Sunday, 26 June 2011

Sekolah Vokasional baru untuk pelajar OKU

KUALA TERENGGANU 21 Jun - Lebih banyak Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) akan diwujudkan bagi memberi peluang golongan kurang upaya (OKU) menimba ilmu serta kemahiran agar diberi tempat dalam pasaran kerja seperti golongan normal.

Terbaru, sebuah SMPKV berkonsepkan teknologi agro akan dibuka di Kuantan, Pahang pada Januari tahun depan dengan sesi pengambilan awal melibatkan 250 pelajar istimewa.

Timbalan Pengarah Cawangan Program Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran, Jalaludin Othman berkata, sekolah tersebut merupakan yang ketiga selepas SMPKV di Indahpura, Johor dan SMPKV Shah Alam, Selangor yang menyediakan pelbagai kemahiran vokasional.

Katanya, sekolah yang pembinaannya sudah 98 peratus siap itu bakal melahirkan usahawan OKU yang mahir khususnya dalam bidang pertanian.

"Sekolah ini akan menempatkan kira-kira 500 pelajar apabila ia beroperasi sepenuhnya kelak. Pada masa ini ia dalam proses untuk membawa masuk kemudahan peralatan penternakan serta pertanian.

"Kita berharap melalui pembukaan sekolah ini dapat membuka mata ramai pihak tentang kesungguhan kerajaan dalam membantu golongan istimewa ini," katanya selepas hadir pada majlis Pentas Istimewa Pendidikan Khas 2011 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

sumber: utusan Online

No comments:

Post a Comment