persatuan ini mengancam akan mengadakan protes dengan menggantung banner atau mungkin berdemonstrasi jika Kementerian Pelajaran terus menghantar guru kaunselor dan guru Bahasa Melayu ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), tanpa boleh berbahasa Mandarin. Jika saya berada di kementerian, memang sukar sekali memenuhi tuntutan sebegini. Berapa ramai guru dan kaunselor Melayu yang boleh berbahasa Mandarin.

Dalam kata lain, kaunselor dan guru Bahasa Melayu tidak layak berada di SKJC jika tidak menguasai dwibahasa. Inilah dilema sistem pendidikan kita sejak dari dahulu. Akta demi akta diwujudkan dan dipinda, untuk meraikan orang lain. Tetapi, langsung tidak dihargai dan mereka tidak pernah bersyukur. Sekian lama merdeka, kita asyik terus bermain tarik tali. Tidak ada ketegasan dalam memperkasakan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Kedudukan bahasa Melayu terus terumbang-ambing, ibarat diluah mati bapa, ditelan mati emak. Lihatlah sekeliling adakah martabat bahasa kebangsaan terangkat?

Ada yang mengatakan kelunakan dasar kerajaan ada kaitannya dengan soal undi dan pilihan raya. Kerajaan takut kehilangan undi bukan Melayu. Suka atau tidak, terima sahaja apa jua tuntutannya. Pegawai yang berada di kementerian berkaitan menjadi mangsa dan tertekan. Dari satu segi, memang ada kebenarannya, tetapi ditinjau dari sudut lain, inilah yang dikatakan keterbukaan kepimpinan negara untuk mencapai kesepaduan sosial.

Pada saya, apa pun yang dilakukan, jangan sampai perlembagaan diketepikan, terutama soal bahasa kebangsaan. Jika Soo Yen boleh membuktikannya, saya tidak fikir orang lain tidak boleh atau terlalu sukar melaluinya. Tidakkah sepatutnya ia merupakan satu kebanggaan bangsa Malaysia?

Sumber: Utusan Melayu

kisah menyayat hati

Mohon anak selesaikan hutang

Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 18 Feb. - Seorang anak sepatutnya menghiburkan hati ibu bapa yang selama ini bertungkus-lumus membesarkan mereka, namun lain pula jadinya bagi sepasang suami isteri di sini apabila anak yang disayangi sanggup meninggalkan mereka dengan bebanan hutang.

Malah kediaman yang diduduki pasangan warga emas, Abdul Aziz Ibrahim, 75, dan Zahrah Mohamad, 68, sejak 22 tahun lalu bakal dilelong oleh pihak bank akibat kegagalan anak perempuan mereka, Nor Azidah Abdul Aziz, 37, melunaskan hutang yang tertunggak sejak dua tahun lalu.

Dalam nada sedih dan air mata yang bergenang, Zahrah menangisi nasib yang bakal menimpa mereka berdua setelah rumah yang dihuni sekian lama di Taman Universiti di sini bakal dilelong.

"Ke mana kami nak tinggal nanti, sudahlah itu satu-satunya harta kami. Lagipun kami bukannya sihat lagi, kami sakit lutut, darah tinggi, kencing manis. Malah saya pun pekak. Nak naik tangga satu tingkat pun kadang-kadang merangkak.

"Walaupun dia hanya anak tiri, saya tetap sayangkan dia. Saya bantu dia sekiranya ada masalah sehingga sanggup mengeluarkan wang simpanan dan menggadai barang kemas demi membantu dia," katanya sayu.

Zahrah yang tidak bekerja hanya bergantung kepada pencen suaminya sebagai pesara kakitangan hospital sebanyak RM720 sebulan.

"Selepas ini, mahu atau tidak, kami akan tinggal bersama anak lelaki suami saya, Aziham Abdul Aziz, 34, di flat di Pulai. Kami tiada pilihan lain selepas ini," katanya dengan nada sebak sambil merayu supaya Nor Azidah tampil dan membantu menyelesaikan hutang pinjaman bank yang dibuatnya dengan mencagarkan geran rumah tersebut.

Sementara itu, Aziham berkata, pinjaman sebanyak RM102,000 dibuat oleh kakaknya menggunakan namanya bercagarkan geran rumah yang didiami kedua ibu bapa mereka.

"Niat saya semata-mata ingin menolong kakak yang dalam kesusahan kerana dia telah berhutang dengan syarikat tempatnya bekerja berjumlah RM107,892. Saya tak mahu dia ditimpa kesusahan dan dengan itu saya membenarkan dia menggunakan nama saya untuk membuat pinjaman bank.

"Dia berjanji akan membayar semua pinjaman tersebut, namun sejak 2008 dia tidak membuat sebarang pembayaran sehingga jumlah bayaran ansuran tertunggak menjadi RM14,334.

