Monday, 3 October 2011

Bayi dicampak masuk longkang


Keadaan mayat bayi yang ditemui dalam longkang.


SELAYANG – Bayi sendiri diperlakukan bagaikan sampah apabila seorang gadis berusia 19 tahun tergamak mencampak bayi yang baru dilahirkan ke dalam longkang dari tingkat dua Flat Taman Selayang Segar 2, Selayang Baru di sini semalam.
Mayat bayi perempuan malang itu ditemui oleh seorang lelaki pada pukul 7 pagi yang kebetulan melalui kawasan itu.
Ibu bayi itu yang mendakwa panik sebaik melahirkan anak di dalam tandas bertindak mencampak bayinya ke dalam longkang menerusi tingkap.
Ketika ditemui, bayi yang dalam keadaan bogel dan mempunyai kesan cedera di kepala itu berada dalam keadaan tertiarap di dalam longkang berkenaan.
Bayi yang cukup sifat itu dipercayai baru dilahirkan kerana masih mempunyai tali pusat.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, susulan penemuan mayat bayi dalam keadaan menyayat hati itu, polis menahan seorang gadis berusia 19 tahun yang tinggal di flat tersebut.
Menurut beliau, gadis itu belum berkahwin dan polis mengesyaki dia mengandung angkara hubungan sulit dengan teman lelakinya.
“Suspek yang bekerja sebagai pelayan restoran itu mengaku melahirkan bayi berkenaan di dalam tandas rumahnya pada pukul 4 pagi ini (semalam).
“Suspek mendakwa ketika dilahirkan, bayi terbabit sudah tidak bernyawa menyebabkan dia membuang anaknya itu ke dalam longkang,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

sumber: Kosmo online

Pelajar ponteng setahun masih mahu ambil PMR hari ini


BALING 3 Okt. - Beberapa pelajar di sebuah sekolah menengah di daerah ini yang telah lama ponteng didapati datang semula ke sekolah hari ini semata-mata memastikan nama mereka tidak tercicir dan layak menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) esok.
Sumber sekolah itu memberitahu, kira-kira empat pelajar didapati telah ponteng dari sekolah selama setahun dan datang hanya untuk memastikan nama mereka tertera pada meja dan layak untuk menduduki peperiksaan itu.
"Meskipun layak kerana mematuhi prosedur peperiksaan, namun sikap sebegini tidak sepatutnya berlaku di kalangan pelajar," ujar sumber berkenaan kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Menurutnya, inilah yang selalu dilakukan oleh segelintir pelajar tetapi pihak sekolah tidak boleh menghalang mereka daripada mengambil peperiksaan.
Katanya, ibu bapa mesti bertanggungjawab memastikan anak mereka ke sekolah dan jangan pula menyalahkan pihak sekolah sekiranya anak mereka dihalang daripada menduduki peperiksaan.
"Walaupun beberapa surat tunjuk sebab telah dihantar kepada waris tetapi tidak ada perhatian dan kerjasama yang diberikan dan akhirnya guru dipersalahkan.
"Justeru itu, kerjasama daripada ibu bapa perlu demi masa depan anak mereka kerana pelbagai usaha dilakukan oleh guru dan sekolah untuk meningkatkan pelajar, malah sekolah tidak pernah menyisihkan mana-mana pelajar demi masa depan," tambahnya.

Belanjawan 2012 tangani kesulitan berpendapatan rendah


KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bertanyakan soalan mengenai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen sementara, Kuala Lumpur, semalam. - Utusan/MOhd. Naim Aziz


KUALA LUMPUR 3 Okt. - Kerajaan bakal mengumumkan beberapa inisiatif di dalam Belanjawan 2012 pada Jumaat ini khusus untuk menangani kesulitan golongan berpendapatan rendah yang kini terpaksa berhadapan dengan cabaran persekitaran ekonomi cukup hebat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, susulan inisiatif-inisiatif itu kerajaan akan mengekalkan momentum ke arah menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi.
''Melalui bajet itu kerajaan juga komited untuk mengurangkan defisit fiskal negara dan kita akan menerangkannya secara terperinci. (Apa yang penting) Apa-apa program yang akan kita laksanakan adalah di bawah lingkungan kemampuan kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, prestasi ekonomi negara terus berkembang walaupun berhadapan dengan ketidaktentuan pasaran negara-negara luar antaranya kelembapan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) serta krisis hutang kerajaan negara Eropah.
''Sebagai negara perdagangan, persekitaran tidak menentu ini sudah tentu memberi kesan kepada ekonomi negara melalui hubungan kewangan dan pasaran kewangan.
''Namun keadaan ini dijangka hanya memberi kesan yang minimum memandangkan negara mempunyai kekuatan daya tahan, asas ekonomi yang mapan serta perancangan ekonomi yang kukuh," katanya lagi.
Mengenai prestasi ekonomi semasa beliau berkata, dalam tempoh separuh pertama 2011 ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan 4.4 peratus dan angka itu dicatatkan dalam persekitaran yang mencabar terutama selepas berlakunya gempa bumi di Jepun.
''Namun begitu kerajaan jangka pertumbuhan ekonomi dalam separuh kedua adalah lebih baik melalui perbelanjaan dan permintaan domestik serta kecergasan aktiviti pelaburan. Kita jangka perbelanjaan pengguna terus mencatat pertumbuhan ekoran harga komoditi yang kekal tinggi dan prospek pekerjaan yang stabil,"
sumber: Metro Online

