Thursday, 25 August 2011

Dana kebajikan RM1.4 bilion

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebanyak RM1.4 bilion diperuntukkan bagi membantu kira-kira 500,000 penerima bantuan kebajikan masyarakat melalui Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA).

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, bantuan yang akan diberikan pada setiap bulan itu bagi membantu kumpulan sasar yang antaranya terdiri daripada warga emas, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal termasuk balu askar dan polis.

Katanya, langkah itu bagi memastikan golongan tersebut tidak terus berada dalam keadaan terpinggir dan terbiar dalam masyarakat.

"Dalam kemelut ekonomi dunia, kita lihat ada ekonomi negara tertentu yang bukan sahaja tidak menentu tetapi menguncup, ada juga negara yang pencen orang bersara terpaksa dipotong dan bantuan kebajikan terpaksa dikurangkan.

"Tetapi alhamdulillah di Malaysia bukan sahaja kita dapat meneruskan program ini malah dapat menambah lagi jumlah peruntukan untuk rakyat dan mereka yang amat memerlukan," katanya ketika melancarkan program tersebut di pejabatnya di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Peruntukan itu merangkumi bantuan untuk golongan kanak-kanak sebanyak RM290 juta, orang kurang upaya (RM332 juta), warga emas (RM455 juta) dan membiayai program-program kemasyarakatan di peringkat komuniti (RM303 juta).

Di bawah program itu juga, satu kategori baharu bantuan kewangan diperkenalkan bagi balu anggota tentera dan polis yang layak melibatkan peruntukan sebanyak RM4.1 juta.

- Bernama

Wednesday, 24 August 2011

Boleh tangguh bayar yuran

PUTRAJAYA 22 Ogos – Seramai 41,267 pelajar baru yang bakal mendaftar di institut pengajian tinggi awam (IPTA) sesi akademik 2011/ 2012 bermula 3 September ini boleh menarik nafas lega apabila mereka tidak perlu membayar yuran semasa sesi pendaftaran.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed khaled Nordin berkata, yuran pendaftaran itu hanya akan ditolak daripada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dipohon pelajar sebaik sahaja pinjaman mereka diluluskan.

Katanya, langkah itu sebagai meringankan beban mereka terutama golongan berpendapatan rendah sekiranya terpaksa mengumpul wang atau berhutang semata-mata untuk tujuan itu.

“Pelajar tidak perlu fikir untuk membawa wang semasa sesi pendaftaran nanti. Walaupun surat tawaran ada menyatakan kos yuran pendaftaran yang perlu dibayar, tetapi mereka tidak perlu ambil kira semua itu dan boleh pergi daftar tanpa perlu bayar apa-apa.

“Jadi tidak ada sebab mereka tidak mahu pergi universiti kerana tidak ada duit. Ini satu berita baik untuk mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia dalam satu sesi temu bual khas di pejabatnya, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, PTPTN menyediakan pinjaman berjumlah RM4 bilion kepada kira-kira 206,938 pemohon pinjaman pada tahun ini.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak RM53.4 juta diperuntukkan sebagai Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) kepada seramai 35,664 pelajar yang layak berjumlah RM1,500 setiap orang.

“Semua pelajar layak membuat pinjaman PTPTN. Bagaimanapun, WPP itu hanya ditawarkan kepada mereka daripada keluarga berpendapatan kurang RM4,000 dan belum pernah mendapat pembiayaan PTPTN.

“Namun, mereka yang lain turut mendapat manfaat apabila mereka boleh menangguhkan yuran semester pertama melalui pemotongan pinjaman PTPTN,” katanya.

Tambah Mohamed Khaled, PTPTN telah meluluskan pembiayaan kepada 1.8 juta pelajar sehingga tamat pengajian mereka berjumlah RM39.87 bilion setakat 31 Julai lalu.

“Pada 2010 sahaja, PTPTN membelanjakan RM3.86 bilion kepada 188,000 pelajar.

“Keperluan menampung kos pengajian tingi meningkat setiap tahun. Bagaimanapun, kerajaan sentiasa berusaha memastikan keperluan kewangan pelajar dapat ditampung melalui bentuk pinjaman,” katanya.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

Ahli falak ramal Aidilfitri Selasa depan

KUALA LUMPUR – Beberapa orang ahli falak yakin umat Islam akan menyambut hari raya Aidilfitri pada Selasa, 30 Ogos ini berdasarkan kajian dan perkiraan hisab serta kedudukan anak bulan Syawal.

Menurut Yang Dipertua Persatuan Falak Syarie Malaysia, Tuan Syed Kamaruzaman Syed Kabeer, andaian itu dibuat kerana penentuan awal Syawal 1432H menggunakan kaedah rukyah (cerapan) dan hisab berpandukan kriteria imkanur rukyah (kebolehnampakan).

“Berdasarkan perkiraan itu, anak bulan dijangka sudah cukup syarat untuk memulakan bulan baharu (Syawal) pada 30 Ogos ini,” jelasnya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, tarikh sebenar hari raya tetap tertakluk kepada perisytiharan Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja.

Menurutnya, perkiraan hisab di negara ini turut diamalkan di negara serantau seperti Indonesia dan Singapura.

Di Melaka, Ketua Bahagian Falak Syarie Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Dr. Kassim Bahali juga sependapat dengan Syed Kamaruzaman bahawa hari raya diramalkan jatuh pada Selasa kerana berdasarkan hisab, kedudukan bulan pada 29 Ogos ini bersamaan 29 Ramadan memenuhi kriteria Imkarnur Rukyah (kebolehnampakan).

“Hilal iaitu anak bulan dijangka memenuhi syarat minimum yang ditetapkan iaitu umur anak bulan sudah melebihi lapan jam.

“Anak bulan ialah cahaya bulan yang mula-mula kelihatan selepas ijtimak iaitu kedudukan bumi, bulan dan matahari berada dalam satu garisan,” katanya ketika dihubungi di Melaka semalam.

Beliau menjelaskan, berdasarkan faktor ini, 1 Syawal 1432 Hijrah dijangka jatuh pada Selasa, 30 Ogos ini.

Lihat anak bulan Syawal pada 29 Ogos

KUALA LUMPUR - Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja semalam mengumumkan sebanyak 30 tempat ditetapkan untuk melihat anak bulan Syawal pada 29 Ogos ini bagi menentukan tarikh Aidilfitri tahun ini.

Majlis Raja-Raja juga mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Aidilfitri adalah berdasarkan rukyah dan hisab dan pengisytiharan tarikh akan diumumkan pada malam Isnin itu menerusi radio dan televisyen.

Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja di sini, kawasan yang ditetapkan untuk melihat anak bulan Syawal ialah di Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu Tanjung Bidara, Melaka; Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Pulau Angsa dan Bukit Jugra dan Balai Cerap Selangor di Selangor; Pantai Pasir Panjang, Manjong; Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang; dan Kampung Pulau Sayak, Pemandangan Indah Langkawi dan Menara Alor Setar di Kedah.

Di Terengganu ialah di Bukit Besar Kuala Terengganu, Bukit Kemuning, Kemaman, Pulau Perhentian dan Balai Cerap KUSZA, Setiu; Bukit Peraksi Pasir Putih, Bukit Kampung Tembeling Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC Kota Baharu di Kelantan; dan Bukit Tanjong Batu Nenasi, Gunung Berincang Cameron Highlands dan Bukit Pelindong, Kuantan di Pahang.

Tempat melihat anak bulan Syawal di Perlis ialah di Kuala Sungai Baru; Menara Kuala Lumpur di ibu negara; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di Putrajaya; Tanjong Lubang, Miri, Teluk Bandung, Kuching dan Tanjung Batu, Bintulu di Sarawak; Balai cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil dan Menara Universiti Malaysia Sabah di Sabah.

Sunday, 21 August 2011

Angkasa nafi bulan kelilingi Kaabah


KUALA LUMPUR – Agensi Angkasa Negara (Angkasa) menafikan dakwaan blog dan laman sosial Facebook yang menghebahkan dakwaan kejadian pelik bulan mengelilingi Kaabah dan langit bertukar menjadi biru terang berlaku di Mekah malam kelmarin.

Fenomena yang kononnya berlaku sehingga semalam itu turut tersebar meluas melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dikatakan dihantar oleh bekas Ketua Pengarah Angkasa Prof. Datuk Dr. Mazlan Othman.

Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa, Mohd. Fairos Asillam berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana tiada kejadian unik atau ganjil dari segi pergerakan atau kedudukan bulan pada malam tersebut.

“Bulan sekadar melintasi Kaabah dan tidak mengelilinginya seperti yang disebarkan kerana ia seperti biasa akan terbit di sebelah timur dan terbenam di sebelah barat,” katanya.

Fairos menambah, dakwaan bahawa kenyataan itu dikeluarkan adalah tidak benar memandangkan Mazlan tidak pernah berbuat demikian.

sumber: Kosmo online

kena petir waktu guna telefon

TANAH MERAH – “Saya mahu tidur puas-puas.” Itu ungkapan aneh yang diucapkan Siti Munirah Nordin (gambar), 13, pada cuti Nuzul Al-Quran Rabu lalu kepada ibunya sebelum remaja itu maut dipanah petir di bangsal berhampiran rumahnya dipercayai sedang menggunakan telefon bimbit di Kampung Belimbing di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 5.50 petang itu, Siti Munirah meninggal dunia di tempat kejadian dengan kecederaan pada muka sebelah kanan dan kesan terbakar pada telinga, rambut dan punggung.

Mayat mangsa ditemui abangnya, Mohd. Firdaus, 16, pada pukul 9 malam setelah ahli keluarganya keluar mencarinya selepas tidak pulang ke rumah untuk berbuka puasa sejak keluar pada pukul 4.30 petang.

Telefon bimbit milik ibunya yang dipinjam mangsa pula ditemui di atas tanah di bawah bangsal tersebut.

Mangsa merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Belimbing di sini.

Ibunya, Rosnah Dollah, 49, berkata, pada mulanya dia menyangka Siti Munirah pergi berbuka puasa di rumah kawannya tetapi terkejut apabila mendapat tahu kawan anaknya itu pulang ke kampungnya di Salor dekat sini.

“Sebelum kejadian, Siti Munirah sedang menggunakan telefon bimbit saya di dalam rumah dan apabila saya menegurnya kerana berbual terlalu lama, dia terus keluar dari rumah.

sumber: Kosmo Online

P/s: Moral of story- Jangan guna telefon Bimbit ketika hujan atau petir

Saturday, 20 August 2011

OKU desak bina jambatan udara di KLIA2

2011/08/20
KUALA LUMPUR: Sembilan badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili golongan kurang upaya menggesa Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menimbangkan semula keputusannya untuk tidak membina jambatan udara (aerobridge) di Terminal Syarikat Penerbangan Tambang Murah yang baru (KLIA2).
Seorang daripada wakil NGO itu, Christine Lee, berkata keputusan itu dibuat tanpa berunding dengan kumpulan pengguna dan tanpa mengambil kira pendapat orang ramai. "Keputusan MAHB untuk tidak membina jambatan udara merupakan langkah ke belakang dan menongkah arus," katanya pada perhimpunan yang dihadiri kira-kira 30 orang yang mengalami pelbagai jenis ketidakupayaan untuk melahirkan kekecewaan mereka berhubung perkara itu di sini, hari ini.
"Jika negara-negara tidak membangun boleh mempunyai jambatan udara di
lapangan terbang mereka, kenapa pula Malaysia yang semakin hampir mencapai
status negara maju, masih terikat dengan perkhidmatan dan infrastruktrur dunia ketiga," kata Lee mengenai kemudahan Persekitaran Bebas Halangan dan Akses Kepada Pengangkutan (BEAT) itu.
Beliau berkata, jambatan udara patut dan mesti dijadikan ciri universal di
semua rekaan dan pembangunan lapangan terbang.
Presiden Persatuan Damai Orang-orang Kurang Upaya Selangor dan Wilayah
Persekutuan, V Murugeswaran, berkata jambatan udara akan menjadikan pergerakan orang ramai untuk turun dan naik pesawat lebih mudah dan selamat khususnya bagi golongan kurang upaya.
"Lapangan terbang tanpa jambatan udara boleh menimbulkan keadaan bahaya dan tidak selesa terutama kepada kami yang mengalami masalah sukar berjalan, orang yang menggunakan kerusi roda, orang yang rabun dan lain-lain ketidakupayaan," katanya. - BERNAMA

p/s: Sangat setuju.....

Graduan Melayu, bumiputera terima gaji permulaan terkecil

SHAH ALAM 19 Ogos - Para graduan Melayu dan bumiputera merupakan golongan terbesar yang menerima gaji permulaan terkecil sebaik sahaja memasuki pasaran kerja iaitu antara RM501 sehingga RM2,000 ke atas berbanding kumpulan etnik lain.

