Thursday, 12 January 2012

Ramai tidak ambil peduli masalah kecelaruan jantina


JOHOR BAHRU: Sikap segelintir masyarakat memandang ringan gejala kecelaruan jantina dipercayai antara faktor mengakibatkan masalah itu semakin berleluasa hingga segelintir individu terjebak dalam hubungan sejenis.
Keadaan itu dikhuatiri boleh menyebabkan institusi kekeluargaan semakin goyah selain memupuk generasi masa depan yang tidak mampu memahami erti hubungan mahram mahupun perkahwinan.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Khaidzir Ismail berkata, semakin ramai penduduk negara ini memandang ringan gejala kecelaruan jantina walaupun ia boleh membawa pelbagai kesan buruk terhadap masyarakat dan negara. “Jika zaman dulu, tingkah laku sebegini dianggap sebagai suatu masalah keruntuhan akhlak yang serius dan penyakit kecelaruan minda, sebaliknya kini ia menjadi suatu perkara normal kerana tiada pihak memandang serius.
“Ditambah pula, terdapat segelintir kelab mewujudkan laman web tertentu semata-mata menunjukkan sokongan terhadap golongan terbabit,” katanya.

Dr Khaidzir berkata, bagaimanapun, gejala ini mampu diatasi dengan beberapa cara penyelesaian dengan ia lebih berkesan apabila menerima sokongan pelbagai lapisan masyarakat.

Menurutnya, golongan itu seharusnya digalakkan bertemu pakar psikologi atau psikiatri.

“Bukan mudah mengubah minda golongan ini, oleh itu setiap keluarga seharusnya bersabar dan tidak berputus asa memberi sokongan bagi membolehkan mereka menjalani gaya hidup sihat secara berperingkat,” katanya.

Dr Khaidzir berkata, setiap ibu bapa tidak seharusnya hilang keyakinan terhadap anak masing-masing memandangkan peranan mereka amat penting bagi memastikan golongan ini kembali ke pangkal jalan.
Semalam, akhbar ini mendedahkan pengakuan seorang suri rumah berkaitan hubungan songsang dengan seorang pengkid yang dikenali sebagai Abang Man.

Bermula daripada perkenalan biasa, pasangan itu menjalin hubungan intim tanpa pengetahuan keluarga semata-mata untuk memenuhi nafsu serakah masing-masing.

-my metro

Dapat RM13,000 dalam 5 tahun



Dari kiri: Megala Sengalaney, Nurul Ain Ismail, Julia Jasmi, Lee Chia Ling, Fazila Shafifi Syukri dan M. Nisha meniliti risalah Skim Saraan 1Malaysia (SARA) di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 12 Jan. - Saringan bagi pemilihan 100,000 peserta yang layak bagi menyertai Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1Malaysia) akan dibuat oleh institusi kewangan yang menjadi ejen kepada Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) dan Bank Simpanan Nasional.
Bank-bank yang menjadi ejen ASNB ialah Malayan Banking Bhd. (Maybank), CIMB Bank dan RHB Bank.
Presiden dan Ketua Eksekutif Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, pemilihan dibuat oleh institusi kewangan berkenaan kerana mereka yang akan memberikan pinjaman sebanyak RM5,000 kepada 100,000 pelabur Sara 1Malaysia.
Ini bermakna jumlah keseluruhan pinjaman yang bakal ditawarkan oleh kesemua institusi kewangan terbabit adalah RM500 juta.
''Bagaimanapun, kami akan memantau saringan tersebut bagi memastikan hanya para peserta yang betul-betul layak menyertai skim ini.
''Harapan kami ialah adalah lebih baik sekiranya setiap satu isi rumah yang berkelayakan terpilih menyertai skim itu,'' katanya ketika ditemui selepas pelancaran Sara 1Malaysia di sini hari ini.
Majlis pelancaran Sara 1Malaysia disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, peminjam yang berjaya menyertai Sara 1Malaysia perlu membayar balik pinjaman secara ansuran selama 60 bulan (lima tahun) dengan kadar faedah yang cukup minimum, bagaimanapun tidak menjejaskan institusi kewangan yang terlibat.
''Yang pasti bank-bank yang terlibat dalam skim ini masih boleh menampung kos (ke atas pinjaman yang diberikan,'' tambah beliau.
Dengan pelaburan yang dilaburkan dalam Amanah Saham 1Malaysia, para pelabur Sara 1Malaysia akan memperoleh pulangan sebanyak RM134 setiap bulan.
''Jika ditolak bayaran ansuran sebulan sebanyak RM84, para peserta Sara 1Malaysia masih mempunyai baki RM50 sebulan.
''Sekiranya pelaburan itu disimpan sehingga tempoh lima tahun, mereka mampu memperoleh sebanyak RM13,000 dan sekiranya RM134 itu diambil secara konsisten atau kadang-kadang setiap bulan, jumlah yang tertinggal pada akhir tempoh lima tahun adalah antara RM5,000 hingga RM13,000,'' katanya sambil menambah pemohon yang layak boleh mendapatkan borang permohonan di bank-bank terlibat mulai 30 Januari ini.
Mengulas bagaimana PNB mampu memberi pulangan yang cukup kompetitif daripada pelaburan yang dibuat itu, Hamad Kama Piah mengakui skim itu adalah paling inovatif.
Jelasnya, Kementerian Kewangan melalui syarikat khas (SPV), Malaysia Development Holding Sdn. Bhd. yang akan melabur sebanyak RM100 juta dalam Amanah Saham 1Malaysia.

utusan melayu

SBPA ditangguhkan untuk semakan semula: Najib

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ditangguhkan bagi membolehkan satu semakan semula dan perbincangan dengan pihak yang berkaitan diadakan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam satu kenyataan hari ini, Najib berkata penangguhan itu bertujuan untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan pihak tertentu berkaitan pelaksanaan SBPA.
"Selepas semakan semula itu dimuktamadkan, SBPA akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2012 seperti yang dijanjikan kerajaan," katanya.
Najib berkata, penangguhan itu diputuskan Jemaah Menteri semalam.

