Tuesday, 10 January 2012

Pelatih PLKN gemuk ada program khas



PELATIH Program Latihan Khidmat Negara melakukan aktiviti kembara halangan di Rimba Templer, Rawang, Selangor semalam.


KUALA LUMPUR - Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan merangka sebuah program baharu bagi membantu pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang mempunyai masalah obesiti.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, program bagi menurunkan berat badan itu antara penambahbaikan yang bakal dilakukan ke atas modul latihan fizikal JLKN pada tahun ini.
Beliau berkata, pihaknya melantik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membuat kajian bagi tujuan berkenaan.
"Modul bagi membantu pelatih PLKN yang menghadapi masalah obesiti akan dilaksanakan tahun ini sekali gus menjadikannya ia relevan dengan perubahan semasa," katanya.
- kosmo online

Hanya 3% rakyat Malaysia derma darah


KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Hanya tiga peratus rakyat Malaysia menderma darah dalam tempoh dua tahun lalu, jauh daripada sasaran 10 peratus.
Pegawai Perubatan di Pusat Darah Negara Dr Ombala Shanmuga berkata ia bagaimanapun menunjukkan sedikit peningkatan daripada rekod pada 2007 dan 2008 tetapi masih banyak kempen perlu dilakukan untuk meningkatkan kesedaran rakyat untuk mencapai sasaran berkenaan.

"Negara seperti Amerika Syarikat sudah mencapai kira-kira 30 peratus daripada rakyat mereka yang menderma darah tetapi di Malaysia kita belum mencapai pun sasaran 10 peratus," katanya kepada Bernama sempena Kempen Derma Darah anjuran bersama PDN dan Pusat Kecemerlangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Wisma Bernama di sini hari ini.

Menurut Dr Ombala, PDN setiap hari menjalankan kempen di lima lokasi pada hari bekerja dan sehingga lapan lokasi pada hujung minggu bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang betapa pentingnya menderma darah.


"Setiap penderma kita hanya mengambil kira-kira 450ml darah mereka dan darah dari seorang individu mampu menyelamatkan nyawa tiga orang individu lain yang memerlukan pemindahan darah kepada mereka," katanya.

Antara yang menderma darah hari ini ialah Timbalan Ketua Pengarang, Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab yang kerap menderma darah sejak kali pertama melakukannya pada tahun 2001.

"Semenjak kali pertama saya menderma darah, saya akan melakukannya paling kurang sekali setiap tahun demi membantu mereka yang memerlukan darah. Saya menderma juga untuk kesihatan kerana menderma darah membolehkan proses pembinaan sel darah merah baru lebih cepat," katanya.

Pembantu Khas Editor Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama, Rodziah Idris, yang pertama kali menderma darah pula berkata beliau menderma darah kerana kagum dengan kesungguhan mereka yang selalu menderma darah.

Kempen derma darah di Wisma Bernama, yang berlangsung dari 10 pagi hingga 3 petang itu, dikendalikan lapan kakitangan PDN termasuk seorang doktor. - Bernama

Duit syiling siri baharu akan berada dalam edaran mulai 16 Januari

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan bahawa duit syiling Malaysia siri baharu akan dikeluarkan untuk edaran mulai 16 Januari ini.
Bank pusat dalam satu kenyataan di sini berkata orang ramai boleh mendapatkan duit syiling baharu ini melalui urus niaga biasa mereka.

BNM berkata duit syiling baharu ini adalah sah diperlakukan dan akan dikeluarkan untuk edaran secara berperingkat dan akan digunakan bersama-sama dengan duit syiling sedia ada.

Duit syiling sedia ada akan dikeluarkan daripada edaran secara beransur-ansur.


BNM berkata bagi memastikan peralihan yang lancar kepada penggunaan duit syiling baharu ini, vendor yang mengendalikan mesin wang tunai diberikan tempoh masa yang mencukupi untuk mengubah suai mesin mereka agar boleh menerima duit syiling baharu ini.

Bertemakan ‘Keunikan Malaysia’, reka bentuk duit syiling siri baharu ini mendapat inspirasi daripada ciri-ciri unik yang mencorak budaya dan warisan negara.

Motif reka bentuknya memaparkan keindahan alam semula jadi, flora dan fauna serta seni kraf tangan tradisional yang terdapat di Malaysia.

