Saturday, 7 January 2012

2012 antara tahun terpanas

La Nina, pemanasan global punca suhu melonjak ke paras tinggi


LONDON: Tahun 2012 diramalkan akan menjadi antara 10 tahun yang paling panas dalam tempoh 160 tahun, sejak 1850, lebih panas berbanding tahun lalu.
Tahun ini juga dilaporkan bakal menjadi tempoh paling panas kali ke sembilan bagi India sejak 1901. Saintis kaji cuaca meramalkan, suhu pada 2012 adalah 0.48 darjah Celsius lebih panas berbanding purata suhu sepanjang tahun lalu.
Ketua jabatan ramalan cuaca Britain, Adam Scaife berkata walaupun 2010 direkodkan sebagai tahun ‘hangat’, 2011 menyaksikan fenomena La Nina yang kuat dan secara tidak langsung mempengaruhi keadaan cuaca antarabangsa.

“La Nina kembali semula. Walaupun ia tidak sekuat seperti awal tahun lalu, ia masih memberi pengaruh ke atas suhu pada tahun mendatang. Berikutan itu, kami meramalkan 2012 sebagai tahun yang lebih panas berbanding tahun lalu, tetapi tidak sepanas tahun 2010,” katanya.

Beliau berkata, 2010 dilihat sebagai tahun paling panas di seluruh dunia dengan suhu berada pada paras 0.53 darjah Celsius melebihi paras biasa, disusuli tahun 2005, 1998, 2003, 2002, 2009, 2006, 2007, 2001 dan 2011. Pada 2001 dan 2011, suhu berada pada paras 0.41 darjah Celsius melebihi purata 14 darjah.

Setiausaha Pertubuhan Kaji Cuaca Dunia (WMO), Michel Jarraud berkata pengaliran gas rumah hijau ke atmosfera juga semakin bertambah, di sebalik pelbagai usaha dan kempen di seluruh dunia untuk mengurangkannya.
“Keadaan ini menyebabkan peningkatan suhu antara 2 hingga 2.4 darjah Celsius bagi purata suhu dunia. Saintis percaya ini akan menyebabkan perubahan besar kepada keadaan tanah, alam sekitar dan lautan,” katanya.

Sementara itu, ketua pengarah Jabatan Meteorologi India, Dr Ajit Tyagi berkata suhu menjadi semakin tinggi sejak dekad lalu berikutan pemanasan global.

Bagaimanapun, ramalan terbaru mengenai suhu di India dijangka tidak membimbangkan negara itu, kerana di kebanyakan wilayahnya setakat ini, suhu berada pada paras hampir normal kecuali di Jammu dan Kashmir, Himachal Pradesh, Nagaland, Manipur, Mizoram dan Tripura yang berada pada paras satu darjah Celsius berbanding tahap biasa.

“Suhu yang lebih tinggi dijangka mempengaruhi angin monsun di India dan ini adalah sesuatu yang positif. Kami mungkin tidak menghadapi banjir buruk atau hujan yang terlalu lebat. Pada masa sama, masih terlalu awal untuk membuat ramalan, jadi pemantauan rapi terus dilakukan,” katanya. – Agensi
Berita Harian

