Friday, 7 October 2011

Saraan baru beri guru kenaikan gaji terbesar


KUALA LUMPUR: Golongan guru yang meliputi kira-kira sepertiga daripada 1.2 juta penjawat awam mendapat kenaikan gaji terbesar menerusi Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) seperti yang diumumkan dalam Bajet 2012.

Guru bukan siswazah menerima kenaikan sehingga 39 peratus, manakala guru siswazah menerima kenaikan 37.7 peratus. Sebagai contoh, gaji maksimum guru bukan siswazah gred DGA34 dinaikkan daripada RM3,860 di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) kepada RM5,370 mengikut SBPA. Bagi guru siswazah pula, gaji maksimum gred DG48, di bawah SSM ialah RM6,325 menjadi RM8,710 mengikut SBPA.
Perdana Menteri juga mengumumkan bantuan persekolahan one-off RM500 untuk isi rumah berpendapatan kurang RM3,000 bagi menangani kos sara hidup.
Bajet 2012 juga memberi durian runtuh kepada 5.3 juta pelajar dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima yang layak mendapat bantuan RM100 untuk setiap pelajar.
Sebanyak RM530 juta diperuntukkan untuk bantuan itu yang akan dilaksanakan menerusi Bank Simpanan Nasional.

Kerajaan juga memperkenal Dana Pengkomersialan Inovasi RM500 juta untuk membolehkan institusi pengajian tinggi dan perusahaan kecil dan sederhana mengkomersialkan hasil penyelidikan dan pembangunan.

Seramai 20,000 guru diploma diberi peluang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda dengan yuran dibiayai Kementerian Pelajaran. Bajet berkenaan menyediakan dana RM80 juta bagi bantuan yuran pengajian itu.
Sementara itu, Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menganggap penurunan tempoh kenaikan gred guru siswazah daripada DG44 kepada DG48 daripada 20 tahun ke 16 tahun sebagai penghargaan besar kepada pendidik di seluruh negara dan tanda kerajaan mendengar rintihan rakyat.

Presidennya, Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata pengurangan tempoh itu bermakna guru siswazah yang cemerlang berpeluang untuk mencapai gred DG52 dan DG54 sebelum usia persaraan yang kini dinaikkan kepada 60 tahun.

KGMMB sangat berpuas hati dengan pengumuman dalam Bajet 2012 kerana turut membabitkan penurunan tempoh kenaikan gred mengikut time-based yang membuka peluang kenaikan gaji bagi guru yang enggan menerima kenaikan pangkat kerana sukar berpindah rumah atau komitmen lain.

Guru yang tidak dilantik sebagai pengetua atau pegawai pelajaran daerah kekal di sekolah sebagai pendidik tetapi masih menerima kenaikan gred, katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sistem saraan baru diperkenalkan

KUALA LUMPUR - Kira-kira 1.3 juta kakitangan awam negara ini menerima berita gembira apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang menawarkan kenaikan gaji lebih baik.

Ketika membentangkan Bajet 2012 bertajuk, Dasar Transformasi Nasional: 'Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara', Perdana Menteri berkata, skim tersebut akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) bertujuan mentransformasikan perkhidmatan awam negara supaya lebih dinamik.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, menerusi SBPA, kenaikan gaji tahunan penjawat awam akan ditingkatkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred bermula tahun depan.
Beliau menambah, penjawat awam yang menerima opsyen ke SBPA akan mendapat faedah kenaikan gaji di antara 7 hingga 13 peratus.
"Dengan pelaksanaan SBPA, lebih 600,000 pesara kerajaan akan menikmati pelarasan pencen yang melibatkan peruntukan RM600 juta.
"Mulai tahun 2013 nanti, kerajaan akan melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan gaji,'' katanya di Dewan Rakyat semalam.

Bonus untuk penjawat awam Disember ini

Bonus untuk penjawat awam Disember ini

KUALA LUMPUR - Kerajaan mengumumkan pemberian bonus tambahan setengah bulan gaji atau minimum RM500 seorang kepada 1.3 juta penjawat awam pada bulan Disember ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah itu bertujuan mengiktiraf sokongan penjawat awam dalam pembangunan negara.
"Langkah tersebut akan menjadikan jumlah bonus yang diberikan kepada penjawat awam pada tahun ini bersamaan dengan sebulan gaji atau bayaran minimum RM1,000.
"Bayaran ini akan memanfaatkan 1.3 juta penjawat awam," katanya pada pembentangan Bajet 2012 di Dewan Rakyat semalam.
sumber: kosmo online

p/s: syukur Alhamdulillah.....menerima seadanya 

berita baik untuk GURU....pendidik macam aku

56. Bajet 2012 akan memperkenalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam atau SBPA yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia atau SSM. Sesungguhnya, SBPA digubal dengan matlamat mentransformasikan Perkhidmatan Awam Malaysia supaya menjadi organisasi yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan prestasi. SBPA akan memperkenalkan prinsip perubahan radikal dalam pengambilan dan pengisian jawatan serta pembangunan kerjaya dengan teras pengekalan atau penamatan perkhidmatan penjawat awam berasaskan prestasi kerja. SBPA ini mempunyai elemen-elemen berikut:

