Sunday, 25 March 2012

Keputusan SPM Pelajar Khas saya

Alhamdulillah keputusan SPM 2011 yang baru sahaja keluar cukup menggembira bagi saya. Tahun ini seramai 7 orang pelajar telah menduduki peperiksaan tersebut. Tiga calon buta dan empat calon rabun. Bagi matapelajaran yang aku ajar iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah masih lagi kekal dengan pencapaian 100%.Yang paling menggembirakan aku ialah pencapaian sejarah 3 orang mendapat keputusan cemerlang A dan selainnya kepujian. Bahasa Melayu pula seorang mendapat A, 3 orang mendapat B, dan    2 mendapat C dan seorang lulus sahaja. Sedih juga apabila mendapat tahu seorang pelajar saya hanya mendapat  lulus sahaja, walhal saya mengharapkan kepadanya sasaran utama sekurang-kurangnya mendapat kepujian apabila melihat setiap keputusan peperiksaan sekolah yang kurang memberangsang.
Tahun  ini pencapaian terbaik pelajar saya ialah 6A, 1C dan 1D. Tahniah diucapkan....



Inilah sebahagian pelajar khas ku yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM 2011. tahinah diucapkan

Wednesday, 7 March 2012

Guru ganti' SMKA Durian Guling pelajar terbaik STPM Terengganu




MARANG 7 Mac - Suasana Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Durian Guling yang sepi ekoran kebanyakan pelajar sedang menduduki peperiksaan bertukar riuh-rendah dengan sorakan dan ucapan tahniah hari ini.
Suasana itu dapat dilihat apabila pelajar sekolah itu mengetahui salah seorang 'cikgu' di sekolah tersebut diumum pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 peringkat negeri.
Abdul Rahim Abdullah, 20, yang juga merupakan guru ganti mata pelajaran Bahasa Arab sejak sebulan lalu merupakan salah seorang daripada 83 calon sekolah itu yang menduduki peperiksaan berkenaan.
-- utusan malaysia-
...

Hasrat masuk IPT ditebus Remyzal


KUANTAN 7 Mac - Hasrat Remyzal Errie Zulkafli, 20, untuk menebus kekecewaannya kerana tidak dapat menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi (IPT) selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2009 mungkin akan tercapai.
Ini kerana, dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 yang diumumkan hari ini, dia antara pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abu Bakar di sini yang mendapat kelulusan cemerlang dalam peperiksaan itu.
Anak muda berasal dari Perkampungan Sungai Isap itu mendapat empat prinsipal iaitu 3A, IB dalam empat mata pelajaran aliran sastera yang diambilnya iaitu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Sejarah dan Pengajian Perniagaan.
-- utusan malaysia--

Kecewa keputusan SPM dorong Nur' Ain cemerlang STPM



IPOH 7 Mac - Kecewa hanya memperoleh 1A pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendorong anak seorang pembantu perubatan di sini berusaha keras sehingga muncul salah seorang pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 di negeri ini.
Malah, wajah sugul ayahnya, Yusseri Ibrahim, 47, dan air mata ibu, Khatijah Ahmad, 41, yang mengalir semasa keputusan SPM itu disampaikan dianggap sebagai satu 'tamparan' paling hebat buat Nur' Ain, 20, sekali gus menguatkan azam untuk berusaha bersungguh- sungguh sehingga mendapat 4A pada STPM.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Chulan di sini itu mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dengan memperoleh A bagi keempat-empat subjek yang diambil iaitu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Kesusasteraan Melayu dan Sejarah.
-- utusan melayu-
...

Saya kena usaha lebih’

SELAYANG: “Saya amat bersyukur kerana berjaya membuktikan insan cacat penglihatan seperti saya ini juga mampu berjaya dan memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan seperti insan normal lain,” kata pelajar istimewa cemerlang kategori buta bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Malik (B), Alor Setar, Kedah, Anis Nabilah Wahab.
Anis Nabilah, 20, yang menghadapi masalah cacat penglihatan sejak dilahirkan berjaya memperoleh keputusan 1A, 1A- dan 2B sekali gus membolehkannya menjadi pelajar cemerlang dengan menerima hadiah berupa wang tunai RM1,000, sijil penghargaan dan sebuah plak.

Menurutnya, dorongan daripada ibu bapa menjadi semangat utama baginya untuk berjaya dan amat berterima kasih kepada rakan-rakan yang banyak memberikan bantuan untuknya belajar tanpa melihat kepada kekurangan dimilikinya.

