Saturday, 13 August 2011

kenapa orang dulu-dulu panjang umur

Amalan atau tabiat pertama yang perlu diberi perhatian ialah pastikan anda makan lima sajian bersaiz kecil setiap hari.


Masyarakat di Barat mengambil makanan sebanyak tiga kali sehari, tetapi sebenarnya adalah lebih baik untuk anda menikmati makanan sebanyak lima kali sehari. Tetapi mesti ingat, ia perlulah dalam kuantiti yang kecil sahaja.


Kenapa begitu? Kerana apabila anda kerap makan namun dalam kuantiti yang sedikit, anda akan kekal menyalurkan nutrien, tenaga, darah dan gula untuk keperluan tubuh sepanjang hari. Makan dengan cara ini juga tidak membebankan sistem penghadaman dan sistem metabolisme. Ia sekali gus mengurangkan risiko penyakit jantung.


Amalan kedua ialah menukar tabiat menaiki lif dengan menaiki tangga. Senaman setiap hari boleh menjadikan anda seorang yang sihat, menguatkan sistem imunisasi, otot dan menambah tenaga. Jangan jadikan kerja yang padat sebagai alasan untuk anda tidak melakukan aktiviti fizikal. Cuba cari peluang untuk berjalan laju, berjoging atau mungkin juga menaiki basikal ke tempat kerja sekiranya tempat kerja dan kediaman tidak terlalu jauh. Selepas solat Subuh boleh menyertai kumpulan taichi di taman perumahan atau mungkin juga boleh mula mendaftar di mana-mana pusat gimnasium berhampiran. Mulakan sekarang dan anda pasti akan nampak kesannya.

Ketawa dan bergembiralah. Ketawa sebagai ubat memang telah diketahui kemujarabannya. Ketawa juga dapat meningkatkan sistem imunisasi badan dan menghasilkan sel semula jadi yang melindungi tubuh dari kesakitan dan penyakit kanser. Apabila kita ketawa, hormon endorfin dihasilkan sekali gus memberikan satu perasaan tenang dan puas. Memang tidak dinafikan lagi mereka yang hidup dalam kegembiraan hidup lebih lama dan sihat daripada mereka yang sentiasa bersedih.


Pastikan minum 8 gelas air setiap hari. Air amat penting bagi memastikan tubuh berfungsi secara sihat. Para saintis juga bersetuju bahawa air yang bersih daripada pencemaran kimia dan toksik adalah baik untuk kesihatan dan umur yang panjang. Jadi pilihlah air yang telah ditapis di mana proses penapisan yang terbaik ialah menerusi arang yang diaktifkan kerana ia mengasingkan benda asing tetapi dalam masa yang sama mengekalkan kandungan mineral. Perlu juga diingat, jangan menyimpan air di dalam bekas plastik kerana bahan yang terkandung dalam plastik tersebut yang disebut polychlorinated biphenyls (PCBs) boleh meresap ke dalam air.

Menambah amal ibadah bagi umat Islam dan bermeditasi bagi yang bukan Islam. Memang tidak dinafikan tekanan boleh memendekkan usia seseorang. Dalam kehidupan kita yang serba moden hari ini memang tidak boleh lari daripada tekanan, tapi ia boleh dielakkan jika anda pandai mencari jalan mengelakkannya. Beribadah atau bermeditasi adalah salah satu cara terbaik untuk melegakan tekanan dan menyegarkan anda semula. Menerusi ibadah dan meditasi anda akan dapat bernafas dengan baik. Apabila pernafasan anda sempurna ia secara tidak langsung menyingkirkan sebanyak 70 peratus toksin dan benda kotor dalam tubuh anda. Amalan tersebut juga menjadikan minda anda tenang, mengurangkan hormon tekanan dan mengajar tentang disiplin diri. Ini semua memang penting untuk memastikan kehidupan yang anda lalui sihat dan diberkati. Jika ada masa terluang boleh juga mencuba senaman ini. Duduk dengan selesa di atas kerusi empuk atau boleh juga bersila di atas lantai.

Pejam mata dan setiap kali masalah timbul di fikiran anda bayangkan masalah tersebut berada dalam sebiji belon. Bayangkan belon yang membawa masalah tersebut terbang tinggi di langit dan akhirnya hilang daripada pandangan.

Cuba ulang cara ini hingga anda tidak lagi memikirkan tentang masalah tersebut. Selepas beberapa ketika anda pasti akan berasa ringan dan fikiran anda akan lebih fokus. Mungkin dengan mengamalkan lima amalan ini akan mengubah diri anda menjadi seorang yang lebih berkualiti di muka bumi ini. Cubalah dan jangan bertangguh untuk setiap perkara yang baik.


sumber;http://www.facebook.com/?ref=hp#!/notes/pak-ngah-farit-ismeth-emir/bagaimana-orang-dulu-dulu-boleh-panjang-umur/241207049253116












No comments:

Post a Comment