Terpisah 56 tahun kerana adat

Terpisah 56 tahun kerana adat


KON Kiew menunjukkan sijil kelahirannya (kiri) dan salinan sijil kelahiran kakak kembarnya di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Gara-gara dilahirkan dalam keluarga yang terlalu ramai anak perempuan, seorang wanita, Lee Kon Kiew, 56, menghadapi detik pahit apabila dipisahkan dengan kakak kembarnya, Lee Kon Lin oleh ibu mereka ketika baru dilahirkan pada 2 November 1955 di Hospital Kuala Lumpur.
Kon Lin telah diserahkan kepada seorang jururawat keturunan Melayu di wad bersalin hospital berkenaan lantaran kepercayaan masyarakat Cina yang menganggap anak perempuan yang terlalu ramai hanya menyusahkan keluarga.
Pada waktu itu, bapa Kon Kiew iaitu Lee Kow bekerja sebagai mekanik manakala ibunya, Choong Chow Thye pula menoreh getah.
Chow Thye yang ketika itu sudah mempunyai enam anak perempuan yang masih kecil bertindak memisahkan pasangan kembar itu selepas didesak oleh ibu mertuanya yang menganggap kelahiran mereka hanya akan menambahkan bebanan keluarga.
Menurut Kon Kiew, jika ditakdirkan kembarnya itu seorang lelaki, mungkin dia yang akan diserahkan kepada jururawat tersebut.
Keputusannya untuk memisahkan kembar perempuan tersebut tidak mendapat bantahan daripada suami, Lee Kow memandangkan mereka sekeluarga hidup dalam serba kedaifan.
Kon Kiew berkata, dia kini teringin dan rindu untuk bertemu dengan kakak kembarnya yang dipercayai telah menganut agama Islam dan menggunakan nama Fazilah Ibrahim setelah dibesarkan oleh keluarga Melayu sejak kecil.
“Saya ingin sangat bertanyakan kisah hidupnya sepanjang dibesarkan oleh keluarga Melayu,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di sini semalam.
Anak ketujuh daripada 10 beradik itu berkata, kali terakhir dia melihatnya wajah kakak kembarnya pada sekeping gambar yang dipercayai dikirimkan oleh keluarga angkat dari Singapura kira-kira tiga tahun lalu.

-kosmo online

Sagu hati RM3,000 dibayar esok




KUALA LUMPUR - Seramai 72,000 bekas anggota polis darurat yang bertugas di antara tahun 1948 dan 1962 di Semenanjung dan 1962 hingga 1974 di Sabah dan Sarawak bakal menerima sagu hati khas sebanyak RM3,000 mulai esok. Pembayaran sagu hati khas itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2012 pada Oktober lepas sebagai menghargai jasa mereka kepada negara.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam (gambar) berkata, pembayaran akan dibuat secara berperingkat-peringkat melalui kaedah yang telah mereka pilih sewaktu membuat permohonan dahulu.
"Bekas anggota atau wakil boleh datang sendiri menuntut di pejabat KDN ataupun memilih bayaran secara pos menggunakan cek," katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Jelasnya, pembayaran itu akan dibuat kepada bekas anggota pasukan Special Constabulary (SC), Home Guard (HG), Auxiliary Police (AP), Extra Police Constable (EPC), Border Scout (BS), Jungle Scout/Squad (JS), Police Field Force Reservist (PFFR) dan Sarawak Constabulary (SWC).
Beliau berkata, bagi anggota yang telah meninggal dunia, balu atau duda masing-masing layak memohon sebagai waris pengganti.

-kosmo online..

p/s. menghargai pengorbanan anggota polis.. Bangga dengan ayah saya sendiri kerana tergolong dalam mereka yang terlibat dalam menjaga keamanan pada zaman darurat.. Terimakasih kepada semua anggota polis yang terlibat termasuk ayahanda saya  Abd  Sani Bin Ajis...

Friday, 6 January 2012

Hidup insan kaki lima


Golongan gelandangan lebih selesa hidup bebas bersama rakan senasib daripada terikat dengan aktiviti kemasyarakatan yang diadakan.