"Semakan semula itu tidak meliputi keputusan untuk melanjutkan umur persaraan kepada 60 tahun dan oleh itu ia akan dilaksanakan mulai 1 Januari tahun ini," katanya
-Berita harian

Pembayaran BR1M mulai 15 Januari


KUALA LUMPUR: Pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan dilakukan selama dua bulan bermula 15 Januari ini dalam bentuk baucar tunai, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ahmad Husni berkata majlis penyerahan baucar kepada pemohon yang berjaya akan diadakan secara berperingkat-peringkat di seluruh negara.
"Ini bagi memastikan pembayaran dapat dilaksanakan secara tersusun dan lancar agar tiada keciciran kepada pemohon yang layak menerima bantuan," katanya.
Ahmad Husni berkata, semua pemohon BR1M akan dimaklumkan mengenai keputusan permohonan melalui pos.

"Dalam tempoh itu, setiap pemohon yang berjaya akan menerima surat pemakluman masing-masing secara berperingkat-peringkat dengan disertakan tarikh dan tempat majlis penyerahan baucar diadakan," katanya.

Pemohon juga, katanya, boleh menyemak status permohonan mereka dengan menelefon talian hotline 1-800-222-500/1-300-88-3010 mulai 16 Januari ini.

Talian ini beroperasi dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari bekerja.
Kerajaan juga akan memudahkan urusan orang ramai di kawasan luar bandar menunaikan baucar BR1M dengan menyediakan kaunter bergerak Bank Simpanan Nasional, CIMB dan Maybank pada majlis penyerahan itu.

Baucar juga boleh ditunaikan di cawangan bank berkenaan di seluruh negara.

Tempoh sah laku baucar adalah sehingga 15 April tahun ini. - BERNAMA

-Berita Harian



Wednesday, 11 January 2012

semakan penempatan pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah(sekolah menengah)


Penempatan  pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah(sekolah menengah)
semak    di sini

semakan penempatan pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah(sekolah rendah)


Semakan Penempatan  Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah(sekolah rendah)
semak di sini

Umat Islam boleh ada akaun facebook

KUALA LUMPUR: Hukum mempunyai laman sosial facebook adalah dosa besar dan dilarang dalam Islam, jika digunakan atas tujuan yang mendatangkan mudarat termasuk melemparkan fitnah, mencaci serta memburukkan orang lain.
Sebaliknya, jika laman sosial itu digunakan menyampaikan maklumat benar dan berinteraksi dengan orang lain secara berhemah adalah diharuskan.
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebelum ini juga pernah melakukan sekatan terhadap pemegang akaun facebook yang dilihat memaparkan unsur dan bahan lucah selain kandungannya boleh menggugat ketenteraman awam. - Jurucakap SKMM
Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, tidak menjadi masalah bagi seseorang mempunyai akuan laman sosial itu, malah facebook sendiri sebahagian daripada lambang kemajuan manusia dalam dunia penerokaan ilmu teknologi maklumat (ICT).

“Facebook satu rangkaian sistem dibangunkan atas tujuan komunikasi menyalur dan mendapatkan maklumat, kita tidak boleh sekat atau haramkan terus penggunaannya kerana ia memberi manfaat jika diguna atas kehendak yang baik.

“Selain itu, ia tidak mempunyai nyawa dan akal, sebaliknya digerakkan sendiri oleh manusia yang menggunakannya, apa pun hukumnya bergantung pada si pengguna bukan sistem itu, ” katanya ketika dihubungi semalam.

Kini, lebih 12 juta rakyat di negara ini pemegang akaun facebook, majoritinya berusia antara 16 hingga 35 tahun.
Laman SocialBakers.com sebelum ini melaporkan Malaysia kini pengguna facebook ke-17 ramai di dunia.

Selain itu, Abdul Syukur berkata, menjadi tanggungjawab pengguna memanfaatkan laman sosial berkenaan dengan perkara berfaedah, selain mengelakkan diri daripada terdedah dengan sebarang bentuk fitnah, cacian, provokasi yang boleh memudaratkan dan merosakkan ummah.

Sementara itu, jurucakap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, sehingga kini, pihaknya tidak diperuntukkan undang-undang khusus untuk menyekat pemegang akaun facebook yang melanggar norma disebabkan laman itu dibina dan dimiliki oleh firma di luar negara.

Katanya, pihaknya sekadar memaklumkan dan melapor kepada pemilik facebook supaya membuat sekatan terhadap laman sosial itu jika terdapat unsur yang mengancam keselamatan negara.

“SKMM sebelum ini juga pernah melakukan sekatan terhadap pemegang akaun facebook yang dilihat memaparkan unsur dan bahan lucah selain kandungannya boleh menggugat ketenteraman awam,” katanya.


Berita Harian