Timbalan Ketua Pengarah 1 Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mat Noor Nawi berkata, berdasarkan statistik 2009, sebanyak 24 peratus daripada golongan itu menerima gaji antara RM501 hingga RM1,000; RM1,001-RM1,500 (29 peratus); RM1,501-RM2,000 (24 peratus) dan hanya 19 peratus menerima gaji RM2,000 ke atas.

Katanya, ia berbeza dengan 70 peratus graduan berketurunan Cina yang mendapat gaji permulaan antara RM1,501 hingga RM2,00 ke atas; RM1,001-RM1,500 (21 peratus) dan lapan peratus daripada mereka menerima antara RM501 hingga RM1,000.

Bagi graduan berketurunan India pula katanya, sebanyak 14 peratus menerima gaji permulaan antara RM501 hingga RM1,000; RM1,001 hingga RM1,500 (29 peratus); RM1,501-RM2,000 (28 peratus) dan sebanyak 27 peratus daripada mereka menerima gaji melebihi RM2,000.

"Sementara penyertaan bumiputera sebagai (ahli) lembaga pengarah di syarikat-syarikat besar adalah tinggi tetapi bukan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

"Satu-satunya Ketua Pegawai Eksekutif bumiputera selain daripada di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah di Shell," katanya semasa membentangkan kertas kerja pada Konvensyen Memperkasa Model Baru Ekonomi: Satu Jihad Ekonomi Bumiputera di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Dalam pembentangan itu, Mat Noor memetik pelbagai kajian dan laporan bebas antaranya oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), agensi Bloomberg, Bursa Malaysia dan penyiasatan pendapatan isi rumah 2009.

Bagi kategori pendapatan purata bulanan isi rumah mengikut aktiviti dan kumpulan etnik pula katanya, masyarakat Melayu dan bumiputera yang bekerja sebagai majikan hanya memperoleh RM7,078 berbanding RM7,271 (India) dan RM8,559 yang diperolehi para majikan berketurunan Cina.

Menurutnya, untuk kategori pekerja sektor awam pula, kumpulan bumiputera memperoleh pendapatan bulanan purata sebanyak RM4,925; RM5,109 (India) dan RM6,288 bagi masyarakat Cina.

"Bagi yang bekerja sendiri, masyarakat bumiputera memperoleh RM2,487 diikuti India menerima RM3,717 dan Cina sebanyak RM4,561," jelasnya

p/s: Bermula dari peringkat bawah barulah ke peringkat yang lebih tinggi.. biarlah bergaji kecil, kalau tunjukkan prestasi hebat.. ada juga rezeki tu...

Monday, 15 August 2011

Tidak logik pengemis buta dapat RM1,000 sehari’

KUALA LUMPUR: “Pendapatan orang cacat penglihatan kini terjejas berikutan dakwaan itu,” kata Presiden Persatuan Kebajikan Pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) Cacat Penglihatan Kuala Lumpur, Mohd Salleh Mat Idris.

Beliau mengulas dakwaan Ketua Bahagian Warga Tua dan Keluarga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan, Mujah Hamat berhubung pendapatan pengemis buta yang dipercayai mampu meraih RM500 dan RM1,000 sehari.

Menurutnya, dakwaan itu bukan saja mengundang persepsi buruk masyarakat terhadap orang buta, malah menjejaskan pendapatan golongan cacat penglihatan yang terpaksa menyara keluarga dengan menjual tisu di kaki lima serta premis makanan seluruh negara.

“Dakwaan pengemis cacat penglihatan mampu memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM500 dan RM1,000 sehari, itu jelas tidak logik. “Lagipun tidak semua orang buta mencari rezeki dengan cara sedemikian. Setahu saya, kalau yang menjual tisu di sekitar bandar raya ini, mereka hanya meraih pendapatan sekitar RM40 hingga RM60 saja dalam sehari.

“Itupun tidak ditolak dengan tambang teksi yang perlu dibayar setiap kali hendak pergi atau pulang,” katanya.

Mohd Salleh berkata kenyataan dikeluarkan Mujah itu terlalu bersifat terbuka hingga menjejaskan kehidupan orang buta yang berusaha mencari rezeki halal.

“Bayangkan, umat Islam sedang sibuk membuat persiapan perayaan, warga cacat penglihatan ini juga gigih berusaha menjual tisu untuk meraih pendapatan lebih buat keluarga.

“Namun selepas pihak JKM mengeluarkan kenyataan sedemikian, orang ramai bukan saja mula menjauhkan diri malah ada yang mencemuh usaha mereka,” katanya.

sumber: Metro Online

Saturday, 13 August 2011

Koran by Heart


Koran by Heart from MuslimCommunityTV on Vimeo.

Video dedah isi Kaabah

SELAMA beratus-ratus tahun, soalan apa ada di dalam Kaabah menjadi misteri kepada berjuta-juta umat Islam yang melakukan tawaf mengelilingi ‘Rumah Allah’ itu. Hanya golongan diraja Arab Saudi, pemimpin negara Islam dan orang tertentu dibenarkan memasukinya terutama semasa acara mencuci Kaabah yang dilakukan setahun sekali.
Bagaimanapun, pada tahun 2009 masyarakat dunia dapat menyaksikan rahsia Kaabah menerusi sebuah klip video yang dimuat naik ke dalam YouTube. Rakaman video selama lebih empat minit itu didakwa adalah yang pertama seumpamanya yang boleh ditonton oleh orang ramai.

Sebelum ini, keadaan di dalam bangunan batu yang terletak di dalam Masjidil Haram di Mekah itu sekadar digambarkan dan diceritakan dari mulut ke mulut.

Paparan di dalam video itu hampir menyamai cerita seorang wartawan dari Singapura, Ahmad Mohd. Don. Menurut beliau, keadaan di dalam Kaabah itu gelap. Tidak ada sebarang lampu. Satu-satunya cahaya yang menerangi bahagian dalam Kaabah itu datangnya dari pintu Kaabah yang terbuka.

“Asap kemenyan memenuhi ruang dalam Kaabah itu. Lantainya pula dibasahi air mawar yang mengeluarkan bau semerbak,” kata beliau yang mendapat peluang memasuki Kaabah semasa menunaikan haji di Mekah pada 8 September 1983 atas undangan khas kerajaan Arab Saudi.

Tambah Ahmad, hampir di setiap bahagian dinding Kaabah itu, para undangan menunaikan sembahyang sunat dengan khusyuk.

Mereka menghadap tiap bahagian dinding Kaabah. Lantai Kaabah dibuat daripada marmar putih. Begitu juga dindingnya. Pada satu bahagian dinding itu, kelihatan ukiran ayat-ayat suci.