Denominasi duit syiling siri baharu ini ialah 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen dan lebih kecil serta ringan untuk memudahkan orang ramai menggunakannya.

"Duit syiling berwarna kuning dan perak ini juga memudahkan orang ramai untuk mengetahui denominasi yang berlainan," kata bank pusat itu.

Ia berkata reka bentuk sisi tepi dan saiz duit syiling yang berbeza-beza akan memudahkan golongan kurang upaya penglihatan untuk mengenali dan membezakan denominasi yang berlainan.

Selain itu, BNM berkata duit syiling baharu ini dibuat menggunakan kemajuan terkini dalam teknologi pembuatan duit syiling dan turut memasukkan ciri-ciri keselamatan yang lebih baik untuk mengelak daripada pemalsuan.

Logam baharu yang digunakan untuk membuat duit syiling ini adalah daripada jenis yang lebih berkualiti dan tahan lama.

- Harian Metro

Saturday, 7 January 2012

Tak kenal alam sekolah

AWAL minggu ini, sesi persekolahan dibuka semula selepas cuti panjang selama dua bulan akhir tahun lalu. Paling mencuri tumpuan ialah gelagat murid tahun satu yang baru merasai warna-warni alam persekolahan.
Pelbagai kerenah pastinya mencuit hati. Ada yang gembira dengan persekitaran sekolah, teman serta pakaian sekolah yang serba baru. Tidak kurang juga pelajar bimbang kerana berpisah sementara dengan ibu bapa sehingga mampu mengalirkan air mata.
Foto
FotoFoto
Namun berbeza pula dengan Asmia, 7, yang menetap di Kampung Titingan, Tawau, Sabah. Walaupun 2012 baru bermula, ia tetap tidak membawa banyak perubahan dalam hidupnya.

Rutin hariannya tidak jauh berbeza. Bangun seawal jam 6 pagi, hanya perlu membasuh muka tanpa menggunakan sabun mandi, dia bersiap sedia untuk ke bandar Tawau yang terletak 2.5 kilometer dari rumah. Tujuannya hanya satu iaitu mencari wang dengan mengemis dan meraih simpati orang ramai.


Nasib malang Asmia turut dikongsi seorang lagi kanak-kanak dikenali sebagai Wilda, 9. Seperti Asmia, Wilda perlu bangun awal pagi dan berjalan kaki ke Pasar Ikan Tawau, iaitu seawal pasar itu dibuka.

Jika Asmia berjalan hanya dengan berkaki ayam, bergerak dari satu gerai makan ke gerai lain untuk mengemis, Wilda menghabiskan masa sehariannya dengan menjual beg plastik kepada orang ramai yang membeli ikan di pasar berkenaan.

Asmia dan Wilda adalah sebahagian kanak-kanak jalanan yang tidak pernah mengenal alam persekolahan. Malah, mereka terpaksa keluar bekerja seawal umur dua dan tiga tahun semata-mata untuk mencari rezeki bukan saja untuk menampung perut sendiri tetapi juga ahli keluarga lain.

Bagi mengenali wajah kehidupan sebenar kanak-kanak ini, wartawan memulakan jejak di sekitar Tawau yang mempunyai keluasan 612,506 hektar. Tidak sukar menjejaki mereka kerana kanak-kanak ini biasanya bertumpu di kawasan pasar ikan, pasar sayur, restoran dan gerai makanan di bandar ini.

Hari pertama tinjauan dilakukan sekitar pasar ikan, tidak kurang daripada 15 kanak-kanak berlegar di pintu masuk pasar sambil membawa beg plastik untuk dijual kepada orang ramai.

Jika kanak-kanak biasa banyak menghabiskan masa bermain komputer atau di padang permainan, kanak-kanak jalanan banyak menghabiskan masa di pasar basah yang sudah pasti kotor dan berbau busuk.

Rutin harian dijalani di situ menyebabkan mereka lali dengan bau busuk sehingga ada yang selesa untuk makan, berehat dan bermain sesama sendiri di atas lantai sambil mata sibuk mencari orang ramai yang memerlukan beg plastik.

Dek persaingan kerana terlalu ramai menjual plastik dan mengambil upah mengangkat barang, ada juga yang sanggup meredah tong sampah bagi mencari ikan dibuang peraih ikan sebelum mencuba nasib dengan menjualnya di atas lantai dengan hanya beralaskan sehelai kertas surat khabar.

