PUTRAJAYA: Tempoh pengajian kursus bukan teknikal di politeknik seluruh negara akan dipendekkan kepada dua tahun berbanding tiga tahun sekarang, bermula pengambilan tahun ini, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, langkah memendekkan tempoh kursus bukan teknikal itu selaras dengan pelan transformasi politeknik untuk melahirkan lebih ramai pekerja mahir tempatan. “Kursus bukan teknikal seperti perdagangan, hospitaliti dan menjahit tidak memerlukan sehingga tiga tahun, ia boleh dipendekkan sehingga dua tahun. “Langkah ini juga akan dapat mengurangkan ‘hutang’ pelajar yang terpaksa membayar kos pengajian sehingga tiga tahun,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum (MoU) antara Jabatan Pengajian Tinggi dan Mesiniaga Sdn Bhd; Ericsson Berhad; Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia serta Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) Malaysia.
MoU itu membabitkan beberapa aktiviti antaranya kerjasama program akademik, latihan industri bagi pelajar dan sangkutan pensyarah serta pembangunan kurikulum dalam bidang perdagangan dan elektronik yang juga teras kepada sistem politeknik.
Mohamed Khaled berkata, langkah itu juga dijangka dapat mencapai sasaran 1.5 juta pekerja mahir menjelang 2020 dengan 680,000 pekerja mahir atau 45 peratus pekerja yang mempunyai kelayakan peringkat diploma.
Beliau berkata, ketika ini hanya 28 peratus pekerja di negara ini terdiri daripada pekerja mahir berbanding kira-kira 40 peratus di negara maju.
“Kita mahu melonjakkan politeknik sebagai institusi peneraju dalam bidang pendidikan dan latihan teknik serta vokasional setanding dengan universiti.
“Justeru, pelan transformasi ini juga bertujuan meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan dan mewujudkan persepsi positif di kalangan masyarakat terhadap politeknik,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan kualiti pengajian politeknik tetap berkualiti walaupun dipendekkan dan memastikan yuran pengajian terus kekal rendah iaitu kira-kira RM400 setahun.
Pada masa sama, Mohamed Khaled mahu politeknik mempertingkatkan hubungan dengan pihak industri yang akan dapat mengukuhkan lagi institusi itu sebagai peneraju pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional.
“Kerjasama dengan industri sekali gus dapat membentuk dan menjamin kualiti program, akademik yang ditawarkan selain membangunkan instrumen penilaian dan kurikulum pengajian politeknik secara berterusan,” katanya.
sumber: Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment