Wednesday, 2 March 2011

biasiswa Honda Dreams Fund 2011


Buat pelajar-pelajar yang berminat nak memohon biasiswa Honda  Dreams Fund bolehlah kalau nak tau tentang biasiswa ni klik kat sini http://www.honda.com.my/socialresponsibility/hondadreamsfund/applicationprocess/

Kalau nak download borang dalam Bahasa Inggeris  klik lah sini
http://www.honda.com.my/socialresponsibility/hondadreamsfund/download/A4leaflet.pdf

kalau nak download borang dalam Bahasa Melayu pulak klik lah kat sini
http://www.honda.com.my/socialresponsibility/hondadreamsfund/download/A4leafletbm.pdf

semoga berjaya

USM cipta laman pengajaran braille

2011/03/03
GEORGETOWN: Seorang pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta laman sesawang khusus dikenali eKodBrailleBM yang menawarkan pengajaran braille kepada orang normal bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran golongan cacat penglihatan.

Ciptaan itu yang dipercayai pertama di dunia, dihasilkan atas kesedaran kekurangan sumber pembelajaran berasaskan braille bagi digunakan sebagai alat sokongan dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk golongan cacat penglihatan. Produk eKodBrailleBM iaitu Sistem Tutorial Multimedia Atas Talian Kod Braille Bahasa Malaysia dihasilkan Prof Madya Dr Lee Lay Wah dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), bagi membantu sesiapa saja 'celik' bagi mengajar orang buta. Ia adalah sistem pertama seumpamanya di dunia memuatkan alat bantu mengajar yang mudah digunakan berpandukan kepada empat teori pembelajaran utama merangkumi teori pembelajaran masteri, pengajaran, teori multimedia dan teori motivasi.

Lay Wah berkata, eKodBrailleBM dicipta dengan beberapa kelebihan yang bersifat interaktif selain mempunyai ciri seperti animasi Flash, Braille Simulator, penilaian bimbingan, permainan Braille dan tutor maya.

"Kelebihan produk ini membolehkan sistem pembelajaran dilakukan secara individu mengikut kelapangan diri masing–masing,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sistem tutorial multimedia itu menawarkan kursus kod braille dalam lima tahap pembelajaran secara lengkap iaitu asas braille, singkatan braille, tanda braille, tanda matematik asas dan braille lanjutan yang membolehkan mereka menjejaki langkah pembelajaran.

Setiap individu mengikuti kursus dalam talian akan dianugerahkan sijil bagi setiap kejayaan menamatkan tahap pembelajaran serta menerima lima sijil pencapaian yang diiktiraf PPIP.

SUMBER: Berita harian online
P/S- semoga lebih ramai masyarakat berminat belajar kod braille. Bukan mudah nak belajar tetapi jika ada minat semua boleh jadi..

Sejarah hidup Louis Braille

Entry kali ini aku nak kongsikan tentang maklumat Louis Braille. Sebagai guru pendidikan khas masalah penglihatan insan ini adalah orang yang paling penting dalam dunia pendidikan pelajar-pelajar khas. Kalau dia tidak  ada, mungkin pelajar-pelajar ku tidak tahu membaca serta menulis.



Louis Braille dilahirkan pada 4 Januari 1809 di bandar Coupvray berhampiran Paris. Beliau merupakan pengasas tulisan braille, iaitu titik timbul bagi menggantikan huruf dan nombor. Louis Braille merupakan anak keempat kepada seorang tukang kulit bernama Simon René Braille dan mempunyai penglihatan normal ketika kecil. Ibunya bernama Monique. Ketika berusia 3 tahun Louis Braille telah bermain-main di kedai ayahnya apabila dia tercucuk matanya dengan satu peralatan menebuk lubang pada kulit 'awl' (peralatan dengan hujung tajam dengan pemegang kayu bulat) kepunyaan bapanya. Walaupun mendapat khidmat perubatan terbaik pada masa itu, matanya yang sebelah lagi terkena jangkitan kuman mengakibatkan Louis Braille kehilangan penglihatan di kedua-dua belah matanya.
Walaupun buta, Louis Braille mendapat galakan ibubapanya, paderi tempatan dan guru sekolah untuk menghadiri kelas di mana dia mendahului rakan-rakannya yang celik. Bagaimanapun, disebabkan kecacatan penglihatan, dia tidak dapat membaca atau menulis. Pada tahun 1819, ketika berusia 10 tahun, Louis Braille telah mendapat biasiswa untuk belajar di Paris di Institut Kanak-Kanak Buta. Pengasas institut tersebut, Valentin Haüy, telah mendapat idea untuk membekalkan buku dengan huruf timbul untuk dibaca oleh orang buta. Buku-buku tersebut agak sukar dibaca, tebal dan mahal untuk dibuat, dengan setiap hurufnya sebesar 1 inci tinggi. Keadaan di sekolah tersebut amat tegas. Bangunan sekolahnya lembap dan melaksanakan sistem displin yang tegas sebagaimana sekolah-sekolah lain pada masa itu. Pelajar yang bersalah akan dirotan, dikurung, dan diberi roti keras dan air. Kehidupan semua orang adalah susah dan kebanyakan pelajar yang dapat melihat akan bekerja ketika berusia 12 tahun di kilang atau dalam lombong arang batu.