Seperkara lagi, kelibat kanak-kanak yang menjual rokok di tepi jalan juga pemandangan biasa di sini. Antara sedar atau tidak, ia nyata pengaruh negatif kepada kanak-kanak ini kerana terdedah dengan aktiviti tidak sihat, termasuk menghisap rokok pada usia terlalu mentah.

Namun, mereka seakan-akan terpaksa menerima takdir hidup sebegitu yang biasanya diwarisi daripada ibu bapa.

Di sekitar Tawau, golongan ini biasanya tinggal di kawasan perkampungan yang hampir dengan pantai. Antaranya Batu 4, Batu 7, Wakuba dan Inderasabah, manakala Kampung Titingan atau lebih dikenali sebagai Ice Box paling banyak didiami golongan ini kerana kedudukannya paling hampir dengan bandar.

Senario kanak-kanak jalanan atau lebih dikenali sebagai anak Palauh dan Bajau Laut di kalangan orang tempatan satu pemandangan biasa yang boleh dilihat di sini.

Mungkin disebabkan kegiatan kumpulan kanak-kanak ini berlaku sejak dulu lagi, ia seolah-olah perkara biasa bagi masyarakat tempatan. Tidak keterlaluan rasanya jika ada yang beranggapan kanak-kanak jalanan sama dengan pendatang tanpa izin (Pati), malah mungkin juga jauh lebih rendah tarafnya.

Ini kerana selain dihimpit kemiskinan, semua kanak-kanak dan sebahagian besar ahli keluarga mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri bagi mengesahkan status kerakyatan mereka.

Semuanya bermula di peringkat generasi pertama yang mengamalkan kehidupan secara nomad dan berpindah-randah dari satu tempat ke tempat lain serta hidup di atas perahu dan bot.

Boleh dikatakan mereka jauh ketinggalan dengan arus pemodenan dan maklumat kerajaan menyebabkan mereka tidak menyedari kepentingan memiliki kad pengenalan.

Apabila mula menghuni kediaman di atas tanah, mereka akhirnya menghadapi kesukaran memiliki kad pengenalan kerana generasi terdahulu juga tidak memilikinya.

Kesannya dapat dilihat sekarang apabila hampir semua kanak-kanak di sini tidak mempunyai dokumen sijil kelahiran, menyebabkan mereka terus tenggelam dalam arus kemajuan negara.

Keadaan ini menyebabkan mereka tidak boleh mendapatkan pendidikan secara formal sehingga menjadi buta huruf, tidak tahu membaca dan menulis.

Mungkin ramai beranggapan perkara ini mustahil jika dibandingkan dengan kemodenan negara, namun itulah realiti yang dihadapi kanak-kanak berkenaan.

Berbeza dengan kanak-kanak gelandangan, hampir semua kanak-kanak jalanan mempunyai rumah serta keluarga. Mereka hanya keluar bekerja di bandar dan pulang semula ke rumah masing-masing lewat petang.

Ada juga yang bekerja pada lewat malam dan biasanya mereka bertumpu di sekitar Fajar, kawasan yang mempunyai banyak kelab malam.

Difahamkan, kanak-kanak ini memasuki kelab malam dan pusat hiburan yang ada untuk menjual keropok dan kacang kepada pelanggan.

Kanak-kanak pada waktu ini bersih dan kemas jika dibandingkan pada waktu siang kerana mereka tidak perlu berada di kawasan kotor seperti pasar.


Ibu bapa tak tahu umur anak

SITUASI kehidupan kanak-kanak jalanan bukan saja boleh dilihat di Tawau, tetapi hampir semua daerah di Sabah seperti Lahad Datu, Kota Kinabalu, Sandakan dan Kunak.

Wartawan meneruskan jejak ke Semporna, sebuah pekan kecil kira-kira 50 kilometer dari Tawau. Di sinilah lokasi yang menjadi tumpuan utama masyarakat Bajau Laut, apatah lagi kedudukan daerah ini yang mempunyai banyak pulau kecil dan jauh daripada tanah besar.

Kehidupan kanak-kanak jalanan di sini tidak jauh bezanya dengan kanak-kanak di Tawau. Pasar Basah Semporna turut menjadi lokasi tumpuan kanak-kanak ini.

Selain itu, kedudukan Semporna yang dikelilingi laut menyebabkan banyak perkampungan atas air wujud di sini. Satu daripadanya ialah Kampung Bangau-Bangau.