BERMULA pukul 10 malam, apabila orang ramai beransur-ansur meninggalkan pusat bandaraya dan keluar dari ibu kota menuju ke rumah masing-masing, muncul kelibat sekumpulan manusia mula berkeliaran di kaki-kaki lima sekitar ibu kota.
Tidak kira jantina, tua atau muda, masing-masing kelihatan kusut masai membawa sekeping kotak dan segulung surat khabar dengan menggalas sebuah beg di bahu.
Mata mereka sentiasa liar memerhati lokasi mana yang paling sesuai untuk dijadikan tempat bermalam dan cebisan saki baki makanan yang boleh dijadikan ‘santapan’ makan malam.
Ada yang bersendirian, ada yang berkumpulan dan ada juga telah berkeluarga. Ibu menggendong anaknya yang masih kecil dan kotak dan helaian surat khabar menjadi hamparan bagi si kecil itu.
Kedengaran agak tidak masuk akal, namun itulah realiti yang berlaku terhadap golongan gelandangan di negara ini.
Berkesempatan mengikuti Program Agihan Makanan kepada Asnaf Fakir dan Miskin di Wilayah Persekutuan anjuran Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memberi gambaran sebenar kehidupan sebagai golongan yang tidak mempunyai rumah tersebut.
Jika diperhatikan susuk tubuh mereka, boleh dikatakan hampir semuanya masih segar bugar dan bertenaga. Tetapi, perhentian bas, kaki lima dan bangunan terbengkalai juga menjadi pilihan sebagai tempat kediaman.
Tidak kira hujan atau panas dan diserbu pihak berkuasa berulang kali, tidak sesekali menginsafkan diri mereka. Termasuk mengubah kehidupan mereka untuk bercampur dan bersaing dengan masyarakat lain.
Lebih menyedihkan, boleh dikatakan lebih 70 peratus golongan itu adalah berbangsa Melayu dan berstatus bumiputera.
Pada program itu, Baitulmal mengagihkan 300 bungkus makanan kepada gelandangan bermula di sekitar Kampung Baru, Puduraya dan berakhir di sebuah kompleks beli-belah berdekatan.
Golongan itu pada mulanya ketakutan sehingga ada menjerit dan bertempiaran melarikan diri apabila melihat rombongan van MAIWP dan media tiba.
Namun, apabila diberitahu kedatangan itu bertujuan mengagihkan bantuan makanan, bagaikan bulan jatuh ke riba, golongan itu terus menerpa ke arah rombongan.
Tanpa segan silu, mereka pantas membuka bungkusan dan menjamah makanan di ‘rumah’ masing-masing.
Penulis cuba mendekati sepasang suami isteri gelandangan yang pakaiannya kelihatan kusut tetapi mempunyai fizikal yang boleh dikatakan sempurna.
Pasangan suami isteri itu yang hanya ingin dikenali sebagai Mahathir, 36, dan Noraida, 30, berkata, mereka tidak berjaya mencari pekerjaan walaupun setelah lebih dua tahun mencuba nasib di sekitar ibu kota.
Keadaan Noraida yang kelihatan pucat dan tidak sihat memakai sehelai baju sejuk lasam dengan mengikat skarf di leher.
Mahathir berkata, isterinya baru sahaja menggugurkan kandungannya kerana bimbang melahir dan membesarkan anaknya dalam keadaan yang serba kekurangan.
“Bukan saya tak berusaha, pelbagai pekerjaan dah saya cuba minta, tetapi tiada siapa yang ingin mengambil kami bekerja. Orang hanya menganggap kami tidak berguna dan hidup sebagai sampah masyarakat.
“Setelah berbincang dengan isteri, kami mengambil keputusan menggugurkan kandungan isteri saya kerana bimbang terhadap masa depan dan keselamatan bayi itu nanti,” katanya.
Mahathir yang berasal dari Johor Baharu itu menegaskan bahawa dia lebih rela hidup susah daripada mengharap bantuan orang lain.
Menurutnya, dia ke ibu kota dua tahun lalu bersama isterinya untuk mencari rezeki kerana yakin akan memperoleh pekerjaan di lubuk rezeki itu.
“Biarlah orang nak kata apa pun, asalkan saya dan isteri bahagia di sini. Buat masa ini, saya bekerja sambilan sebagai pembantu penjual tiket bas di hentian Puduraya.
“Hasil daripada wang itu saya gunakan untuk membeli makanan kami. Jika ada duit lebih, saya akan pulang ke kampung bertemu orang tua,” jelasnya.
Menceritakan pengalamannya, Mahathir berkata, dia pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah premis perniagaan tetapi ditipu oleh majikannya.
“Salah satu sebab saya tidak bekerja kerana sering ditipu oleh majikan. Pada mulanya mereka tidak membayar gaji penuh seperti yang dijanjikan, lama kelamaan mereka terus tidak membayar langsung,” katanya.
Ditanya mengenai nasibnya tidur di kaki lima selama lebih dua tahun, Mahathir berkata, pada mulanya memang rasa malu dan tidak selesa, namun lama kelamaan sudah menjadi biasa kerana terdapat ramai kawan gelandangan senasib lain.
“Tempat tidur kami di merata-rata tempat. Jika tidak dapat tidur, kami akan menghabiskan seluruh malam dengan bersembang dengan rakan lain.
“Jika hujan pula, kami akan mencari tempat berlindung di kaki lima bangunan atau lorong-lorong untuk berteduh,” katanya.
Bagaimanapun, Mahathir mengakui dia juga ingin hidup seperti orang lain yang mempunyai pekerjaan dan tempat tinggal yang selesa, tetapi malangnya tidak mampu berbuat demikian.

