Kuala Lumpur: “Segulung ijazah yang saya terima hari ini (semalam) hadiah istimewa buat emak. Dia adalah sumber inspirasi saya sampai bila-bila,” kata Nurul Natasha Abdullah Sani, 23, ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) 2013, semalam.
Nurul Natasha dari Fakulti Undang-undang menamatkan pengajian dengan cemerlang dalam bidang Sarjana Muda Undang-undang.
Katanya, sebaik diterima memasuki UM pada 2009, dia membulatkan tekad belajar bersungguh-sungguh untuk membalas segala pengorbanan ibunya, Rohaya Hussin, 49, yang membesarkan dia dan abang tanpa suami sejak 23 tahun lalu.
“Ayah meninggal dunia ketika emak sarat mengandungkan saya. Bagi menyara kami dua beradik emak bekerja di kilang dengan gaji RM500.
“Walaupun mengalami kesempitan hidup kerana pendapatan emak hanya cukup untuk perbelanjaan kami, tetapi emak berjaya memberi pendidikan sempurna kepada kami adik beradik. Itu yang membuatkan saya kagum dengan emak,” katanya yang berasal dari Lubuk Cina, Melaka.
Sementara itu, ibunya Rohaya berkata, dia sentiasa menasihat anak-anak supaya mengutamakan pelajaran kerana itu saja yang boleh mengubah kehidupan mereka.
sumber: berita harian