“Terdapat beberapa batang tiang di dalam Kaabah. Besar tiang itu kira-kira satu pemeluk. Pada satu bahagian dinding itu disalut dengan kayu yang berukiran. Mungkin ukiran ayat-ayat suci al-Quran.

“Terdapat juga para yang di atasnya diletakkan beberapa buah cerek yang kelihatan diperbuat daripada tembaga.

“Tidak saya ketahui apakah yang ada dalam cerek itu. Berkemungkinan besar ia berisi air mawar yang digunakan untuk mencuci bahagian dalam Kaabah,” katanya yang cuma menghabiskan masa selama lapan minit di dalamnya bagi memberi peluang kepada tetamu lain yang menunggu giliran untuk memasuki Kaabah.

Pendakwah bebas, Datuk Mohd. Daud Che Ngah menjelaskan bahawa tiada apa-apa sekatan dari sudut agama untuk membuat rakaman gambar atau video di dalam Kaabah.

Bahkan, jelas beliau, undang-udang baharu oleh pihak berkuasa Arab Saudi turut membenarkan penggunaan kamera di kawasan Masjidil Haram. Sebelum ini undang-undang negara itu melarang penggunaan alat elektronik tersebut di kawasan Kaabah.

Tambah Daud, orang awam berpeluang memasukinya semasa lawatan pemimpin Arab Saudi mahupun pemimpin negara Islam lain ke Masjidil Haram.

“Pintu Kaabah akan dibuka semasa lawatan pembesar dan juga ketika hari pertukaran kain Kaabah menjelang Hari Raya Aidiladha,” katanya kepada Jurnal.

Daud turut menyangkal dakwaan dan cerita yang menyatakan orang yang mendongak ke bumbung Kaabah selepas memasukinya boleh ditimpa musibah.

Menurut Daud, orang ramai juga boleh melihat replika Kaabah di Muzium Islam Hudaibiyah, Mekah. Ia menyerupai isi kandungan sebenar di dalam Kaabah termasuklah tiga batang tiang dan hiasan ayat-ayat al-Quran.



Kunci
Hanya terdapat sebuah pintu untuk memasuki Kaabah dan ia dikatakan diperbuat daripada emas tulen seberat lapan tan (8,000 kilogram).

Pintu Kaabah itu pula hanya boleh dibuka oleh pemegang kunci dari Bani Syaibah. Menurut sejarah Islam, apabila Nabi Muhammad SAW meninggalkan Mekah kerana berhijrah ke Madinah, Mekah dikuasai oleh Bani Syaibah.

Pada tahun ketujuh Hijrah, berlaku perang pembukaan kota Mekah yang dimenangi tentera Islam. Berikutan itu, Saidina Ali diarahkan supaya mengambil kunci itu daripada Bani Syaibah, malangnya pintu Kaabah tidak dapat dibuka walaupun menggunakan anak kunci yang sama.

Anak kunci itu kemudian dipulangkan kepada Bani Syaibah atas perintah Allah menerusi ayat 58, surah An-Nisa’ yang mafhumnya, ‘Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya’.

Pada masa itu, Bani Syaibah belum memeluk Islam. Tindakan Rasullulah memulangkan semula kunci Kaabah itu telah membuka hati ketua Bani Syaibah untuk memeluk Islam diikuti semua pengikutnya.

Keturunan Bani Syaibah telah diamanahkan untuk memegang kunci Kaabah sehingga  hari ini.

sumber: kosmo online

Nafas berbau ketika puasa

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN ANDA perasan ramai yang cuba mengelak untuk bercakap dengan anda. Jika ada sekali pun, mereka seperti menjauhkan muka. Apa yang tidak kena dengan anda?

Cuba tekup tangan di depan mulut dan hembus. Sedarkah anda dengan bau nafas yang kurang menyenangkan? Atau mungkin anda boleh mencuba bertanya insan paling rapat sama ada nafas anda berbau untuk mendapatkan jawapan yang jujur.

Sememangnya masalah nafas berbau sukar ditepis ketika berpuasa. Pasti ramai yang ingin tahu mengapa ia berlaku sedangkan kita tidak makan dan sudah memberus gigi sejurus selepas bersahur pagi tadi.

Pakar Pergigian dari Pusat Perubatan Iheal, Dr. Nazli Haffiz berkata, masalah nafas berbau atau halitosis merupakan perkara biasa bagi mereka yang berpuasa disebabkan beberapa punca.

“Punca utama antara 80 hingga 90 peratus disebabkan keadaan dalam mulut itu sendiri yang tidak dibersihkan dengan betul sehingga memudahkan pembiakan bakteria yang menghasilkan bau,” kata beliau.

Selain itu katanya, makanan yang kita ambil seperti bawang putih, bawang merah, keju, susu, daging dan sebagainya turut menyumbang kepada masalah itu. Lain-lain punca adalah penyakit di saluran respiratori, masalah dalam perut, diabetis, jangkitan sinus, penyakit hati dan buah pinggang.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, masalah nafas berbau menjadi lebih kronik ketika berpuasa disebabkan rembesan air liur kurang dihasilkan kerana kita tidak makan. Menurutnya, air liur adalah bahan pembilas mulut semulajadi.

“Ia membilas mulut anda sepanjang masa dan dengan ini secara tidak langsung membuang cebisan kecil makanan dari permukaan licin gigi. Semasa tidur, rembesan air liur juga kurang. Sebab itu kita mendapat bau mulut yang kurang enak apabila bangun tidur. Selain itu, kekurangan rembesan air liur menyebabkan air liur menjadi likat, susah untuk membilas mulut, menjadikannya kurang oksigen dan menyebabkan pembiakan bakteria anaerob di dalam mulut,” katanya.

Cara mengurangkan nafas berbau:
1. Berus gigi, lidah dan gusi.
Memberus gigi sahaja tidak mencukupi kerana bakteria turut berada di bahagian lidah dan gusi. Pastikan lidah diberus sehingga ke pangkal kerana ia merupakan tempat pembiakan bakteria punca nafas berbau plaing ideal. Gunakan benang flos untuk mengeluarkan sisa makanan di celah gigi. Masa dan teknik memberus tidak penting kerana gigi individu berbeza antara satu sama lain. Yang penting, anda sendiri boleh merasakan sama ada ia bersih atau tidak. Beli cermin khas untuk melihat keadaan gigi bahagian dalam bagi memastikan gigi diberus dengan sebersihnya. Penggunaan ubat kumur juga tidak membantu dalam mengatasi masalah nafas berbau.