Malah rumah yang dihuni ibu dan ayah saya juga telah dua kali mahu dilelong oleh pihak bank atas kegagalan tersebut," katanya yang merujuk masalah itu kepada Ketua Biro Aduan Awam MCA Johor Bahru, Micheal Tay Chee Boon di sini hari ini.

Aziham berkata, dia dan keluarga pernah beberapa kali pergi ke rumah kakaknya di Bandar Seri Alam, namun dia sering tidak berada di rumah malah pintunya juga sering berkunci.

Mereka juga sentiasa menghubungi dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Nor Azidah tetapi tidak satu pun dibalas.

"Apa yang saya mahukan hanya satu, iaitu Azidah bertanggungjawab dengan apa yang telah berlaku. Selagi dia tidak bertanggungjawab, selagi itu saya tidak mengaku dia kakak saya apatah lagi dengan sikapnya yang mengabaikan ibu bapa dan sanggup bertindak menghilangkan diri selepas mendapat apa yang dikehendakinya.

"Kini nasib ibu bapa saya menjadi taruhan dengan ibu mengalami sakit lutut dan ayah menghidap penyakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan pekak. Jika rumah itu dilelong ke mana lagi ibu bapa saya ingin pergi. Sanggup dia tengok mereka merempat. Saya memang tak boleh terima tindakan dia," katanya.
sumber: Utusan Melayu
( Hargai dan bahagiakan ibu bapa kita selagi mereka masih hidup. Terharu sangat membaca cerita di atas)

Penghantaran guru Semenanjung ke Sabah, Sarawak diteruskan

Penghantaran guru Semenanjung ke Sabah, Sarawak diteruskan
19/02/2011 5:47pm

BESUT 19 Feb. - Kerajaan akan terus menghantar guru-guru dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak sehingga masalah kekurangan guru mahir di dua negeri berkenaan dapat diatasi.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, pada masa ini kuota untuk pengambilan dari kalangan anak negeri Sabah dan Sarawak belum dipenuhi.

"Walaupun pelbagai usaha dilakukan termasuk mengadakan proses temuduga secara terbuka di kedua-dua negeri itu, kuota untuk pengambilan guru anak tempatan masih belum berjaya dipenuhi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama
(Mungkin ada yang tidak minat jadi guru atau opsyen yang tidak sesuai menyebabkan pengambilan guru anak tempatan masih belum berjaya dipenuhi

JKM mohon maaf gagal bayar OKU

JKM mohon maaf gagal bayar OKU
Tarikh: 19.02.2011

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur semalam memohon maaf berhubung dakwaan segelintir orang kelainan upaya (OKU) yang tidak berpuas hati kerana gagal menerima wang bantuan masing-masing sejak Januari lalu.

Pengarahnya, Normah Datuk Rauf, berkata masalah itu berlaku disebabkan pihaknya membuat semakan data dan rekod simpanan jabatan terbabit yang sekian lama tidak dikemas kini. “Bukan kami sengaja tidak mahu bayar, tapi perkara ini berlaku disebabkan JKM mengemas kini permohonan baru dan semua rekod lama dalam simpanan kami.


“Saya bagi pihak JKM mengakui kesilapan kami yang tidak memaklumkan perkara ini kepada mereka yang berkenaan sehingga menimbulkan pelbagai tanggapan negatif,” katanya mengulas laporan Harian Metro Rabu lalu berhubung dakwaan lebih 50 OKU yang tidak mendapat bantuan bagi Januari dan Februari.

Sumber: Harian Metro
(Kasihannya bagi OKU yang amat bergantung dengan bantuan tersebut, semoga selepas ini JKM akan dapat meningkatkan mutu perkhidmatan mereka)

hari sabtu hari keluarga

Sabtu ku hari ini merupakan Hari Keluarga untuk golongan OKU bagi negeri Sabah (persatuan orang buta sabah) bertempat di Rasa Ria ResoRT KK. Ini merupakan aktiviti tahunan persatuan tersebut untuk merapatkan hubungan antara mereka sendiri. Pelajar-pelajar pendidikan khas ku sendiri setiap tahun dipelawa untuk hadir dalam hari keluarga. Terima kasih kepada Persatuan Orang Buta Sabah dan Rasa Ria Resort KK. Seronok bukan kepalang lagi buat semua pelajarku kerana pelbagai aktiviti yang boleh disertai oleh mereka, dan paling seronok ialah aktiviti sukanneka dan juga aktiviti makan. hehehe..
Tahun ini macam kurang happening pulak. Kalau tahun-tahun sebelumnya pelajar ku semua mendapat hadiah dan hamper. Tapi tahun ini macam kurang sedikit.. ok lah ni lah gambar yang dapat aku ambil dalam aktiviti itu tadi.
(pelajar pendidikan khas lelaki ku yang banyak ragam hehehe)

( inilah pelajar pendidikan khas ku)

(happy betul mereka ni)

dan tepat jam 2 petang hujan turun dan kami pun bergerak pulang ke sekolah.
Tahun depan jumpa lagi.. Tahun ini agak kecewa tarik tali kalah lah hehehe
tapi seronok sangat...