Katanya, walaupun menghadapi sedikit masalah dalam mata pelajaran Pengajian Am kerana membabitkan pengiraan namun tidak mematahkan semangatnya yang memang berminat untuk mengambil STPM berbanding melanjutkan pengajian ke peringkat diploma.

“Saya terpaksa melebihkan waktu untuk belajar kerana saya bukan seperti insan lain. Tetapi saya yakin kekurangan yang dimiliki ini pasti ada hikmahnya dan kini baru saya tahu sesiapa saja boleh berjaya sekiranya mempunyai kemahuan.


“Selepas habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya tidak memohon untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) sebaliknya memilih untuk menduduki peperiksaan STPM dan tidak kisah walaupun ada mengatakan STPM susah.

“Tinggal di asrama sekolah menyebabkan saya mempunyai banyak masa untuk mengulangkaji dan selepas ini saya akan cuba mencapai cita-cita untuk menjadi seorang pensyarah agar masa depan lebih terjamin,” katanya.
--berita harian--

92.19% calon STPM lulus penuh


KUALA LUMPUR 7 Mac - Seramai 46,712 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 mencatatkan keputusan lulus penuh bagi sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dalam peperiksaan yang diduduki hujung tahun lalu.
Jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 0.31 peratus berbanding tahun 2010 yang mencatatkan seramai 46,795 calon mendapat keputusan sama.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin berkata, daripada jumlah itu, seramai 2,579 calon mencapai keputusan lulus penuh untuk lima mata pelajaran manakala 20,638 calon pula lulus penuh empat mata pelajaran.
Katanya, calon lulus penuh empat mata pelajaran menunjukkan sedikit peningkatan iaitu sebanyak 0.22 peratus berbanding tahun 2010.
"Biarpun terdapat sedikit penurunan dari segi calon lulus penuh, ia adalah penurunan biasa memandangkan peratusan itu terlalu sedikit dan bukannya merosot teruk.
-utusan-

Pelajar OKU cemerlang STPM






KUALA LUMPUR - Kecacatan tidak menghalang pelajar orang kelainan upaya (OKU) mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011.
Itulah yang dibuktikan oleh tiga pelajar OKU, Anis Nabilah Wahab, Eric Su Chii Mou dan Yeow Ting Fong yang masing-masing mengalami masalah kecacatan penglihatan, rabun dan spastik.
Bagi Anis Nabilah, 19, yang memperoleh 2A dan 2B, keyakinan terhadap keupayaan diri untuk menggenggam kejayaan menjadi prinsip hidupnya walaupun dilahirkan buta sejak lahir.
"Saya percaya kejayaan pasti datang jika seseorang itu percaya pada kemampuan diri dan yakin bahawa Allah sentiasa ada untuk membantu jika usaha berterusan dilakukan," katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan STPM 2011 oleh Majlis Peperiksaan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, Ting Fong, 19, pula melahirkan rasa gembira kerana tidak menyangka memperoleh keputusan 4A.
-- kosmo online-

Tuesday, 6 March 2012

450,000 guru tunggu KUP dilaksana



KUALA LUMPUR : Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) merayu kerajaan melaksanakan skim perkhidmatan khas untuk penyandang (KUP) seperti yang diumumkan kerajaan pada Belanjawan 2012.
Presidennya, Hashim Adnan berkata, NUTP menyokong penuh skim perkhidmatan itu kerana ia membabitkan kira-kira 450,000 guru yang melalui proses kenaikan pangkat berdasarkan cukup tempoh perkhidmatan (time base).

Katanya, sekiranya kenaikan pangkat berdasarkan ‘time base’ itu dapat dilaksanakan sudah pasti mutu kerja guru dapat ditingkatkan dengan jayanya.
“‘Time base’ ialah cukup tempoh masa perkhidmatan apabila guru mendapat kenaikan pangkat, sebagai contoh di bawah sistem baru ini guru siswazah gred DG44 yang berkhidmat lapan tahun akan naik pangkat untuk jawatan gred DG48 berbanding tempoh masa 10 tahun sebelum ini.

“Bagi guru bukan siswazah gred DG29 yang turut berkhidmat lapan tahun akan naik pangkat untuk jawatan gred DG32, jika sebelum ini seorang guru itu terpaksa menunggu 10 tahun untuk naik pangkat, kini hanya lapan tahun saja mereka dapat kenaikan pangkat,” katanya di sini, semalam.