Di sekolah di Paris, pelajar buta akan diajar kemahiran praktikal seperti menganyam kerusi dan membuat selipar agar mereka dapat mencari nafkah selepas menamatkan persekolahan. Sekali seminggu, mereka akan dibawa bersiar di taman dengan diikat di pinggang dengan tali. Mereka diajar membaca tetapi tidak untuk menulis. Huruf di buku dibuat dengan menggunakan wayar tembaga yang ditekan pada kertas. Disebabkan setiap huruf perlu dibentuk menggunakan wayar, orang buta tidak dapat melakukannya dengan sendiri. Di sekolah itu hanya terdapat empat belas buku seperti itu dan Loius Braille membaca kesemuannya. Louis Braille merupakan seorang yang berbakat. Dia mempelajari cara bermain cello dan organ ketika masih muda dan bermain organ di gereja seluruh bandar Paris. Muzik memberikannya pendapatan yang tetap dan Loius Braille menggemarinya.

Pada tahun 1821, seorang pegawai tentera Charles Barbier de la Serre telah membuktikan bahawa perutusan yang ditulis dengan titik dan tanda sengkang dapat ditekan di atas kertas tebal untuk kegunaan perhubungan ketenteraan pada waktu malam ketika dalam parit pertahanan. Ini untuk mengelak daripada dikesan oleh musuh, tetapi ditolak oleh pihak tentera disebabkan kesukaran untuk melatih tentera. Sistem penulisan malam ataupun sonography menggunakan dua belas titik dan sengkang yang timbul mewakili bunyi berlainan. Tanda sengkang memakan banyak ruang dan setiap muka surat hanya dapat diisi dengan satu atau dua ayat. Charles Barbier menunjukkan cara penggunaan tulisan malam di sekolah Louis Braille yang menerimanya sebagai percubaan sahaja. Louis Braille menyedari kebaikan sistem titik timbul dan berusaha untuk memudahkannya.

Ketika bercuti Louis Braille menghabiskan masanya memperbaiki cara penulisan timbul ini. Louis Braille menyedari kelematan sistem Sonography seperti penggunaan asas dua belas titik dan penulisan berasaskan bunyi. Ketika berada dibengkel ayahnya, Louis Braille menyentuh alat penebuk ayahnya dan dia mendapat idea untuk menggunakan alat penebuk yang tumpul untuk membentuk tanda titik timbul di atas kertas. Selepas beberapa bulan berusaha, dia mendapati sistem enam titik timbul sebagai yang terbaik. Kedudukan titik yang berbeza mewakili huruf berbeza. Louis Braille terus memajukan penulisan braille selama beberapa tahun, memajukan kod mathematik dan muzik.

Pada tahun 1827 buku braille pertama dikeluarkan. Bagaimanapun sistem baru ini tidak diterima serta merta. Ini disebabkan terdapat halangan oleh mereka yang tidak memahami keperluan orang buta dan tidak mahu menerima atau menggalakkan penggunaan bentuk tulisan yang tidak dapat dibaca oleh orang biasa. Malah salah seorang pengetua di sekolah Louis Braille melarang penggunaan tulisan braille dan membakar buku braille yang ada. Bagaimanapun tulisan braille terus dipelajari dan digunakan oleh pelajar-pelajar dengan secara bersembunyi. Louis Braille sentiasa gigih menyebarkan tulisan braille dan akhirnya barulah tulisan braille diterima. Pada tahun 1834 Louis Braille menyempurnakan sistemnya dan menerbitkan buku Cara Menulis Perkataan, Muzik, Dan Lagu Dengan Menggunakan Titik Untuk Kegunaan Orang Buta Dan Disusun Oleh Mereka "Method of Writing Words, Music and Plain Song by Means of Dots, for Use by the Blind and Arranged by Them" .

Dengan menggunakan tulisan braille, sekarang orang buta bukan saja boleh membaca, malah dapat menulis dengan menggunakan peralatan tajam menyerupai penebuk 'awl' yang membutakan mata Louis Braille dahulu. Mereka kini dapat berdikari. Louis Braille menjadi guru di sekolah tempat dia belajar dahulu. Louis Braille dikagumi dan dihormati oleh pelajar- pelajarnya kerana kegigihannya, tetapi dia tidak dapat melihat sistem penulisan braillenya diterima ramai. Louis Braille sering diserang penyakit dan pada tahun 6 Januari 1852 ketika berumur 43 dia mati akibat penyakit Penyakit Batuk Kering.