-Utusan Melayu

Tiga murid di pulau terpencil


DARI kanan: Mohd Firdaus Khuri, Radiatul Adawiyah Khuri, dan Nurhidayatul Waheeda Khuri (tangan sebelah kiri kudung) memulakan sesi persekolahan walaupun hanya mereka bertiga sahaja yang belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Aik Hua,Pasir Hitam, Taiping, Perak, semalam.


BUKIT GANTANG 4 Jan. – Demi pelajaran, tiga murid Melayu sanggup menuntut ilmu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Aik Hua yang terletak di Pulau Pasir Hitam - sebuah pulau terpencil dekat sini.
Radiatul Adawiyah Khuri, 12, bersama dua adiknya, Mohd. Firdaus, 9, dan Nurhidayatul Waheeda, 7, yang memulakan hari pertama sesi persekolahan hari ini, kelihatan ceria meskipun hanya mereka bertiga pelajar di sekolah itu.
Ini kerana tiga beradik itu menjadi rakan sekelas kerana tiada murid lain lagi di sekolah tersebut.
Malahan, mereka yang tinggal bersama ibu mereka, Hafsah Najwa Abd. Mutalib, 49, merupakan antara empat kanak-kanak yang menghuni pulau tersebut yang majoritinya penduduknya tidak sampai 100 warga emas berketurunan Cina.
Kedatangan mereka ke sekolah itu bermula apabila Hafsah Najwa tertarik dengan tawaran biasiswa oleh sekolah berkenaan yang disiarkan Utusan Malaysia pada 1 Oktober lalu.
Keputusan ibu tunggal dari Pulau Pinang untuk menghantar tiga anaknya itu sekali gus menyelamatkan sekolah Cina tersebut daripada ditutup disebabkan ketiadaan pelajar.
Berdepan dengan masalah kewangan, ibu kepada 10 orang anak itu tidak sesekali menyesal dengan tindakan membawa ketiga-tiga anaknya ke situ kerana pihak sekolah menawarkan elaun sara hidup sebanyak RM150 sebulan bagi seorang pelajar.
“Saya tidak terdaya untuk menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak setelah berpisah dengan suami tujuh tahun lalu. Bayangkan sekiranya tambang bas sekolah bagi seorang adalah RM60 sebulan, bagaimana saya hendak menanggung tiga anak saya yang bersekolah rendah?
“Itu belum ditambah lagi dengan dua anak di sekolah menengah, seorang di Politeknik Seberang Perai dan seorang lagi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis,” kata Hafsah Najwa kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Radiatul Adawiyah yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini, mengakui selesa untuk belajar di sekolah tersebut.
Dia dan adiknya, Mohd. Firdaus juga tidak mempunyai sebarang masalah untuk berkomunikasi dengan hanya dua orang guru yang bertugas di sekolah tersebut kerana menguasai sepenuhnya bahasa Cina melalui pertuturan dan penulisan.
Adik bongsunya, Norhidayatul Waheeda yang mengalami kecacatan di tangan kirinya sejak lahir, juga seronok untuk memulakan alam persekolahan di sekolah berkenaan yang menggunakan tenaga solar untuk kemudahan komputer.
“Dahulu, sebelum berpindah ke pulau ini, kami bersekolah di SJKC Poay Wah, Tanjung Bunga, Pulau Pinang. Kesemua 10 adik-beradik kami menerima pendidikan di sekolah Cina,” katanya.
Sementara itu, Ketua MCA Bahagian Bukit Gantang, Datuk Ho Cheng Wang yang kebetulan hadir melawat tiga murid itu di sekolah berkenaan, turut menyumbangkan bantuan wang tunai RM150 setiap seorang bagi tempoh setahun.
-Utusan Melayu