Dianggarkan 600 kanak-kanak hidup bebas berlari tanpa baju dan selipar
di atas jambatan kayu yang menjadi penghubung antara satu rumah dan satu rumah.

Agak mengejutkan apabila sebahagian rumah di kampung ini dilengkapi kemudahan elektrik dan air, termasuk mempunyai televisyen LCD dan menjadi pelanggan stesen televisyen berbayar, tetapi mereka masih tidak bersekolah.

Sebahagian pula terpaksa hidup dalam rumah usang dan tidak mempunyai bilik tetapi perlu dikongsi sehingga lebih 10 orang dalam satu rumah.

Disebabkan buta huruf serta tidak mempunyai dokumen, kanak-kanak di sini seolah-olah terasing di bumi sendiri, termasuk tidak mengetahui umur sendiri.

Malah, hampir semua ibu bapa yang ditemui juga tidak mengetahui umur anak masing-masing yang secara puratanya mempunyai bilangan anak antara 10 hingga 11 orang dalam satu keluarga.

Ketika ditanya mengenai umur, masing-masing akan tersengih, mengerutkan dahi kemudian menggelengkan kepala tanda tidak tahu.

Ini adalah kesan apabila tidak mempunyai sijil lahir dan kad pengenalan. Abdul Wahid misalnya, masih memegang kad pengenalan lama berstatus penduduk sementara, manakala sebahagian anak dan semua cucunya tidak mempunyai dokumen diri.

“Disebabkan tiada dokumen, saya tidak boleh menghantar anak ke sekolah kerajaan. Jika diterima belajar sekalipun, kami pasti dikenakan bayaran tinggi kerana status kami yang dianggap bukan rakyat tempatan.

“Namun kerja sebagai nelayan dengan pendapatan yang sedikit menyebabkan saya tidak mampu menghantar mereka ke sekolah,” katanya.

Keadaan itu menyebabkan anak dan cucunya tidak boleh membaca dan menulis, termasuk mengingati umur sendiri.

Bagaimanapun, jauh di sudut hatinya ingin mengubah nasib keluarga dan keluar daripada kepompong kemiskinan hidup.

“Cukuplah anak saya yang mewarisi kemiskinan kami, tetapi bukan pada cucu. Biarlah mereka bersekolah dan tahu membaca untuk mengubah masa depan kami sekeluarga.

“Cuma saya tidak tahu bagaimana hendak memberi pendidikan kerana mereka tidak boleh bersekolah akibat tidak mempunyai dokumen diri,” katanya.

Selain itu, masalah dihadapi kanak-kanak di sini adalah berkaitan aspek kebersihan. Comot, kotor dengan kudis serta pelbagai lagi jenis penyakit kulit dapat dilihat dengan jelas.

Melihatkan kehidupan mereka di atas air yang tidak mempunyai sistem pembetungan dan perparitan teratur menyebabkan semua hasil buangan, termasuk najis dan sampah sarap, dibuang terus ke laut.

Kemudian di laut jugalah tempat kanak-kanak ini berenang dan mandi,
selain menjalankan aktiviti memancing serta memelihara hidupan laut untuk dijadikan hidangan keluarga mahu pun dijual kepada orang ramai.

Selain itu, akibat tidak belajar dan banyak menghabiskan masa di rumah, kebanyakan kanak-kanak lelaki turun ke laut membantu ahli keluarga menangkap ikan, manakala yang perempuan akan menguruskan kerja rumah.

Sehinggalah satu tahap, mereka akan berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri seterusnya mewarisi cara kehidupan generasi sebelum mereka.
 -my metro

Anakanda Sultan Johor jadi polis

TUNKU ABDUL JALIL memberi arahan pada majlis Perbarisan Tamat Latihan Inspektor Percubaan Siri 1/2011 di Pusat Latihan Polis, semalam.
TUNKU ABDUL JALIL memberi arahan pada majlis Perbarisan Tamat Latihan Inspektor Percubaan Siri 1/2011 di Pusat Latihan Polis, semalam.


KUALA LUMPUR: “Di mana pun saya dihantar bertugas, saya akan terima walaupun di kawasan kampung tetapi mungkin pada peringkat awal ini, saya akan berada di Johor dulu,” kata Tunku Abdul Jalil, anakanda keempat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang tamat latihan Inspektor Percubaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.
Beliau berkata, kerjaya polis memang diminatinya sejak kecil, malah menghargai khidmat diberi anggota polis untuk kerabat diraja, rakyat dan negara sejak sekian lama.
Berikutan itu, katanya, sudah tiba masanya PDRM mendapat tumpuan dan sokongan daripada kerabat diraja pula.