2. Elak mengambil makanan berbau
Kurangkan pengambilan makanan seperti bawang, bawang putih, keju, susu, daging dan telur. Berus gigi dengan betul selepas menikmati makanan sebegini. Elakkan juga makanan berbau kuat seperti petai dan sebagainya.

3. Kurang bercakap
“Kalau dalam Islam sendiri pun, Nabi berpesan supaya kita kurangkan bercakap bagi mengelak berkata perkara yang tidak baik. Seeloknya ia diamalkan ketika berpuasa bagi mengurangkan masalah nafas berbau,” kata Dr. Nazli.
Apabila seseorang itu banyak bercakap tetapi tidak makan dan minum, air liurnya akan cepat mengering.

4. Berjumpa doktor
Masalah nafas berbau yang berlaku walaupun gigi sudah dibersihkan dengan sebaik mungkin berpunca daripada masalah pada gigi atau gusi. Sila berjumpa doktor untuk mengenalpasti puncanya.

sumber; Utusan online
 

‘Tiada lagi sentuhan kasih sayang’



Oleh Mohd Rifaat Abd Hamid
rencana@hmetro.com.my

MASALAH...kegagalan guru untuk mendidik boleh mengakibatkan pelajar menjadi lebih bermasalah kerana kurang perhatian dan kasih sayang. GURU dulu tegas dan komited sewaktu menjalankan tugas, namun di sebalik ketegasan itu ada hati yang bersih dan ikhlas mendidik pelajar menjadi anak bangsa berjaya.

Disebabkan sikap bertanggungjawab itu, mereka bukan saja dihormati malah mulia kedudukannya dalam kalangan masyarakat.

PENDEKATAN SEBENAR...guru perlu bijak menggunakan pendekatan betul bagi memastikan proses pembelajaran berjalan lancar dan cemerlang.

Kini, ketegasan, integriti, profesionalisme, hak bersuara serta taraf guru semakin suram dan merudum di mata masyarakat malah menyedihkan kerana golongan itu mudah diperkotak-katikkan pelajar sendiri.

Ini menjadikan hubungan antara guru-pelajar semakin jauh, dingin dan bergolak. Kesannya, semangat guru kian pudar melaksanakan tanggungjawab lebih dedikasi.

Disebabkan tidak mendapat sokongan selain bebanan tugasan semakin bertambah, motivasi sebahagian guru mulai luntur dan culas melaksanakan tanggungjawab. Mereka tidak lagi memegang falsafah ingin bertanggungjawab memberi pendidikan, tetapi lebih kepada mengajar semata-mata.

Mengajar lebih menjurus kepada kaedah 2M iaitu membabitkan proses penyampaian ilmu pengetahuan dari guru kepada pelajar dan lebih menumpukan kepada pembangunan intelektual atau akademik.

Manakala mendidik membentuk sahsiah atau akhlak dan memerlukan tempoh masa panjang untuk membentuk akhlak pelajar yang baik.

Persoalannya apakah beza mendidik dan mengajar?

Pensyarah Kanan Program Pendidikan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Isya Awang, berkata ada perbezaan antara konsep mendidik dan mengajar dalam ilmu pendidikan.

Beliau berkata, mengajar lebih ketara berbentuk fizikal manakala mendidik sebagai ‘sentuhan’ emosi dan kasih sayang guru kepada pelajar.

“Boleh dikatakan sebahagian guru hari ini hanya menumpukan pada konsep mengajar berbanding mendidik. Mereka datang ke sekolah hanya untuk mengajar, menghabiskan silibus dan menerima gaji hujung bulan.

“Tiada lagi ‘sentuhan’ atau perasaan kasih sayang telus seperti ditunjukkan golongan guru dulu. Guru dan pelajar kurang berinteraksi, sentiasa mencipta konflik.

“Bagaimanapun, menuding jari pada guru semata-mata adalah tidak adil kerana kita terpaksa menerima keadaan itu kerana senario hari ini tidak semuanya memihak kepada mereka,” katanya.

Katanya, kadangkala guru dibebani kerenah pelajar yang pelbagai menyebabkan ada yang sukar menumpukan perhatian. Akibatnya, akan ada pelajar yang terabai terutama mereka yang bermasalah.

“Tambah memburukkan keadaan, ibu bapa pula datang menyerang dan mempersoalkan kredibiliti guru. Apabila semua pihak menghentam, tidak mustahil ada yang mengambil langkah drastik bersikap sambil lewa dan enggan mengambil tahu,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan ibu bapa hanya tahu mengambil pendekatan ‘lepas tangan’ atau bertindak secara melulu tanpa usul periksa. Secara tidak langsung memberi tekanan kepada guru untuk mencorakkan gaya pembelajaran mereka.

“Jalan mudah, mereka hanya mengajar dan tidak mahu mendidik. Ironinya, guru berpendapat, tidak perlu menjalin atau mengambil berat mengenai pelajar kerana ibu bapa sendiri kurang memberi sokongan.

“ Mengapa mesti menanggung beban sedangkan ibu bapa hanya relaks. Ia seperti barah hingga akhirnya menghakis sikap profesionalisme guru yang sepatutnya bertanggungjawab penuh terhadap tugas dan tanggungjawabnya,” katanya.

Ditanya mengapakah guru zaman dulu mempunyai nilai ‘sentuhan’ ajaib hingga menerbitkan hubungan rapat dengan pelajar, beliau berkata tugas guru dulu jarang ‘diganggu’ atau digugat pelbagai tugas sampingan lain.

Menurutnya, guru dulu boleh menumpukan perhatian pada tanggungjawab hakiki kerana semua pihak faham makna pendidikan dan menuntut ilmu.

“Masalahnya hari ini guru atau pihak berkenaan kurang memahami makna itu tapi lebih mementingkan keputusan akademik . Malangnya itu bukan jaminan cemerlang sahsiah diri.

“ Secara tidak langsung, menggambarkan bagaimana proses mendidik gagal dilaksanakan sedangkan untuk berjaya, gabungan keduanya perlu seimbang supaya dapat menampung kekurangan yang ada,” katanya.

Guru pula sebaliknya ada yang tidak mampu mempunyai komitmen tinggi terhadap tugas kerana segelintirnya menjadi guru semata - mata mahu mempunyai gaji dan pendapatan samping yang lebih berbentuk material.