Pada permulaannya sistem tulisannya hampir terkubur tetapi beberapa orang penting menyedari kepentingan ciptaan Louis Braille dan pada tahun 1868, Dr. Thomas Armitage (1824-1890) dan tiga rakannya mengasaskan 'British and Foreign Society for Improving the Embossed Literature of the Blind'. Kumpulan sahabat yang kecil ini bertambah dan menjadi Institusi Negara DiRaja Untuk Orang Buta 'Royal National Institute for the Blind', pencetak buku braille terbesar di Eropah dan British. Pada tahun 1990, tulisan braille digunakan di seluruh dunia dan diterima pakai oleh hampir semua bahasa daripada Albani hingga ke Zulu.

Di Perancis pencapaian Louis Braille diakui ditahap kebangsaan dan pada tahun 1952, jasadnya dipindahkan ke Paris di mana dia dikebumikan di Pantheon, tempat pengkebumian wira negara Perancis. Melalui usaha Louis Braille, beribu-ribu orang buta dapat membaca dan menulis.

NUTP dedah salah laku guru wanita

Oleh Syuhada Choo Abdullah
2011/03/02

Ibu bapa buat laporan anak lelaki sering diusik dalam kelas
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendedahkan ada guru wanita didakwa ‘mengusik’ pelajar lelaki, terutama yang dikatakan memiliki paras rupa atau penampilan menarik di sekolah menengah. Presidennya, Hashim Adnan, berkata perbuatan guru wanita sedemikian didakwa menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ibu bapa pelajar terbabit sehingga ada yang membuat aduan kepada NUTP. “Setakat ini, ada tiga ibu bapa menghubungi NUTP mengadu guru wanita mengambil kesempatan terhadap anak lelaki mereka di sekolah.

“Satu daripada aduan membabitkan seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat mendakwa pipinya selalu ‘dicubit-cubit manja’ oleh seorang guru wanita di kelas kerana meminati rupa parasnya yang menarik, bukan kerana hukuman disiplin.

“Perbuatan itu bukan saja menyebabkan pelajar terbabit sering berasa segan dan serba-salah, malah menjadi bahan ejekan atau gurauan rakan sekelas terhadapnya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kes guru didakwa mencabul kehormatan atau merogol pelajar di sekolah menjadi tajuk berita sejak kebelakangan ini, termasuk kelmarin, akhbar melaporkan 11 pelajar perempuan Tingkatan Tiga sebuah sekolah menengah di Ampang di sini, mengadu dicabul guru disiplin ketika merotan mereka kerana tidak hadir perhimpunan, Jumaat lalu.

Guru lelaki itu didakwa meletakkan tangannya pada dada pelajar terbabit kononnya bagi merasai denyutan jantung sebelum merotan punggung mereka.

Namun, jarang dilaporkan mengenai kes guru wanita yang terbabit dalam salah laku membabitkan pelajar lelaki.

Hashim berkata, dakwaan membabitkan kedua-dua guru lelaki mahupun wanita harus dibendung bagi mengelakkan masyarakat semakin hilang kepercayaan terhadap integriti dan kredibiliti pendidik di sekolah.

Justeru, katanya, semua guru mesti bersikap profesional ketika menjalankan tugas, termasuk ketika mengambil tindakan berbentuk fizikal terhadap pelajar.

“Disarankan guru lelaki atau wanita yang dikesan mahupun didapati ada tanda atau kecenderungan melakukan ‘usikan’ tidak wajar terhadap pelajar berlainan jantina, ditukarkan untuk bertugas di sekolah lelaki atau perempuan sepenuhnya,” katanya.

Tuesday, 1 March 2011

1,086 penjawat awam bankrap dan berhutang

PUTRAJAYA: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong hari ini mendedahkan ramai penjawat awam di negara ini dibelenggu masalah keterhutangan yang serius yang mungkin membawa kepada kebankrapan.

Beliau berkata pada tahun 2009 sahaja, Jabatan Insolvensi Malaysia melaporkan seramai 1,086 penjawat awam diisytiharkan bankrap di mana 72.74 peratus daripadanya adalah lelaki.