Katanya, NUTP berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelaksanaannya seiring dengan pengumuman semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang bakal diumumkan keputusannya tidak lama lagi.

“Guru sering bertanya kepada kami mengenai KUP ini selepas diumumkan kerajaan tahun lalu kerana lebih 100,000 guru di negara ini masih tidak berpeluang mendapat kenaikan pangkat.

“NUTP yakin Perdana Menteri turut menyampaikan berita baik kepada warga pendidik di negara ini ketika pengumuman keputusan semakan semula SBPA nanti,” katanya.
Katanya, NUTP menyokong penuh penambahbaikan yang dilakukan kerajaan terhadap sistem ‘time base’ yang mula dilaksanakan sejak Sistem Saraan Malaysia (SSM) pada 2002.

Sementara itu, Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng berkata, kesatuan itu turut mengirim telegram kepada Perdana Menteri, kelmarin merayu menjaga kebajikan guru di negara ini.

--my metro--




Ustaz mengaku salah sebab kematian pelajar


HANIF (kiri) diserbu jurugambar ketika dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Alor Setar selepas mengaku bersalah, semalam.
HANIF (kiri) diserbu jurugambar ketika dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Alor Setar selepas mengaku bersalah, semalam.
ALOR SETAR: Seorang ustaz sebuah sekolah agama persendirian di Arau, Perlis mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, semalam, terhadap pertuduhan pilihan menyebabkan kematian pelajar Tahun Satu, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, tahun lalu.

Hanif Mohd Ali, 28, yang berasal dari Teluk Intan, Perak membuat pengakuan salah itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab.
Tuduhan pindaan itu dibuat selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun berjaya membuktikan kes itu mengikut Seksyen 304 (a) kanun sama.
Sebelum ini, tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Kangar, Perlis namun tiada sebarang pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Terdahulu, Hanif yang berjubah putih dan berkopiah ketika membuat permohonan kepada mahkamah untuk meringankan hukuman ke atasnya, turut menyatakan rasa kesalnya terhadap tindakan yang menyebabkan kematian kanak-kanak berusia tujuh tahun itu.

“Saya mohon maaf kepada semua pihak terhadap tindakan saya dan merayu mahkamah meringankan hukuman kerana masih mempunyai keluarga yang uzur termasuk hutang pengajian dan bukannya hutang peribadi.

“Saya juga berharap pihak mahkamah dapat menghukum saya selayaknya dan apa yang berlaku adalah di luar jangkaan saya. Berilah saya peluang untuk memperbaiki diri dan bertaubat,” katanya.
Sementara itu, pihak pendakwa memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh kerana menyebabkan kematian mangsa, selain menyifatkan tertuduh sudah menyalahgunakan kuasanya sebagai warden asrama.

Mengikut pertuduhan, Hanif didakwa kerana menyebabkan kematian Saiful Syazani di Sekolah Rendah Agama Al Furqan, Jejawi, Perlis.
--my metro--
Hanif dituduh melakukan kesalahan itu di bilik warden asrama putera sekolah terbabit antara jam 6 petang hingga 12 tengah malam pada 31 Mac 2011.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin dan Nadia Hanim Mohd Tajuddin, manakala tertuduh diwakili Ariff Azami Hussien, Azizul Shariman Mat Yusoff, Zulmi Sabri dan Mohd Fikri Abdul Rahman.

semakan Online keputusan STPM 2011

Hari Ini keputusan STPM akan dikeluarkan. Tentunya debaran terasa kepada semua pelajar STPM 2011 untuk mengetahui keputusan mereka.   semoga berjaya diucapkan
Ingin tahu keputusan STPM 2011 secara online bolehlah klik di sini stpm 2011

P/s:: Buat pelajar pendidikan Khas, cikgu doakan semoga mendapat keputusan cemerlang.

Monday, 5 March 2012

Anak lebam teruk akibat dibuli










SEREMBAN – Seorang ibu mendakwa anak sulungnya  yang merupakan murid tahun satu sebuah sekolah kebangsaan di sini mengalami lebam teruk di seluruh tubuh dipercayai menjadi mangsa buli tiga pelajar senior yang meminta wang daripada mangsa.
Suzianawati Mohamad, 33, berkata, Faqrul Hakimi Mohd. Kamarulzaman, 7, mengalami lebam-lebam di muka, badan, paha dan betis dipercayai dipukul dengan objek keras dalam kejadian Jumaat lalu.
Akibatnya, kata beliau, anaknya itu kini trauma sehingga sukar untuk menerangkan kepadanya mengenai kejadian sebenar yang berlaku.
“Saya menyedari anak saya dibelasah dan dibuli ketika menjemputnya dari sebuah rumah anak yatim di Taman England dekat sini pada kira-kira pukul 7.30 petang, Jumaat lalu.
“Saya terkejut apabila melihat kecederaan yang dialami Faqrul Hakimi dan dia memberitahu, dia telah dipukul ketika berada di sekolah.
“Bagaimanapun, dia gagal memberitahu dengan jelas bagaimana peristiwa itu boleh berlaku mungkin kerana trauma akibat dipukul dengan teruk,’’ katanya di sini semalam.
-kosmo--