“ Dibandingkan guru dulu, mereka ikhlas dan tidak berkira mengenai bayaran, guru sekarang sebaliknya malah ada yang terus melanjutkan tugas di luar dengan harapan memperoleh pendapatan sampingan, misalnya tuisyen.

“ Itu tidak salah namun sejauh manakah guru mampu membina hubungan baik dan mesra dengan pelajar. Adakah mereka mengambil berat dengan bertanya khabar atau masuk kelas, mengajar, beri kerja rumah kemudian keluar?

“ Suasana seperti ini tidak sihat kerana perhubungan guru - pelajar hanya termaktub dalam kelas semata - mata. Guru tidak mengenali pelajar, begitu sebaliknya, justeru bagaimanakah sentuhan kasih sayang itu boleh menerbitkan hubungan yang erat,” soalnya.

Guru, katanya, perlu berusaha mengembalikan semula martabat sebagai golongan dihormati manakala masyarakat termasuk ibu bapa perlu memberi peluang golongan itu mencorakkan proses pendidikan mengikut acuan tersendiri asalkan tidak menyalahi peraturan.

“ Guru jadilah golongan bertanggungjawab, kembalikan semula maruah yang sudah lama tercalar. Proses melahirkan masyarakat dan bangsa berguna tidak boleh dizahirkan melalui satu mekanisme semata-mata.

“Boleh mengajar tapi tekankan juga kepentingan mendidik. Barulah lengkap pakej untuk melahirkan pelajar cemerlang akademik, budi dan peribadi seperti termaktub dalam falsafah Pendidikan Kebangsaan,” katanya.

Tokoh Guru Kedah 2009, Sayed Mahadzir Sayed Omar pula berpendapat teknik mendidik dan mengajar guru berbeza dibandingkan guru zaman dulu.

Menurutnya, guru dulu mengajar berasaskan kasih sayang dan semangat patriotisme juga menerima kepercayaan tinggi daripada ibu bapa yang rela ‘menyerahkan’ anak untuk dididik.

“ Mereka tidak kisah anak ‘dipukul’ kerana tahu itu tanggungjawab guru menjadikan mereka berjaya. Malangnya hari ini tidak boleh kerana banyak akta atau peraturan perlu dipatuhi.

“ Bayangkan, kalau pelajar bermasalah, tapi tangan guru ‘terikat’, apakah boleh pelajar itu diasuh menjadi manusia yang baik? Justeru tidak hairanlah, ramai guru hari ini lebih senang mengajar daripada mendidik kerana tidak mahu masalah berbangkit,” katanya.

sumber: metro Online

kenapa orang dulu-dulu panjang umur

Amalan atau tabiat pertama yang perlu diberi perhatian ialah pastikan anda makan lima sajian bersaiz kecil setiap hari.


Masyarakat di Barat mengambil makanan sebanyak tiga kali sehari, tetapi sebenarnya adalah lebih baik untuk anda menikmati makanan sebanyak lima kali sehari. Tetapi mesti ingat, ia perlulah dalam kuantiti yang kecil sahaja.


Kenapa begitu? Kerana apabila anda kerap makan namun dalam kuantiti yang sedikit, anda akan kekal menyalurkan nutrien, tenaga, darah dan gula untuk keperluan tubuh sepanjang hari. Makan dengan cara ini juga tidak membebankan sistem penghadaman dan sistem metabolisme. Ia sekali gus mengurangkan risiko penyakit jantung.


Amalan kedua ialah menukar tabiat menaiki lif dengan menaiki tangga. Senaman setiap hari boleh menjadikan anda seorang yang sihat, menguatkan sistem imunisasi, otot dan menambah tenaga. Jangan jadikan kerja yang padat sebagai alasan untuk anda tidak melakukan aktiviti fizikal. Cuba cari peluang untuk berjalan laju, berjoging atau mungkin juga menaiki basikal ke tempat kerja sekiranya tempat kerja dan kediaman tidak terlalu jauh. Selepas solat Subuh boleh menyertai kumpulan taichi di taman perumahan atau mungkin juga boleh mula mendaftar di mana-mana pusat gimnasium berhampiran. Mulakan sekarang dan anda pasti akan nampak kesannya.

Ketawa dan bergembiralah. Ketawa sebagai ubat memang telah diketahui kemujarabannya. Ketawa juga dapat meningkatkan sistem imunisasi badan dan menghasilkan sel semula jadi yang melindungi tubuh dari kesakitan dan penyakit kanser. Apabila kita ketawa, hormon endorfin dihasilkan sekali gus memberikan satu perasaan tenang dan puas. Memang tidak dinafikan lagi mereka yang hidup dalam kegembiraan hidup lebih lama dan sihat daripada mereka yang sentiasa bersedih.


Pastikan minum 8 gelas air setiap hari. Air amat penting bagi memastikan tubuh berfungsi secara sihat. Para saintis juga bersetuju bahawa air yang bersih daripada pencemaran kimia dan toksik adalah baik untuk kesihatan dan umur yang panjang. Jadi pilihlah air yang telah ditapis di mana proses penapisan yang terbaik ialah menerusi arang yang diaktifkan kerana ia mengasingkan benda asing tetapi dalam masa yang sama mengekalkan kandungan mineral. Perlu juga diingat, jangan menyimpan air di dalam bekas plastik kerana bahan yang terkandung dalam plastik tersebut yang disebut polychlorinated biphenyls (PCBs) boleh meresap ke dalam air.

Menambah amal ibadah bagi umat Islam dan bermeditasi bagi yang bukan Islam. Memang tidak dinafikan tekanan boleh memendekkan usia seseorang. Dalam kehidupan kita yang serba moden hari ini memang tidak boleh lari daripada tekanan, tapi ia boleh dielakkan jika anda pandai mencari jalan mengelakkannya. Beribadah atau bermeditasi adalah salah satu cara terbaik untuk melegakan tekanan dan menyegarkan anda semula. Menerusi ibadah dan meditasi anda akan dapat bernafas dengan baik. Apabila pernafasan anda sempurna ia secara tidak langsung menyingkirkan sebanyak 70 peratus toksin dan benda kotor dalam tubuh anda. Amalan tersebut juga menjadikan minda anda tenang, mengurangkan hormon tekanan dan mengajar tentang disiplin diri. Ini semua memang penting untuk memastikan kehidupan yang anda lalui sihat dan diberkati. Jika ada masa terluang boleh juga mencuba senaman ini. Duduk dengan selesa di atas kerusi empuk atau boleh juga bersila di atas lantai.