Pertama: Mewujudkan Dasar Pemisah atau exit policy bagi penjawat awam yang berprestasi rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan perkhidmatan;

Kedua: Menambah baik struktur gaji penjawat awam melalui pembentukan gaji sebaris dengan mewujudkan lebih banyak mata gaji supaya penjawat awam terus mendapat kenaikan tahunan bagi tempoh yang lebih lama. Dengan itu, gaji maksimum bagi sesuatu gred adalah lebih tinggi daripada sekarang. Contohnya, jika di bawah SSM, bagi seorang guru pada gred DG48, gaji maksimum adalah 6,325 ringgit dan 39 sen, kelak, di bawah SBPA, gaji maksimum beliau akan meningkat 37.7 peratus kepada 8,710 ringgit. Bagi guru bukan siswazah pula, jika di bawah SSM kini, yang berada pada gred DG34, gaji maksimum adalah 3,860 ringgit dan 52 sen, kelak nanti, di bawah SBPA ia akan meningkat 39 peratus kepada 5,370 ringgit;

Ketiga: Pada perutusan khas Hari Guru yang lalu, saya telah mengumumkan laluan kerjaya perkhidmatan perguruan siswazah yang lebih baik. Tidak perlu lagi seperti dulu, seorang guru terpaksa menunggu sehingga 20 tahun untuk naik pangkat, sebaliknya sekarang, dalam skim baru mengikut time-based, seorang guru akan mendapat gred 44 pada tahun ke-8 dan gred 48 pada tahun ke-16. Bagi guru bukan siswazah, dari gred 29 kepada 32, jika mengikut sistem time-based sekarang, ia memakan masa 10 tahun, namun, di bawah SBPA hanya mengambil tempoh lapan tahun sahaja. Seterusnya pula, bagi kenaikan gred 32 ke 34, jika sekarang ini bergantung pada kekosongan, tetapi di bawah SBPA kelak, kaedah time-based lapan tahun turut diterima pakai; dan

Keempat: Kenaikan Gaji Tahunan tidak pernah disemak sejak 1991. Mulai tahun 2012, Kenaikan Gaji Tahunan penjawat awam akan ditingkatkan antara 80 hingga 320 ringgit mengikut gred. Di samping itu, bagi penjawat awam yang menerima opsyen ke SBPA, akan mendapat faedah kenaikan gaji, di antara 7 hingga 13 peratus.

Thursday, 6 October 2011

Sekolah bakal kena tindakan


MUHYIDDIN meninjau sebahagian calon yang menduduki peperiksaan PMR di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Hartamas, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Kementerian Pelajaran akan mengambil tindakan terhadap pihak sekolah yang sengaja menghalang pelajarnya daripada menduduki peperiksaan penting dalam sistem pendidikan di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kementerian sedang meneliti beberapa laporan yang diterima berhubung perkara itu dan jika ada asas, tindakan akan diambil.
"Tapi kalau pelajar sendiri tidak mahu menduduki peperiksaan kita kaji dengan teliti dan ini bukan salah guru, tidak perlu ambil tindakan," katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Hartamas di sini semalam.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran meninjau sendiri 262 calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sekolah berkenaan yang sedang menjawab soalan Bahasa Inggeris Kertas 1 pada hari kedua peperiksaan itu berlangsung.
Sehubungan itu, Muhyiddin mengingatkan pihak sekolah supaya tidak terlalu ghairah mengejar kecemerlangan sekolah sehingga menafikan hak pelajarnya untuk menduduki peperiksaan penting pendidikan.

Tahap stres pelajar kita tinggi

 PUTRAJAYA 5 Okt. - Hasil kajian Kementerian Kesihatan mendapati pelajar di negara ini mengalami tahap stres yang tinggi.