Sunday, 4 March 2012

Wujud badan khas pantau disiplin pelajar


KOTA KINABALU 4 Mac - Pihak sekolah di negeri ini disaran mewujudkan satu badan khas bagi memantau masalah disiplin pelajar bagi memastikan mereka sentiasa menjaga tingkah laku dan tidak terlibat dalam gejala sosial.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Bolkiah Ismail berkata, skop kerja badan pemantau itu diharap tidak terhad di sekolah sahaja tetapi turut memantau pergerakan pelajar di luar sekolah.
"Badan pemantau yang akan diwujudkan oleh sekolah itu perlu juga menjadi 'mata-mata' di luar sekolah bagi memastikan pelajar tidak terlibat dalam gejala sosial dan aktiviti tidak bermoral," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun yang ditangkap oleh pihak berkuasa kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pelacuran baru-baru ini.
-- utusan-

Graduan tempatan gagal tepati kehendak majikan

KUALA LUMPUR: Graduan yang lahir daripada sistem pendidikan Malaysia gagal memenuhi kehendak bakal majikan kerana kekurangan kemahiran berfikir secara kritis dan lemah dalam berkomunikasi.

Ini menyebabkan majikan perlu menyediakan latihan tambahan untuk menyesuaikan mereka ke dalam skop kerja masing-masing manakala ramai graduan perlu menerima pekerjaan yang tidak sesuai dengan kelayakan mereka.
Perunding pendidikan, sumber manusia dan pengambilan pekerja yang berpangkalan di Malaysia, merasakan terdapat keperluan asas yang kukuh dalam pemikiran kritikal dimasukkan ke dalam sistem pendidikan sebagai usaha menyediakan generasi akan datang untuk pasaran pekerjaan.
Pengurus negara Manpower Staffing Services (M) Sdn Bhd, Sam Haggag berkata terdapat jurang yang ketara antara apa yang dihasilkan sistem pendidikan Malaysia dengan apa yang dicari majikan.

"Ini menyebabkan enam daripada 10 graduan dari universiti-universiti Malaysia mengambil masa sehingga enam bulan untuk mendapatkan pekerjaan. Sebanyak 40 peratus lagi mengambil masa yang lebih lama lagi," kata Haggag, yang syarikatnya menyediakan penyelesaian tenaga kerja yang termasuk pengambilan dan latihan.

"Pengambilan adalah satu cabaran yang berbeza memandangkan universiti-universiti mengeluarkan graduan yang tidak mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk memasuki tenaga kerja. Daripada konteks tenaga kerja, kami dapati bahawa tujuh daripada 10 graduan yang datang untuk temuduga pengambilan gagal ujian kecekapan bahasa Inggeris yang ditetapkan oleh pelanggan kami.

"Kurang penguasaan dalam bahasa Inggeris mengehadkan kebolehan mereka untuk berkomunikasi di luar sempadan Malaysia dan ini mengurangkan keyakinan mereka dan mengurangkan keupayaan mereka untuk menambah nilai di tempat kerja," katanya.
Ketua Pegawai Sumber Manusia Hong Leong Bank, Ramon Chelvarajasingam berkata ramai graduan baru yang muncul daripada sistem pendidikan Malaysia tidak mempunyai kemahiran pemikiran kritikal yang diperlukan untuk bersaing dalam dunia yang sentiasa berubah dan menjadi semakin kompetitif.

"Kaedah dan teknologi-teknologi baharu memaksa orang ramai untuk beroperasi di luar zon selesa mereka. Di negara-negara pesaing kita, profesional muda lebih maju dalam pemikiran kritikal, berinovasi, berfikir di luar kebiasaan dan mempunyai inisiatif pembangunan berterusan berbanding dalam Malaysia," tegasnya.

