Saturday, 7 January 2012

BM kertas 2 SPM tak perlu ambil semula

PUTRAJAYA: Khabar angin kononnya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini perlu menduduki semula peperiksaan Bahasa Melayu (BM) Kertas 2 dijalankan pada 23 November lalu tidak benar sama sekali.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata, siasatan dijalankan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) mendapati peperiksaan kertas itu pada 23 November adalah sah.

Berikutan itu katanya, semua calon SPM menduduki peperiksaan itu tidak perlu menduduki semula peperiksaan kertas berkenaan.
“Saya meminta ibu bapa dan calon peperiksaan SPM supaya tidak mempercayai khabar angin yang tidak berasas ini,” katanya.

“Saya juga meminta ibu bapa dan calon supaya tidak perlu bimbang kerana kementerian sentiasa mengambil langkah bagi memastikan peperiksaan adalah sah serta memastikan kualiti dan standard peperiksaan berada pada tahap yang terbaik,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.
Beliau berkata, buat masa ini, peperiksaan yang bermula 23 November lalu dan berakhir 20 Disember ini dapat dijalankan dengan baik dan lancar.

Abdul Ghafar berkata, ibu bapa atau calon yang ingin mendapatkan penjelasan berkaitan peperiksaan SPM yang sedang dijalankan sekarang boleh menghubungi Bilik Gerakan SPM, LPM di talian 03-88893551 atau 03-88893601 atau 03-28893520.

-My metro

No comments:

Post a Comment