Pejam mata dan setiap kali masalah timbul di fikiran anda bayangkan masalah tersebut berada dalam sebiji belon. Bayangkan belon yang membawa masalah tersebut terbang tinggi di langit dan akhirnya hilang daripada pandangan.

Cuba ulang cara ini hingga anda tidak lagi memikirkan tentang masalah tersebut. Selepas beberapa ketika anda pasti akan berasa ringan dan fikiran anda akan lebih fokus. Mungkin dengan mengamalkan lima amalan ini akan mengubah diri anda menjadi seorang yang lebih berkualiti di muka bumi ini. Cubalah dan jangan bertangguh untuk setiap perkara yang baik.


sumber;http://www.facebook.com/?ref=hp#!/notes/pak-ngah-farit-ismeth-emir/bagaimana-orang-dulu-dulu-boleh-panjang-umur/241207049253116












Friday, 12 August 2011

suhu dalam bangunan tidak kurang daripada 24 darjah Celsius

PUTRAJAYA - Semua bangunan kerajaan diarahkan menetapkan suhu dalam bangunan tidak kurang daripada 24 darjah Celsius sebagai langkah penjimatan tenaga, kata Menteri Tenaga, Teknoloji Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Beliau berkata, langkah kecekapan penggunaan tenaga itu akan berkuat kuasa selepas surat pekeliling mengenai perkara itu dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.
"Perdana Menteri mengarahkan sebagai satu langkah yang bijak kecekapan penggunaan tenaga, semua bangunan kerajaan diminta menetapkan suhu bangunan tidak kurang daripada 24 darjah Celsius.
"Kecuali bagi tempat-tempat khas seperti hospital yang memang memerlukan paras suhu yang rendah," katanya pada sidang akhbar bersama Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas di sini semalam.
Terdahulu, kedua-dua mereka menghadiri mesyuarat Majlis Teknologi Hijau Negara dan Perubahan Cuaca, yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Bangunan Perdana Putra di sini.
Mengulas lanjut, Fah Kui berkata, suhu yang ditetapkan itu adalah sesuai untuk persekitaran tempat kerja dan ia juga boleh menjimatkan keseluruhan bil elektrik sesebuah bangunan kerajaan itu.

p/s: Langkah yang bijak....


Thursday, 11 August 2011

Najib umum RM53.4 juta biayai pelajar

PUTRAJAYA 10 Ogos - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan RM53.4 juta sebagai wang pendahuluan pembiayaan kepada 35,664 pelajar yang akan memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan bermula 3 September depan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, semua pelajar yang layak akan menerima wang sebanyak RM1,500 seorang, dua minggu sebelum tarikh pendaftaran kemasukan ke IPT.

"Ini adalah salah satu usaha yang mana selaras dengan prinsip pendemokrasian pendidikan. Percayalah, kerajaan akan terus membantu golongan muda kerana mereka adalah harapan negara dan kita akan melakukan yang terbaik untuk menjamin masa depan golongan belia," katanya hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, bantuan itu diberikan kepada pelajar yang keluarga mereka berpendapatan tidak melebihi RM4,000 sebulan dan yang belum pernah mendapat pembiayaan PTPTN sebelum ini. - BERNAMA

p/s: Buat pelajar cikgu yang mendapat PTPTN  gunakan lah sebaik mungkin wang tersebut dan  menggunakannya secar berhemah...

Monday, 8 August 2011

bayaran khas kewangan setengah bulan kepada kakitangan awam


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bayaran khas kewangan setengah bulan kepada kakitangan awam dengan bayaran minimum sebanyak RM500 yang akan dibayar pada pertengahan bulan ini. - BERNAMA 08/08/2011

p/s: syukur alhamdulillah

Sunday, 7 August 2011

29,000 korban akibat kemarau



Seorang kanak-kanak yang kekurangan zat makanan menangis ketika menerima rawatan di Hospital Banadir di Mogadishu.

NAIROBI, Kenya 6 Ogos - Krisis kemarau dan kebuluran di Somalia telah mengorbankan lebih 29,000 orang terutama kanak-kanak di bawah umur lima tahun dalam tempoh tiga bulan lalu, menurut anggaran Amerika Syarikat (AS).

Seorang pegawai bantuan kerajaan AS, Nancy Lindborg memaklumkan kepada jawatankuasa Kongres di Washington Rabu lalu mengenai angka itu, yang kebanyakan berlaku di selatan Somalia.

Angka itu berdasarkan tinjauan pemakanan dan kematian yang disahkan oleh Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit AS.

Anggaran itu adalah yang pertama dikeluarkan mengenai angka korban akibat krisis kebuluran di negara Tanduk Afrika itu.

Sebelum ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan, berpuluh-puluh ribu rakyat Somalia telah mati akibat kemarau di negara itu, tanpa memberi angka rasmi, krisis terburuk dalam tempoh 60 tahun.

Menurut PBB, 640,000 kanak- kanak Somalia lagi turut berhadapan kekurangan makanan yang serius, statistik yang menunjukkan angka kematian kanak-kanak akan meningkat.

Dalam pada itu, PBB turut mengumumkan tiga lagi penambahan zon kebuluran di Somalia, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan zon kebuluruan kini berjumlah lima wilayah yang meliputi 7.5 juta penduduk.

Menurut PBB, 3.2 juta rakyat Somalia kini memerlukan bantuan segera.

Namun, usaha membawa masuk bantuan ke negara ini adalah sukar ekoran rangkaian kumpulan al- Qaeda, al-Shabab menguasai kebanyakan wilayah yang tandus di negara ini.

Al-Shabab menafikan kebuluran berlaku di kawasan mereka dan tidak mahu memberikan akses kepada Program Makanan Dunia


p/s: Simpati sangat semoga tidak terjadi kepada negara kita.. Bersyukur dengan apa yang diperolehi pada hari ini... Inilah kuasa Allah nak memberikan kita ujian dalam menghadapi kesukaran hidup.. tabahkah kita melaluinya?

Kek lapis Sarawak halal

KUCHING 5 Ogos - Semua pengusaha kek lapis Sarawak yang terkenal di negeri ini tidak menggunakan mentega Golden Churn Creamy Butter untuk menghasilkan produk mereka.

Presiden Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS), Datuk Abang Helmi Ikhwan berkata, mentega berjenama itu bukanlah pilihan utama untuk menghasilkan kek lapis oleh para pengusaha di negeri ini kerana harganya mahal.

Bagaimanapun, beliau mengakui, terdapat segelintir pengusaha kecil pernah menggunakan produk itu sebelum menghentikan penggunaannya sejak disahkan haram April lalu.

