AWAL minggu ini, sesi persekolahan dibuka semula selepas cuti panjang selama dua bulan akhir tahun lalu. Paling mencuri tumpuan ialah gelagat murid tahun satu yang baru merasai warna-warni alam persekolahan.
Pelbagai kerenah pastinya mencuit hati. Ada yang gembira dengan persekitaran sekolah, teman serta pakaian sekolah yang serba baru. Tidak kurang juga pelajar bimbang kerana berpisah sementara dengan ibu bapa sehingga mampu mengalirkan air mata.
Namun berbeza pula dengan Asmia, 7, yang menetap di Kampung Titingan, Tawau, Sabah. Walaupun 2012 baru bermula, ia tetap tidak membawa banyak perubahan dalam hidupnya.
Rutin hariannya tidak jauh berbeza. Bangun seawal jam 6 pagi, hanya perlu membasuh muka tanpa menggunakan sabun mandi, dia bersiap sedia untuk ke bandar Tawau yang terletak 2.5 kilometer dari rumah. Tujuannya hanya satu iaitu mencari wang dengan mengemis dan meraih simpati orang ramai.
Nasib malang Asmia turut dikongsi seorang lagi kanak-kanak dikenali sebagai Wilda, 9. Seperti Asmia, Wilda perlu bangun awal pagi dan berjalan kaki ke Pasar Ikan Tawau, iaitu seawal pasar itu dibuka.
Jika Asmia berjalan hanya dengan berkaki ayam, bergerak dari satu gerai makan ke gerai lain untuk mengemis, Wilda menghabiskan masa sehariannya dengan menjual beg plastik kepada orang ramai yang membeli ikan di pasar berkenaan.
Asmia dan Wilda adalah sebahagian kanak-kanak jalanan yang tidak pernah mengenal alam persekolahan. Malah, mereka terpaksa keluar bekerja seawal umur dua dan tiga tahun semata-mata untuk mencari rezeki bukan saja untuk menampung perut sendiri tetapi juga ahli keluarga lain.
Bagi mengenali wajah kehidupan sebenar kanak-kanak ini, wartawan memulakan jejak di sekitar Tawau yang mempunyai keluasan 612,506 hektar. Tidak sukar menjejaki mereka kerana kanak-kanak ini biasanya bertumpu di kawasan pasar ikan, pasar sayur, restoran dan gerai makanan di bandar ini.
Hari pertama tinjauan dilakukan sekitar pasar ikan, tidak kurang daripada 15 kanak-kanak berlegar di pintu masuk pasar sambil membawa beg plastik untuk dijual kepada orang ramai.
Jika kanak-kanak biasa banyak menghabiskan masa bermain komputer atau di padang permainan, kanak-kanak jalanan banyak menghabiskan masa di pasar basah yang sudah pasti kotor dan berbau busuk.
Rutin harian dijalani di situ menyebabkan mereka lali dengan bau busuk sehingga ada yang selesa untuk makan, berehat dan bermain sesama sendiri di atas lantai sambil mata sibuk mencari orang ramai yang memerlukan beg plastik.
Dek persaingan kerana terlalu ramai menjual plastik dan mengambil upah mengangkat barang, ada juga yang sanggup meredah tong sampah bagi mencari ikan dibuang peraih ikan sebelum mencuba nasib dengan menjualnya di atas lantai dengan hanya beralaskan sehelai kertas surat khabar.
Seperkara lagi, kelibat kanak-kanak yang menjual rokok di tepi jalan juga pemandangan biasa di sini. Antara sedar atau tidak, ia nyata pengaruh negatif kepada kanak-kanak ini kerana terdedah dengan aktiviti tidak sihat, termasuk menghisap rokok pada usia terlalu mentah.
Namun, mereka seakan-akan terpaksa menerima takdir hidup sebegitu yang biasanya diwarisi daripada ibu bapa.
Di sekitar Tawau, golongan ini biasanya tinggal di kawasan perkampungan yang hampir dengan pantai. Antaranya Batu 4, Batu 7, Wakuba dan Inderasabah, manakala Kampung Titingan atau lebih dikenali sebagai Ice Box paling banyak didiami golongan ini kerana kedudukannya paling hampir dengan bandar.
Senario kanak-kanak jalanan atau lebih dikenali sebagai anak Palauh dan Bajau Laut di kalangan orang tempatan satu pemandangan biasa yang boleh dilihat di sini.
Mungkin disebabkan kegiatan kumpulan kanak-kanak ini berlaku sejak dulu lagi, ia seolah-olah perkara biasa bagi masyarakat tempatan. Tidak keterlaluan rasanya jika ada yang beranggapan kanak-kanak jalanan sama dengan pendatang tanpa izin (Pati), malah mungkin juga jauh lebih rendah tarafnya.
Ini kerana selain dihimpit kemiskinan, semua kanak-kanak dan sebahagian besar ahli keluarga mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri bagi mengesahkan status kerakyatan mereka.
Semuanya bermula di peringkat generasi pertama yang mengamalkan kehidupan secara nomad dan berpindah-randah dari satu tempat ke tempat lain serta hidup di atas perahu dan bot.
Boleh dikatakan mereka jauh ketinggalan dengan arus pemodenan dan maklumat kerajaan menyebabkan mereka tidak menyedari kepentingan memiliki kad pengenalan.
Apabila mula menghuni kediaman di atas tanah, mereka akhirnya menghadapi kesukaran memiliki kad pengenalan kerana generasi terdahulu juga tidak memilikinya.
Kesannya dapat dilihat sekarang apabila hampir semua kanak-kanak di sini tidak mempunyai dokumen sijil kelahiran, menyebabkan mereka terus tenggelam dalam arus kemajuan negara.