5,000 artifak Titanic dilelong


MATA wang dolar dan sekeping syiling emas yang ditemui dalam bangkai kapal Titanic adalah antara barangan yang akan dilelong 11 April ini. Gambar kecil jam poket kepunyaan penumpang kelas tiga kapal Titanic dikenali William Hanry Allen dipamerkan pada pra tonton di New York kelmarin.
MATA wang dolar dan sekeping syiling emas yang ditemui dalam bangkai kapal Titanic adalah antara barangan yang akan dilelong 11 April ini. Gambar kecil jam poket kepunyaan penumpang kelas tiga kapal Titanic dikenali William Hanry Allen dipamerkan pada pra tonton di New York kelmarin.
Jualan dijangka raih RM595 juta

NEW YORK: Lima ribu artifak yang ditemui dari kapal Titanic yang terkubur di Lautan Atlantik termasuk kepingan badan kapal itu seberat 17 tan, hingga pinggan mangkuk yang pernah digunakan untuk penumpang kelas pertama, akan dilelong di sini 100 tahun selepas kapal itu karam.
Koleksi tidak pernah dikumpul sebelum ini akan dilelong dalam satu sesi jualan oleh firma lelongan Guernsey’s Auctioneers pada 11 April ini, genap 100 tahun selepas pelayaran pertama Titanic ke bandaraya ini yang menjadi destinasi sebenar kapal itu apabila ia tenggelam selepas terlanggar bongkah ais di luar Newfoundland.
Guernsey’s menyifatkan lelongan itu sebagai “bersejarah” dan berkata ia adalah “pertama dan satu-satunya objek lelongan yang diselamatkan dari tapak kapal karam Titanic sedalam empat kilometer di dasar laut.”

Pelelong menganggarkan barangan itu akan dijual dengan harga AS$189 juta (RM594.59 juta).

Barangan itu, beberapa yang dipamerkan kelmarin, mengingatkan kembali kisah mengerikan membabitkan1,500 penumpang yang maut apabila kapal White Star yang sepatutnya tidak boleh tenggelam, belayar keluar dari Southampton, England, karam.

Presiden Guernsey’s, Arlen Ettinger, berkata koleksi itu perlu kekal sebagai satu lot tunggal untuk “menggambarkan memori kapal hebat” dan “supaya generasi akan datang sentiasa mempunyai peluang melihatnya.”
Pusat lelongan berkata jualan itu “bergantung kepada perjanjian dan syarat tertentu bagi memastikan koleksi itu akan dikekalkan dengan baik dan boleh dipamerkan kepada orang awam.”

Ia termasuk kit bercukur hinggalah mainan kanak-kanak, paip tembakau dan butang tembaga pada seragam biru laut tentera dipakai Kapten Edward Smith dan pegawainya.

Gambaran kehidupan glamor di atas kapal terserlah dengan adanya barangan seperti botol kristal dari kabin kelas pertama, lampu hiasan yang pecah dari A la Carte Restaurant, pinggan mangkuk perak dan tembikar biru emas.

Tinggalan bahagian kapal yang masih berfungsi juga berada dalam blok lelongan. Kompas dipantau pegawai pemerhati bilik kawalan turut dijual bersama lampu, tiga wisel gangsa dari saluran dan sebuah loceng.