Dapatan itu diperoleh menerusi projek rintis Program Minda Sihat Menangani Stres Dalam Kalangan Murid sekolah bagi mengenal pasti tanda-tanda stres, keresahan dan kemurungan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, daripada 6,540 orang murid yang telah disaring, 17.1 peratus daripadanya mengalami tanda-tanda keresahan yang teruk, 5.2 peratus kemurungan yang teruk dan 4.8 peratus stres yang teruk.
Daripada jumlah semua pelajar yang disaring itu juga, kata beliau, seramai 2,345 iaitu 36 peratus murid telah mengikuti intervensi latihan kemahiran daya tindak kesihatan mental.
Sejumlah 279 guru pula dilatih untuk mengenal pasti dan mengendalikan masalah emosi, tingkah laku dan permasalahan mental di kalangan murid.
“Bilangan tersebut cukup tinggi, oleh yang demikian kementerian sedang berusaha untuk meningkatkan latihan dan kemahiran Gaya Daya Tindak ke atas pelajar di seluruh negara.
“Banyak sebab yang menjadi penyumbang kepada masalah pelajar dalam hal ini terutama sekolah, peperiksaan, keluarga dan sebagainya tetapi apa yang penting ialah melakukan persediaan awal mengenai kemahiran menangani stres,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Projek rintis kementerian dengan kerjasama Kementerian Pelajaran itu bermula pada Mac lalu dan dijalankan di enam buah sekolah di enam negeri.
Sekolah-sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Badawi, Pulau Pinang; SMK Simpang Bekoh, Jasin, Melaka; Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, Perak dan Sekolah Menengah St Michael, Penampang, Sabah.
Dua lagi ialah Maktab Rendah Sains Mara, Gemencheh, Negeri Sembilan dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Katholik, Petaling Jaya.
Menurut Tiong Lai, kementerian akan memperluaskan projek itu di semua sekolah dalam usaha meningkatkan kesejahteraan di kalangan murid dan warga sekolah serta sebagai persediaan mengelakkan perkara lebih serius berlaku.
“Bukan sahaja pelajar, malah projek ini turut melibatkan latihan kepada guru-guru bagi mengendali masalah stres di kalangan pelajar.
“Ia penting bagi memastikan tiada masalah yang lebih serius berlaku kepada pelajar yang memerlukan khidmat nasihat ketika saat-saat genting,” katanya.
Dalam pada itu, Tiong Lai turut berharap Kementerian Pelajaran mempertimbangkan cadangan untuk memperluaskan Projek Rintis Minda Sihat Menangani Stres Dalam Kalangan Murid sekolah bagi meningkatkan kesejahteraan mental pelajar di seluruh negara.
Sementara itu, kata beliau, saringan kesihatan mental di klinik kesihatan juga telah diperluaskan secara berperingkat di klinik seluruh negara bermula Jun lalu.
“Perkhidmatan ini akan dapat mengenalpasti lebih awal masalah kesihatan mental di kalangan masyarakat yang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan, sehingga kini seramai 637 klinik kesihatan telah melaksanakan perkhidmatan ini.
“Dari segi latihan pula, seramai 687 pegawai kesihatan yang terdiri daripada 138 doktor dan 549 paramedik telah menerima latihan kesihatan mental komuniti bagi mengesan masalah mental di kalangan masyarakat,” katanya.

sumber: Utusan Online

Tuesday, 4 October 2011

CUEPACS harap tuntutan diluluskan dalam Belanjawan 2012

CUEPACS harap tuntutan diluluskan dalam Belanjawan 2012

KUALA LUMPUR: Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berharap beberapa tuntutan yang dikemukakan kepada kerajaan akan diluluskan dalam pembentangan Belanjawan 2012, Jumaat ini.


"Berita gembira kepada kakitangan kerajaan ini tidak mustahil dan kita telah menanti sekian lama. Kita faham kalau dahulu tidak dapat laksanakan (tuntuan) kerana faktor ekonomi semasa.
"Tapi kini tiada apa yang menghalang tuntutan itu diluluskan memandangkan ekonomi bertambah baik dan tuntutan ini pun untuk menaikkan taraf perkhidmatan penjawat awam untuk keluar daripada beban kewangan selain meningkatkan mutu perkhidmatan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tuntutan berkenaan adalah semakan semula Sistem Saraan Malaysia (SSM), menaikkan umur persaraan daripada 58 tahun kepada 60 tahun, pemberian bonus dua bulan kepada penjawat awam dan pelaksanaan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).

Omar berkata tuntutan ini hanya cadangan sahaja dan tertakluk kepada kemampuan kerajaan untuk meluluskannya. - BERNAMA