Keadaan ini menyebabkan mereka tidak boleh mendapatkan pendidikan secara formal sehingga menjadi buta huruf, tidak tahu membaca dan menulis.
Mungkin ramai beranggapan perkara ini mustahil jika dibandingkan dengan kemodenan negara, namun itulah realiti yang dihadapi kanak-kanak berkenaan.
Berbeza dengan kanak-kanak gelandangan, hampir semua kanak-kanak jalanan mempunyai rumah serta keluarga. Mereka hanya keluar bekerja di bandar dan pulang semula ke rumah masing-masing lewat petang.
Ada juga yang bekerja pada lewat malam dan biasanya mereka bertumpu di sekitar Fajar, kawasan yang mempunyai banyak kelab malam.
Difahamkan, kanak-kanak ini memasuki kelab malam dan pusat hiburan yang ada untuk menjual keropok dan kacang kepada pelanggan.
Kanak-kanak pada waktu ini bersih dan kemas jika dibandingkan pada waktu siang kerana mereka tidak perlu berada di kawasan kotor seperti pasar.
Ibu bapa tak tahu umur anak
SITUASI kehidupan kanak-kanak jalanan bukan saja boleh dilihat di Tawau, tetapi hampir semua daerah di Sabah seperti Lahad Datu, Kota Kinabalu, Sandakan dan Kunak.
Wartawan meneruskan jejak ke Semporna, sebuah pekan kecil kira-kira 50 kilometer dari Tawau. Di sinilah lokasi yang menjadi tumpuan utama masyarakat Bajau Laut, apatah lagi kedudukan daerah ini yang mempunyai banyak pulau kecil dan jauh daripada tanah besar.
Kehidupan kanak-kanak jalanan di sini tidak jauh bezanya dengan kanak-kanak di Tawau. Pasar Basah Semporna turut menjadi lokasi tumpuan kanak-kanak ini.
Selain itu, kedudukan Semporna yang dikelilingi laut menyebabkan banyak perkampungan atas air wujud di sini. Satu daripadanya ialah Kampung Bangau-Bangau.
Dianggarkan 600 kanak-kanak hidup bebas berlari tanpa baju dan selipar
di atas jambatan kayu yang menjadi penghubung antara satu rumah dan satu rumah.
Agak mengejutkan apabila sebahagian rumah di kampung ini dilengkapi kemudahan elektrik dan air, termasuk mempunyai televisyen LCD dan menjadi pelanggan stesen televisyen berbayar, tetapi mereka masih tidak bersekolah.
Sebahagian pula terpaksa hidup dalam rumah usang dan tidak mempunyai bilik tetapi perlu dikongsi sehingga lebih 10 orang dalam satu rumah.
Disebabkan buta huruf serta tidak mempunyai dokumen, kanak-kanak di sini seolah-olah terasing di bumi sendiri, termasuk tidak mengetahui umur sendiri.
Malah, hampir semua ibu bapa yang ditemui juga tidak mengetahui umur anak masing-masing yang secara puratanya mempunyai bilangan anak antara 10 hingga 11 orang dalam satu keluarga.
Ketika ditanya mengenai umur, masing-masing akan tersengih, mengerutkan dahi kemudian menggelengkan kepala tanda tidak tahu.
Ini adalah kesan apabila tidak mempunyai sijil lahir dan kad pengenalan. Abdul Wahid misalnya, masih memegang kad pengenalan lama berstatus penduduk sementara, manakala sebahagian anak dan semua cucunya tidak mempunyai dokumen diri.
“Disebabkan tiada dokumen, saya tidak boleh menghantar anak ke sekolah kerajaan. Jika diterima belajar sekalipun, kami pasti dikenakan bayaran tinggi kerana status kami yang dianggap bukan rakyat tempatan.
“Namun kerja sebagai nelayan dengan pendapatan yang sedikit menyebabkan saya tidak mampu menghantar mereka ke sekolah,” katanya.
Keadaan itu menyebabkan anak dan cucunya tidak boleh membaca dan menulis, termasuk mengingati umur sendiri.
Bagaimanapun, jauh di sudut hatinya ingin mengubah nasib keluarga dan keluar daripada kepompong kemiskinan hidup.
“Cukuplah anak saya yang mewarisi kemiskinan kami, tetapi bukan pada cucu. Biarlah mereka bersekolah dan tahu membaca untuk mengubah masa depan kami sekeluarga.
“Cuma saya tidak tahu bagaimana hendak memberi pendidikan kerana mereka tidak boleh bersekolah akibat tidak mempunyai dokumen diri,” katanya.
Selain itu, masalah dihadapi kanak-kanak di sini adalah berkaitan aspek kebersihan. Comot, kotor dengan kudis serta pelbagai lagi jenis penyakit kulit dapat dilihat dengan jelas.
Melihatkan kehidupan mereka di atas air yang tidak mempunyai sistem pembetungan dan perparitan teratur menyebabkan semua hasil buangan, termasuk najis dan sampah sarap, dibuang terus ke laut.
Kemudian di laut jugalah tempat kanak-kanak ini berenang dan mandi,
selain menjalankan aktiviti memancing serta memelihara hidupan laut untuk dijadikan hidangan keluarga mahu pun dijual kepada orang ramai.
Selain itu, akibat tidak belajar dan banyak menghabiskan masa di rumah, kebanyakan kanak-kanak lelaki turun ke laut membantu ahli keluarga menangkap ikan, manakala yang perempuan akan menguruskan kerja rumah.
Sehinggalah satu tahap, mereka akan berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri seterusnya mewarisi cara kehidupan generasi sebelum mereka.
-my metro

No comments:
Post a Comment