"Masalah ini perlu difahami oleh semua penjawat awam kerana belenggu masalah  hutang boleh menjejaskan prestasi penjawat awam, dan sekiranya prestasi terjejas  dengan teruk maka boleh diambil tindakan tatatertib," katanya ketika merasmikan  Taklimat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Taklimat Kebankrapan dan  Taklimat Bantuan Guaman kepada ahli Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam
Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Seramai 1.2 juta penjawat awam di negara ini, terutama mereka yang berpendapatan sederhana iaitu RM3,500 ke bawah, digesa supaya lebih bijak dalam mengurus kewangan masing-masing agar tidak dibebani hutang, seterusnya diisytihar bankrap.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs)  Datuk Omar Osman berkata pendedahan bahawa seramai 1,086 penjawat kerajaan  diisytihar bankrap dianggap sebagai angka yang tinggi dan tidak sepatutnya  berlaku.
Omar berkata pada masa ini 80 peratus daripada penjawat awam mempunyai  pelbagai jenis hutang, termasuk dari bank mahupun koperasi, dan ia dipercayai  didorong oleh kebolehan mendapatkan pinjaman dengan mudah melalui status sebagai  penjawat awam.

p/s- Bijak mengurus kewangan, belanjalah mengikut kemampuan bukan mengikut perasaan..

NUTP tak bela

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) tidak membela guru yang melakukan jenayah terutama membabitkan pencabulan ke atas pelajar, sebaliknya menyerahkan kes berkenaan kepada polis menyelesaikannya.

Setiausaha Agungnya, Loke Yim Pheng berkata, pendirian NUTP sangat tegas dan mahu semua ahlinya akur bahawa tiada perlindungan diberi sekiranya mereka benar-benar disabitkan bersalah atas jenayah dilakukan hingga memberi implikasi buruk.

Katanya, kes membabitkan seorang guru disiplin lelaki berusia 30-an di sekolah menengah di Ampang yang didakwa mencabul 12 pelajar perempuan sangat serius dan pihaknya enggan terbabit sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

“Memang guru berkenaan ada menghubungi saya selepas berita kejadian terbabit tersiar dan dia mengatakan tidak melakukan perbuatan itu, tetapi saya maklumkan kepadanya mengenai pendirian NUTP yang tegas dalam soal ini,” katanya.

“Saya katakan pihak kesatuan memang tidak membela mana-mana guru yang terbabit dalam jenayah cabul, kita takkan campur tangan apatah lagi kes berkenaan sudah menjadi kes polis....biarlah polis yang menyelesaikannya,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Loke berkata, tugas guru perlu mendidik anak bangsa menjadi insan yang baik di masa depan, namun mereka juga perlu sedar dalam soal itu tidak wajar menyentuh pelajar apatah lagi guru lelaki.

“Saya nak nasihatkan guru lelaki dan perempuan jangan sentuh pelajar kerana kita tidak mahu terbabit dalam masalah lain yang boleh membabitkan kes polis dan dibawa ke mahkamah.

“Apabila berlaku kes begini kita tak berani nak cakap betul atau tak, kena ada bukti....apa pun guru sendiri kena berhati-hati,” katanya.

Akhbar semalam melaporkan seorang guru lelaki berusia 30-an yang mengajar di sekolah menengah di Ampang diberkas polis, Jumaat lalu apabila didakwa mencabul 12 pelajar.

Sumber: My metro

Matlamat kerajaan laksana sistem persekolahan satu sesi

TEMERLOH: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata adalah menjadi matlamat kerajaan untuk melaksanakan sistem persekolahan satu sesi kerana ia lebih sesuai untuk pembelajaran di negara ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, bagaimanapun beberapa perkara berkaitan kemudahan infrastruktur dan penambahan tenaga pengajar perlu diselesaikan pihak kerajaan terlebih dahulu sebelum sistem itu dapat dilaksanakan sepenuhnya. "Walaupun baik, tapi untuk mencapai sasaran itu ianya membabitkan pelbagai perkara, infrastruktur, tenaga pengajar dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan dengan warga pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan Kerdau di sini, petang tadi. Beliau berkata, objektif kerajaan ialah untuk melaksanakan sistem persekolahan satu sesi supaya aktiviti kokurikulum dapat diadakan pada waktu petang.

"Ketika ini sesi persekolahan pagi perlu ditamatkan pada jam 1 (tengah hari) atau 2 (petang), dan sesi petang sampai larut petang, kalau kita nak buat aktiviti kokurikulum, tak boleh kecuali (pada) hari-hari lain."

Muhyiddin berkata, beliau tidak dapat menjangkakan bila sistem persekolahan satu sesi dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana ia memerlukan pertambahan jumlah sekolah dan juga guru.

"Memang banyak faedah apabila kita laksanakan satu sesi persekolahan, tapi untuk melaksanakannya kita perlu lebih banyak sekolah dan guru untuk menampung keperluan....kalau tak mampu kita (terus) gunakan dua sesi," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, kerajaan Barisan Nasional sentiasa memperuntukkan jumlah yang besar untuk pendidikan negara.

"Kita membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk sistem pendidikan negara, tahun ini sahaja sebanyak RM26 bilion untuk pengurusan dan sebanyak RM6.4 bilion lagi untuk pembangunan," katanya. -
BERNAMA
Sumber: Berita harian