Sunday, 22 May 2011

Hari bahagia dua pelajar kelainan upaya

FARAHIYAH (kiri) dan Shyang Chyi menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi selepas mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Kejuruteraan Awam.

IPOH - Dua pelajar orang kelainan upaya (OKU) membuktikan kecacatan mereka bukan halangan untuk mencapai keputusan cemerlang dalam pelajaran.

Farahiyah Hussin, 23 dan Chuah Shyang Chyi, 22, yang mengalami masalah pendengaran sejak kecil masing-masing menerima Sijil Kejuruteraan Awam (Pembinaan) pada Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) ke-40 di sini semalam.

Dua bekas penuntut Sekolah Menengah (SM) Pendidikan Khas Persekutuan, Pulau Pinang itu masing-masing meraih keputusan Purata Gred Nilai Kumulatif (PGNK) 3.83 dan 3.53.

Menurut Farahiyah, dia dan para pelajar senasib seperti Shyang Chyi sudah mula mengulang kaji sejak semester pertama untuk memastikan mereka tidak ketinggalan.

"Kami bernasib baik kerana sentiasa mendapat sokongan tenaga pengajar biarpun terpaksa mengikuti pengajian bersama pelajar normal lain," katanya dalam bahasa isyarat yang diterjemah oleh kakak ketiganya, Hamidah, 36.

Mereka ditemui selepas menerima sijil masing-masing yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pengajian Politeknik, Datuk Mohlis Jaafar pada sidang pertama Majlis Konvokesyen PUO ke-40 di Dewan Jubli Perak, PUO di sini semalam.

Shyang Chyi dari Bayan Lepas, Pulau Pinang pula kini berkhidmat sebagai pelukis pelan di sebuah syarikat pembinaan tidak jauh dari rumahnya setelah tamat pengajian akhir tahun lalu.

sumber: Kosmo Online

No comments:

Post a Comment