Friday 18 February 2011

OKU masalah penglihatan di bantu

SBM perkenal khidmat urut refleksologi

MELAKA: Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) memperkenalkan khidmat urut refleksologi setiap Sabtu dan Ahad bermula esok dengan bayaran RM20 di pejabat SBM di Jalan Durian Daun.

Pengerusi SBM Melaka, Hashim Ishak berkata, pengenalan khidmat itu antara inisiatif pihaknya bagi membantu golongan berkenaan mendapatkan peluang pekerjaan yang semakin terhad.

“Menyedari kekurangan itu, kami cuba mengambil langkah lain bagi membantu golongan cacat penglihatan memperoleh pendapatan mereka sendiri melalui usaha keras mereka.

“Kami memberi mereka peluang pekerjaan ini memandangkan kebanyakan mereka mempunyai kemahiran dalam urut refleksologi biarpun bergelar orang kelainan upaya (OKU).

“Ini secara tidak langsung mampu membantu menambah sumber pendapatan mereka tanpa perlu bergantung kepada individu lain, sekali gus memenuhi masa lapang mereka,” katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, pihaknya yakin usaha berkenaan dapat membantu mereka memandangkan golongan itu masih sukar mendapat tempat dan peluang dalam pasaran pekerjaan .

Katanya, program pengenalan yang bermula seawal jam 10 pagi itu membabitkan seramai empat tukang urut di kalangan OKU cacat penglihatan bagi menawarkan perkhidmatan berkenaan dengan kadar bayaran RM20 selama 30 minit.
Sumber: Harian Metro

Aku dan Bahasa isyarat


Bila aku melihat gambar kod bahasa Isyarat,teringat aku pertama kali aku di postingkan sebagai guru pendidikan khas di sebuah sekolah integrasi bermasalah pendengaran. Agak tekanan juga mulanya apabila di bagitahu sekolah tersebut kerana aku bukannya opsyen bidang masalah pendengaran dan aku langsung tak tahu bahasa Isyarat.
tiap persoalan bermain di fikiranku.. Bolehkah aku mengajar pelajar masalah pendengaran? semuanya aku kena mula A-Z. kena belajar bahasa isyarat. akhirnya aku terima juga seadanya tawaran tersebut.
sebulan aku membiasakan diri belajar bahasa Isyarat. Masih aku ingat lagi kata-kata seorang pelajarku "bahasa Isyarat cikgu bahasa isyarat tak betul(bahasa isyarat kampung)
Dua bulan dan seterusnya gerakan jari aku semakin boleh tahanlah. cepat juga aku belajar tapi masih tidak yakin.Bila aku masuk kelas mengajar, pelajar memberikan respon yang baik dan mereka faham.
selama dua tahun aku di sana, aku sudah boleh memahami bahasa isyarat walaupun masih teragak-agak.banyak benda aku telah pelajari.
Namun aku hanya bertahan selama 2 tahun sahaja di sekolah tersebut, kerana aku ditukarkan ke sekolah integrasi masalah penglihatan dan merupakan opsyen aku semasa di Universiti. Aku gembira kerana aku boleh mengaplikasikan apa yang telah aplikasikan setelah lama aku tinggalkan iaitu dunia Braille.
Walaupun aku sudah mula jatuh cinta dengan bahasa Isyarat. Tapi aku rasa aku lebih mencintai dunia Braille kerana ada sebab tertentu.
Akhirnya aku pun meninggalkan sekolah dan dunia bahasa isyarat.
Kenangan yang paling aku tidak lupakan ialah aku berjaya mencapai sasaranku seramai 6 orang lulus dalam subjek sains dalam PMR ketika itu setelah bertahun-tahun mereka hanya mencapai kurang 2-3 orang sahaja lulus. Dan pelajar-pelajar yang telah aku didik kini ada yang berada di Universiti,Politeknik, Kolej Komuniti dan sudah bekerja di sektor swasta malahan ada sudah yang bekerja.
Buat bekas pelajarku di SMKDPM kalau jumpa cikgu tegur dengan bahasa Isyarat. Walaupun cikgu dah lupa tapi cikgu akan cuba memahaminya. hehehe)

jIKA Ada UsaHa

Pendapatan tukang kasut cecah RM5,000 sebulan


18/02/2011 4:01pm

ALOR SETAR 18 Feb. - Siapa sangka seorang tukang kasut boleh memperoleh pendapatan hampir sama dengan pegawai kerajaan, malah mungkin lebih tinggi daripada gaji seorang kakitangan yang berkelulusan ijazah.