"Kita telah mengadakan pertemuan dengan para pengusaha kek lapis dan mereka memaklumkan tidak pernah menggunakan mentega itu kerana harganya lebih mahal berbanding jenama lain.

"Bagi yang pernah menggunakannya pula, mereka menyamak peralatan dan premis masing-masing serta beralih menggunakan jenama lain sejak beberapa bulan lalu," katanya pada sidang akhbar bersama DUBS dan Persatuan Pengilang Bumiputera Sarawak (Pengasas) mengenai isu tersebut di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Pengasas, Dawi Abd. Rahman. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Islam Sarawak dan Jabatan Agama Islam Sarawak baru-baru ini mengesahkan mentega Golden Churn Creamy Butter tidak halal kerana mengandungi Asid Deoksiribonukleik (DNA) babi.

Ekoran pengesahan tersebut, reputasi pengusaha kek lapis di negeri ini dikhuatiri terjejas walaupun mereka tidak menggunakan produk berkenaan.

Abang Helmi seterusnya memberitahu, para pengusaha roti dan biskut yang terlibat dalam perkhidmatan pembekalan makanan ke sekolah-sekolah dan pejabat kerajaan juga tidak pernah menggunakan mentega berjenama Golden Churn.

"Mereka tidak memilih jenama itu kerana daripada perspektif industri, penggunaannya melibatkan kos yang tinggi," katanya.

p/s: Nak beli sesuatu barang tengok tanda logo Halal terlebih dahulu...
 

Friday, 5 August 2011

HIKMAT-HIKMAT PUASA

Puasa mempunyai hikmat-hikmat dan faedah-faedah yang banyak, antaranya:

- Menandakan kesyukuran kepada Allah kerana nikmat-nikmat yang banyak kepada hamba-hambanya.


- Melatih jiwa supaya mempunyai rasa belas kasihan terhadap orang-orang yang susah dan menderita.


- Melatih jiwa supaya bersih daripada sifat-sifat tamak, sombong dan hasad dengki.


- Melatih diri supaya bersifat sabar dan tabah menempuh ujian-ujian dalam perjuangan hidup.


- Menanamkan semangat perpaduan kerana sama-sama menunaikan kewajipan yang sama itu dapat


menimbulkan perpaduan.


- Menanamkan semangat sama rata dan menjauhkan sifat membeza-bezakan di antara kaya miskin, hina mulia,  raja dan rakyat kerana sama-sama menjunjung peritah Allah.


- Melatih diri supaya mempunyai peraturan-peaturan dan menghargai masa kerana puasa mempunyai batas-batas  waktu yang tertentu.


- Membersihkan anggota-anggota di dalam tubuh badan dari daki-daki dan lemak-lemak makanan yang  bekerja sepanjang tahun.

- Memberi kerehatan kepada alat-alat di dalam tubuh badan - terutamanya alat pengisar makanan yang  bekerja sepanjang tahun.


- Memberi peluang untuk memperbanyakkan amal ibadah kerana Bulan Ramadhan mempunyai keistimewaan  yang tidak ada pada bulan-bulan lain seperti Lailatul-Qadar dan Sembahyang Tarawih.















Thursday, 4 August 2011

Rosmah minta badan amal pelbagai program OKU

KOTA KINABALU 4 Ogos - Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyeru badan amal di negeri-negeri supaya melaksanakan pelbagai program yang dapat mensiapsiagakan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) ke tahap lebih tinggi.
Semasa menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada golongan OKU di bawah program Semai Bakti di sini hari ini, beliau berkata, kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan, badan korporat dan individu perlu ditingkatkan untuk memastikan golongan itu sentiasa menjadi sebahagian daripada masyarakat.


"Saya menyeru kepada seluruh masyarakat agar kita tidak sesekali terlepas pandang terhadap kebajikan golongan ini. Usahlah kita memandang enteng keupayaan anak-anak istimewa ini.


"Saya kerapkali menyatakan bahawa mereka perlu diberi lebih ruang untuk memainkan peranan secara lebih menyeluruh dan saksama agar dapat mencapai potensi maksimum sebagai anggota masyarakat yang mampu menyumbang ke arah pencapaian matlamat dan wawasan negara,” katanya.


Rosmah yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), berkata beliau pasti golongan muda OKU mempunyai keupayaan masing-masing yang setara dan mungkin lebih hebat daripada anak-anak yang sempurna sifatnya.
sumber: Utusan Online

CUEPACS terus minta kerajaan timbang bonus

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sekali lagi meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian dua bulan bonus kepada penjawat awam tahun ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berharap kerajaan dapat menyediakan bonus sebulan sebelum sambutan Hari Raya dan sebulan bonus selepas sambutan perayaan itu.

Beliau berkata, CUEPACS telah memohon secara rasmi melalui surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dua bulan lepas dan mengharapkan berita baik itu diumumkan tidak lama lagi.

"Sudah dua tahun penjawat awam tidak mendapat bonus sejak 2008 dan adalah diharapkan tahun ini kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus tersebut sebelum dan selepas Hari Raya bagi mengurangkan beban kewangan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. - Bernama

sumber: Utusan Online 
p/s: BONUS menerima seadanya jika ada .. kalau ada .. Alhamdulillah, kalau tak da pun... tak mengapa bukan rezeki nampaknya...

Guru tertoreh kepala pelajar

KUALA TERENGGANU - Seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di Marang cedera di kepala selepas tertoreh pisau yang dipegang seorang guru dalam kejadian tengah hari semalam.
Akibat kejadian 12 tengah hari itu, Mohd. Hafirza Mujahid menerima lima jahitan di sebelah kiri kepalanya, manakala guru berusia 55 tahun tersebut ditahan polis kira-kira 12 jam kemudian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP K. Manoharan berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pelajar itu melanggar arahan guru lelaki tersebut yang tidak membenarkannya keluar kelas ketika dia sedang mengajar.

Berang dengan perbuatan pelajar itu, guru terbabit menjejaki Mohd. Hafirza sambil tangannya memegang sebilah pisau kecil, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

"Guru itu akhirnya menjumpai pelajar berkenaan di sebuah kelas lain dan ketika cuba menarik tangan pelajar tersebut untuk kembali ke kelas, berlaku sedikit pergelutan menyebabkan pisau yang dipegang guru itu secara tidak sengaja telah tertoreh kepala pelajar terbabit,” katanya. - Bernama

 sumber: Kosmo online
p/s: semoga bulan ramadhan memberi aku  kesabaran dalam berdepan dengan karenah anak didikku yang kadang kala perlu ada kesabaran...