Saturday, 3 March 2012

Teruk dirotan selepas ejek rakan





MELAKA - Seorang bapa mendakwa anaknya yang belajar di sebuah sekolah agama swasta sejak hampir dua bulan lalu dirotan sehingga lebam semata-mata kerana kesalahan mengejek kawan-kawannya.
Abdul Rahim Abdul Wahid, 37, mendakwa, Amir Azamuddin, 14, disebat dengan rotan sebesar ibu jari pada pukul 7.30 pagi Khamis lalu oleh seorang guru Madrasah Tahfiz Al-Quran Ar Rashidin, Alor Gajah sebanyak 10 kali di belakang, bahu kiri dan kedua-dua betis sehingga lebam-lebam dan luka.
"Saya tidak kisah anak saya dirotan tetapi biarlah hukuman itu setimpal dengan kesalahan yang dilakukan dan bukan ikut emosi sampai cedera," katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Rambai di sini semalam.
Katanya, Amir Azamuddin memberitahu, kejadian mengejek kawan-kawannya itu berlaku di asrama mereka di Taman Seri Bayu, Alor Gajah pada malam Rabu lalu sebelum seorang rakannya mengadu perkara berkenaan kepada guru terbabit keesokan harinya.
"Sebaik menerima aduan, guru itu yang juga seorang ustaz berjumpa anak saya dan tiga lagi rakannya sebelum merotan mereka," ujarnya.
Hukuman itu dijalankan di madrasah tersebut yang terletak bersebelahan taman berkenaan.
Menurut Abdul Rahim, anaknya dirotan sebanyak sepuluh kali sedangkan rakan-rakannya sebanyak empat atau lima sebatan sahaja.
-- kosmo--