Beliau berkata hari ini, kebanyakan majikan mencari graduan dengan tahap keyakinan yang tinggi yang terdedah kepada bidang khusus di luar pengajian akademik mereka. - BERNAMA

Saturday, 3 March 2012

Lelaki cacat penglihatan kena samun


GEORGETOWN: Sekumpulan penjenayah dikesan menggunakan taktik kononnya ingin memberi sumbangan wang Bantuan Rakyat 1Malayisa (BR1M) sebelum menyamun mangsa.
Dalam kejadian Khamis lalu, seorang lelaki cacat penglihatan menjadi mangsa apabila dia dan ibunya disamun sekumpulan tujuh penjenayah di rumah mereka di Taman Bukit Jambul, di sini.

Menurut sumber, mangsa berusia 42 tahun pada mulanya didatangi seorang wanita yang mendakwa mahu menyampaikan wang BR1M kepadanya.
“Sejurus mangsa memberitahu dia tidak mahu wang terbabit, wanita itu keluar daripada rumah mangsa dan memanggil enam lelaki.

“Tiba-tiba kumpulan lelaki itu yang bersenjatakan parang menyerbu masuk ke rumah sebelum mengikat mangsa dan ibunya,” katanya.

Menurutnya, penjenayah kemudian menggeledah rumah mangsa dan mengambil wang tunai RM1,200 serta barang kemas sebelum melarikan diri.
-my metro--

Teruk dirotan selepas ejek rakan





MELAKA - Seorang bapa mendakwa anaknya yang belajar di sebuah sekolah agama swasta sejak hampir dua bulan lalu dirotan sehingga lebam semata-mata kerana kesalahan mengejek kawan-kawannya.
Abdul Rahim Abdul Wahid, 37, mendakwa, Amir Azamuddin, 14, disebat dengan rotan sebesar ibu jari pada pukul 7.30 pagi Khamis lalu oleh seorang guru Madrasah Tahfiz Al-Quran Ar Rashidin, Alor Gajah sebanyak 10 kali di belakang, bahu kiri dan kedua-dua betis sehingga lebam-lebam dan luka.
"Saya tidak kisah anak saya dirotan tetapi biarlah hukuman itu setimpal dengan kesalahan yang dilakukan dan bukan ikut emosi sampai cedera," katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Rambai di sini semalam.
Katanya, Amir Azamuddin memberitahu, kejadian mengejek kawan-kawannya itu berlaku di asrama mereka di Taman Seri Bayu, Alor Gajah pada malam Rabu lalu sebelum seorang rakannya mengadu perkara berkenaan kepada guru terbabit keesokan harinya.
"Sebaik menerima aduan, guru itu yang juga seorang ustaz berjumpa anak saya dan tiga lagi rakannya sebelum merotan mereka," ujarnya.
Hukuman itu dijalankan di madrasah tersebut yang terletak bersebelahan taman berkenaan.
Menurut Abdul Rahim, anaknya dirotan sebanyak sepuluh kali sedangkan rakan-rakannya sebanyak empat atau lima sebatan sahaja.
-- kosmo--

Aku sebagai warden asrama

Tahun ini sudah hampir 4 tahun aku menjadi warden di sekolah ini... tetapi kalau di kira-kira berdasarkan aku menjadi warden di sekolah lama mau juga hampir  6-7 tahun aku bergelar cikgu@warden..bila menjadi warden tanggungjawab punyalah berat....  menjaga pelajar macam menjaga anak sendiri... tidur pun tidak mencukupi. tapi semua itu sudah tugas yang perlu dibebani... sepanjang aku menjadi warden pelbagai cabaran yang aku lalui antaranya apabila pelajar kena "rasuk". aku ni manalah tahu kalau  kena rasuk macam ni. Kadang kala mahu juga aku buat kajian tindakan kenapa pelajar boleh dirasuk sama ada  dibuat buat atau memang terjadi. Allah Maha Mengetahui.. Cara yang aku lakukan ialah membaca surah-surah pilihan dan membaca surah yassin.. Jika belum sembuh terpaksalah panggil ustaz...

Cabaran seterusnya bila asrama  tidak ada air  paip. Sengsara betul. sehinggakan kerana terlalu kasihan  tangki kat belakang rumah terpaksa dibuka untuk menampung segala bagai keperluan harian pelajar jika ketiadaan air. Namun tahun ini Alhamdulillah ketiadaan air bukan sudah menjadi masalah yang besar..pelajar mandi dengan puasnya dan air melimpah-limpah...

Aku juga pernah berdepan dengan ibu bapa yang tidak faham dengan tugas warden., Ada yang menganggap warden ini berkerja sepenuh masa menjaga anak mereka. Tidak mengapalah jika itu andaian mereka. Ini kerana pernah berlaku apabila anak mereka sakit demam dan selaku warden dan guru yang mempunyaim komitmen sebagai pendidik di sekolah  tidak sempat menghantar pelajar tersebut ke Hospital walhal tahap kesakitan pelajar tersebut bolehlah dikatakan ringan sahaja. Namun ibu bapa tidak faham dan terus marah kerana andaian mereka kami warden ini tidak menjaga anak mereka.
Dalam kes seperti bukan kecemasan seperti demam ringan inisitaif yang aku lakukan ialah  lebih suka menghantar pelajar pada sebelah malam ke unit kecemasan.. Ini kerana bimbang jika  keluar  menghantar pelajar pengajaran ku akan terganggu dan terpaksa diganti.tetapi jika berlaku kecemasan seperti pengsan, demam keterlaluan  dan selaku warden  memang tidak akan membiarkan pelajar ni terus berada di bilik, paling cepat terus ke hospital dan menghubungi ibu bapa mereka dan tidak hairanlah staff kat hospital tersebut sudah kenal dengan  diriku dan ada yang mesra  kerana sering melihat aku  membawa pelajar ke hospital.
Semua itu adalah cabaran sebagai warden.. Tugas ku  sebagai warden di sekolah ini menjaga tiga kelompok yang berbeza iaitu pelajar pendidikan khas bermasalah penglihatan, pelajar biasa dan juga pelajar pendidikan khas masalah pembelajaran yang  menjadi penghuni di asrama ini tetapi mereka masih boleh menguruskan diri masing-masing. Tanggungjawab sebagai warden ini memang berat kadang kala bila aku berada di luar kawasan asrama, fikiran ku terbayang-bayang pelajar asrama ku  sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini dan ini menyebabkan aku jarang keluar untuk waktu yang terlalu lama kerana perasaan bimbang masih ada dalam diriku terutama terhadap pelajar pendidikan khas itu sendiri.







 Inilah sebahagian anak-anak asramaku pada tahun ini. semoga menjadi pelajar yang baik dan berdisiplin dan mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan...semoga aku diberikan kesihatan yang baik untuk menjaga mereka ini supaya menjadi pelajar yang cemerlang. Amin..

Friday, 2 March 2012

Salji turun di Masjid Al-Aqsa




BAITULMUQADDIS - Masjid Al-Aqsa dan sebahagian besar Israel serta wilayah-wilayah di Palestin semalam dilitupi salji buat kali pertama dalam tempoh empat tahun.
Salji lebih tebal dilaporkan turun di rantau Galilee, utara Israel dan kawasan Hebron Tebing Barat.
Stesen radio Israel melaporkan bahawa sekolah-sekolah di kawasan yang paling teruk terjejas disebabkan salji telah ditutup manakala perkhidmatan bas antara bandar juga dibatalkan.
Timbunan salji setebal lebih tiga meter dicatatkan di puncak Gunung Hermon di kawasan Bukit Golan yang dikuasai Israel sejak salji turun pada Rabu lepas.
Fenomena tersebut adalah yang pertama kali berlaku sejak salji tebal turun di bandar ini pada musim sejuk 2008. - AFP
-kosmo-

Thursday, 1 March 2012

Keputusan STPM diumumkan Rabu depan

KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 akan diumumkan Rabu depan.


Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam satu kenyataan di sini, hari ini berkata, calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai jam 12 tengah hari, manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui pos.
Calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM ResultNo.Kad Pengenalan dan hantar ke 15888.
Menurut MPM, keputusan juga boleh diperolehi dengan melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my mulai jam 12 tengah hari pada tarikh tersebut.

Satu sidang media mengenai analisis keputusan peperiksaan akan diadakan pada tarikh yang sama pada jam 12 tengah hari di Dewan Besar, MPM, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor.

Tahun lalu 50,602 calon menduduki peperiksaan STPM. Daripada jumlah itu, 46,817 orang adalah calon sekolah kerajaan, 1,266 calon sekolah swasta dan 2,519 calon persendirian. - BERNAMA

-- semoga pelajarku satu-satunya calon pendidikan khas yang mengambil STPM tahun lalu mendapat keputusan cemerlang dan dapat menjejakkan langkah ke menara gading seperti rakan-rakannya yang lain...