Antara objek paling menarik perhatian adalah megafon yang dijaga dengan baik. Pelelong berkata ia mungkin yang digunakan kapten ketika beliau mengarahkan pengosongan ke dalam bot penyelamat dan memberi arahan terakhirnya:
“Tinggalkan kapal.”

Naib presiden Koleksi Titanic dan seorang pengumpul, Alex Klingelhofer berkata Titanic melangkaui imaginasi dunia sebagai sebagai sebuah “bandar terapung” dan kapal “impian dan harapan.” Kapal yang boleh memuatkan 2,200 penumpang, ia adalah objek bergerak terbesar pernah dibina ketika itu.

Apabila kapal itu karam, “ ia menjadi insiden paling tragik dalam abad ke-20 dan terus diingati hingga sekarang,” katanya.

Barangan itu ditemui dalam beberapa siri ekspedisi sejak 1987 oleh sebuah syarikat digelar RMS Titanic, anak syarikat Premier Exhibitions, yang menubuhkan muzium dan pameran lain.

Ketua syarikat penyelidikan dasar laut, Paul-Henry Nargeolet, , mengingati penemuan itu pada 1987. Apabila pasukan dalam kapal selam khas menyaksikan bangkai kapal: “Kami tidak terpegun selama 10 minit.”

Mereka melihat “bahagian paling cantik kapal itu, ia mudah untuk membayangkan penumpang yang tinggal di dalamnya.”

Premier Exhibitions berkata ia berhasrat untuk menyalurkan bahagian hasil jualan dijana lelongan itu kepada Tabung Amanah Pemuliharaan Titanic, sebuah dana kebajikan diwujudkan syarikat untuk pemuliharaan akan datang dan penyelenggaraan artifak dikeluarkan dari bangkai kapal. – AFP

-Berita Harian


Pendidikan vokasional perlu perubahan segera

Mengambil kira perkembangan yang berlaku di negara maju dan serantau, Timbalan Perdana Menteri berkata, kejayaan negara perlu diukur bukan hanya kepada pencapaian dalam bidang akademik tetapi definisi baru kejayaan ialah melalui bidang teknikal dan vokasional.
“Tugas yang paling mencabar ialah menghasilkan tenaga kerja yang dapat memenuhi kehendak industri tempatan iaitu sekurang-kurangnya 3.3 juta pekerja mahir dalam tempoh 10 tahun akan datang," katanya ketika melancarkan Transformasi Pendidikan Vokasional, di Institut Jerman-Malaysia Bangi di sini, semalam.
Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata pertumbuhan ekonomi nasional menuntut peningkatan bilangan graduan dalam bidang teknikal dan vokasional.

Beliau berkata, kerajaan mengambil langkah proaktif sejak 2009 dengan melihat pelaksanaan pendidikan teknikal dan vokasional di negara maju dan serantau.

Katanya, kadar purata kemasukan pelajar aliran teknikal dan vokasional di peringkat menengah atas bagi negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) adalah 44 peratus berbanding hanya 10 peratus di Malaysia.
“Jika melihat kepada negara-negara maju, pendidikan teknikal dan vokasional dianggap sebagai satu kekuatan utama dalam sistem pendidikan di semua negara itu.

“Sebagai contoh, di Jerman, Finland dan Austria hampir 50 hingga 80 peratus pelajarnya mengikuti pendidikan vokasional pada peringkat menengah atas melalui program sepenuh masa (4-5 tahun) dan program perantisan,” katanya.

Muhyiddin berkata, di negara itu, pelajar diberi pilihan untuk mengikuti pendidikan vokasional pada umur 14 tahun lagi.

Malah, katanya di negara serantau seperti Indonesia dan Thailand, kemasukan pelajar yang mengambil aliran itu pada peringkat menengah atas turut menjangkau 40 hingga 60 peratus.

Justeru, Muhyiddin berkata, pendidikan vokasional di negara ini juga sedang menuju ke arah konsep pendidikan untuk semua seperti yang digariskan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

- Berita harian