“Sejak kecil, saya ingin menjadi polis, tetapi hanya pada usia 22 tahun dan selepas tamat pengajian dalam bidang zoologi dan konservasi dari universiti di United Kingdom (UK), barulah saya mampu menjadikannya kenyataan.

“Sepanjang menjalani latihan, cabaran paling sukar dihadapi adalah bersabar kerana setiap kesalahan yang kami lakukan akan dikenakan hukuman. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana berupaya mengharunginya dengan sokongan dan kerjasama pasukan,” katanya.

Tunku Abdul Jalil mengetuai 959 pelatih Inspektor yang lain, sebagai Pegawai Pemerintah Baris dalam Upacara Perbarisan Tamat Latihan Pelatih Inspektor Siri 1 Tahun 2011, di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, semalam.
Upacara pentauliahan dirasmikan Sultan Johor ini turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Timbalannya, Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Sultan Johor menyampaikan Sijil Tamat Latihan Asas dan hadiah kepada Pelatih Terbaik Keseluruhan, V Vijay, Anugerah Pelatih Terbaik Akademik kepada Masna Syamsul dan Anugerah Pelatih Terbaik Latihan Luar kepada Firdaus Alshaari dan Nor Nazahiyah Mohamad.

Sementara itu, Ismail berkata, Latihan Asas Inspektor Percubaan kali ini yang pertama dalam sejarah kepolisan negara dengan 960 pelatih Inspektor Percubaan menjalani latihan serentak dalam satu sesi.

Beliau turut memberi ingatan kepada pelatih mengenai cabaran utama dihadapi PDRM masa kini untuk meningkatkan keyakinan masyarakat.


-Berita Harian

BM kertas 2 SPM tak perlu ambil semula

PUTRAJAYA: Khabar angin kononnya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini perlu menduduki semula peperiksaan Bahasa Melayu (BM) Kertas 2 dijalankan pada 23 November lalu tidak benar sama sekali.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata, siasatan dijalankan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) mendapati peperiksaan kertas itu pada 23 November adalah sah.

Berikutan itu katanya, semua calon SPM menduduki peperiksaan itu tidak perlu menduduki semula peperiksaan kertas berkenaan.
“Saya meminta ibu bapa dan calon peperiksaan SPM supaya tidak mempercayai khabar angin yang tidak berasas ini,” katanya.

“Saya juga meminta ibu bapa dan calon supaya tidak perlu bimbang kerana kementerian sentiasa mengambil langkah bagi memastikan peperiksaan adalah sah serta memastikan kualiti dan standard peperiksaan berada pada tahap yang terbaik,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.
Beliau berkata, buat masa ini, peperiksaan yang bermula 23 November lalu dan berakhir 20 Disember ini dapat dijalankan dengan baik dan lancar.

Abdul Ghafar berkata, ibu bapa atau calon yang ingin mendapatkan penjelasan berkaitan peperiksaan SPM yang sedang dijalankan sekarang boleh menghubungi Bilik Gerakan SPM, LPM di talian 03-88893551 atau 03-88893601 atau 03-28893520.

-My metro

Minta cerai suami ‘terkucil’

RIYADH: Seorang wanita muda di Arab Saudi memfailkan tuntutan cerai daripada suaminya, hanya selepas 40 hari berkahwin berikutan tabiat lelaki itu yang didakwanya kerap membuang air kecil di atas katil.


Akhbar Okaz yang memetik berita daripada laman web Al Ittihad, melaporkan bahawa, Mahkamah Rayuan Makkah memutuskan untuk membicarakan kes itu di sebuah mahkamah lain.
Isteri berkenaan mendakwa, suaminya bukan saja kerap membuang air kecil di atas katil, malah minum air kencingnya sendiri, menghidap penyakit mental dan mati pucuk.
“Suami wanita itu juga didakwa pernah cuba membakar rumah mereka,” lapor Okaz.
Mahkamah sudah mengarahkan pasangan terbabit mengemukakan laporan perubatan terperinci untuk menyokong dakwaan itu. – Agensi


-Berita Harian