Najib doakan kejayaan para para calon PMR

KUALA LUMPUR 4 Okt. — Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam memberi kata-kata perangsang kepada para pelajar Tingkatan 3 yang akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), bermula hari ini.
"Saya mengucapkan selamat menjalani peperiksaan PMR kepada semua pelajar, semoga saudara saudari akan berjaya,” katanya dalam kemaskini twitternya malam semalam.
Pada tahun ini, seramai 481,147 orang calon akan menduduki peperiksaan PMR di 3,521 pusat peperiksaan di seluruh negara pada 4,5,6,10 dan 11 Okt ini. — Bernama

Dulu buta huruf, kini dapat Ph.D


MOHAMAD MUZAMMIL menerima ciuman daripada kakaknya, Nor Kamariah selepas Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya Ke-50 di Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR – Biarpun tidak mampu menulis dan membaca ketika belajar di sekolah rendah suatu ketika dahulu namun, ia bukanlah penghalang kepada Dr. Mohd. Nawi Ismail untuk memperoleh ijazah doktor falsafah (Ph.D) dalam pengajian Usuluddin dan Pemikiran Islam di Universiti Malaya (UM) semalam.
Mohd. Nawi, 43, yang merupakan seorang pensyarah mengalami rabun mata dan cacat sebelah kaki sejak dilahirkan mengakui, dia adalah murid lemah ketika itu tetapi anak jati Pasir Puteh, Kelantan itu mula bangkit ketika berusia 15 tahun.
“Apabila melangkah ke sekolah menengah selepas menjalani pembedahan membuang selaput di mata, saya mula berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya memperoleh Ph.D hari ini (semalam).
“Kejayaan ini juga disebabkan oleh sistem pendidikan negara yang baik di samping berkat sokongan keluarga dan Universiti Malaya sendiri,” katanya selepas istiadat konvokesyen ke-50 universiti itu di sini semalam.
Sementara itu, penerima Ph.D daripada Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Mohamad Muzammil Mohamad Noor, 38, pula berkata, dia merupakan graduan Ph.D berkerusi roda pertama yang lulus daripada fakulti tersebut.

Lengan murid lebam dicubit ustazah Kelantan

ROSMAWATI (kiri) melihat kesan lebam pada lengan Sarifah Amirah akibat dicubit seorang ustazah di Kota Bharu semalam.



KOTA BHARU – Gara-gara membelek kamus bergambar dalam kelas mata pelajaran agama, seorang murid tahun dua sebuah sekolah dekat sini dikatakan dicubit sehingga lebam pada lengan kanan oleh seorang ustazah kelmarin.
Mangsa, Sarifah Amirah Muhammad Khairuddin, 8, memberitahu, kejadian berlaku ketika kelas Agama Islam kira-kira pukul 10.15 pagi.
Menurutnya, ustazah berkenaan telah memberi dua latihan kepada murid-murid untuk disiapkan di dalam kelas.
“Selepas menyudahkan satu latihan, saya membelek kamus bergambar tetapi ustazah telah memarahi saya kerana tidak membuat latihan yang diberikan. Dia merampas kamus tersebut.
“Dia mencubit lengan kanan saya dan kepala saya ditonyoh sebelum hidung ditarik menyebabkan saya menangis kerana sakit dan malu dengan rakan-rakan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tok Jaafar di sini semalam.
Sementara itu, ibu mangsa, Rosmawati Shaari, 32, berkata, dia menyedari kejadian tersebut selepas anaknya pulang dari sekolah kira-kira pukul 1.30 petang.
Jelasnya, abang iparnya, Muhammad Faisal Abdullah, 37, yang mengambil Sarifah Amirah memberitahu anaknya menangis kerana dicubit oleh ustazah.

sumber: Kosmo Online

UNTUK APA KAH INI?

Surat Siaran Pengumpulan Data Pegawai Perkhidmatan Siswazah (PPPS) Gred DG41 dan DG44 Yang Telah Berkhidmat Selama 8, 9 dan 10 tahun Pada tahun 2012 Di KPM

Lain yang di tunggu lain yang keluar, tanya kat Ketua kerani kena isi juga.. macam malas nak isi terlalu banyak dokumen yang di minta. Usaha tangga kejayaan , terpaksalah isi juga.....harap-harap tahun depan adalah hasilnya untuk aku menerima time based dg44... Insya Allah... dah genap 10 tahun....