Tinjauan Bernama di Jalan Selamat, di tengah-tengah bandar raya Alor Setar, mendapati rata-rata tukang kasut di situ memperoleh pendapatan antara RM2,000 dan RM5,000 sebulan.

Terdapat sekurang-kurangnya 12 tukang kasut mencari rezeki di situ dan setiap tukang kasut mempunyai pelanggan tetap.

Seorang tukang kasut yang ditemui, Ahmad Mohtar Baharom, 54, berkata, dia kini memperoleh pendapatan kira-kira RM5,000 sebulan hanya dengan mengambil upah membaiki kasut.

Dia berkata, tidak ramai yang percaya dengan pendapatan yang mampu diperolehinya itu kerana masyarakat beranggapan pendapatan mereka hanyalah umpama ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

"Sebelum ini saya bekerja dengan kerajaan tetapi disebabkan saya tidak boleh bekerja di bawah arahan orang, jadi saya berhenti kerja dan memulakan perniagaan ini secara serius.

"Berbekalkan kemahiran membaiki kasut yang ada semasa belajar di universiti dulu, saya memulakan perniagaan membaiki kasut, walaupun pada masa itu pendapatan yang saya terima hanya sekitar RM30 sehari.
"Saya sentiasa berfikiran positif dan berani menerima cabaran untuk memastikan kerjaya itu mencapai kejayaan. Saya tidak berputus asa dan meneruskan juga pekerjaan ini sehingga hari ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Ahmad Mokhtar yang merupakan graduan Diploma Seni Bina dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan memiliki Ijazah Seni Bina dari University of Melbourne, Australia berkata, semasa belajar di UiTM, dia bekerja sementara sebagai tukang kasut bagi menampung kos belajar dan mengumpul wang untuk melanjutkan pelajaran di luar negara

sumber: Bernama
( Pada pandangan saya, selagi kita berupaya melakukan apa pekerjaan, apa juga yang boleh mendatangkan manfaat boleh membawa rezeki. Jika kita berusaha tanpa mengenal putus asa, sudah tentu kejayaan menanti kita. Khusus untuk para siswazah, iktibar di sini ialah  jangan  terlalu memilih pekerjaan selepas tamat pengajian, yang penting kerja halal dan pendapatan tersebut  boleh  memberi rezeki  buat ibu bapa dan keluarga kita)

Thursday 17 February 2011

Sekolah Berprestasi Tinggi

23 Buah Sekolah Diiktiraf Sekolah Berprestasi Tinggi
LIMBANG: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan nama 23 sekolah lagi yang diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) selepas ia didapati memenuhi kriteria yang diperlukan.

Beliau membuat pengumuman nama-nama sekolah itu semasa melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai, kira-kira 55 kilometer dari sini, yang merupakan salah satu daripada sekolah yang tersenarai di bawah pengiktirafan itu.

Katanya sekolah-sekolah itu terdiri daripada Sekolah Menengah Imtiaz, Terengganu; Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat, Selangor; Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Perak; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak, Selangor; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu, Kedah; Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Pekan, Pahang; Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur; Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kelantan; Sekolah Menengah Sains Miri, Sarawak; Sekolah Menengah Sains Seri Puteri, Kuala Lumpur; Sekolah Menengah Sains Selangor, Kuala Lumpur; Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Pahang dan Sekolah Menengah Sains Muar, Johor;

Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai, Sarawak; SK Convent Muar, Johor; SK Seri Biram, Pahang; SK Sultan Ahmad Tajuddin, Kedah; SK Setiawangsa, Kuala Lumpur; SK (Perempuan) Methodist Kuantan, Pahang; SK Sultan Ismail, Terengganu; SK Jalan Tiga, Selangor; SJK(C) Perempuan China, Pulau Pinang dan SJK(C) Lick Hung, Selangor. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata tahun lepas 20 sekolah diumum sebagai SBT.

Berhubung pencapaian SK Ulu Lubai, Muhyiddin berkata sekolah ini menunjukkan pencapaian akademik yang cemerlang sejak 2006 dengan memperolehi kelulusan 100 peratus dalam UPSR.

Menurutnya sekolah itu mengambil pelbagai inisiatif yang cukup luarbiasa sehingga membolehkan ia menjadi sekolah pedalaman pertama mendapat pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi.

Katanya sekolah itu juga pernah memenangi dua anugerah di peringkat antarabangsa, lima anugerah peringkat kebangsaan dan 14 peringkat negeri. -BERNAMA