Monday, 21 February 2011

kurang upaya dan kemiskinan bukan penghalang

21 February 2011 19:21   
KUALA LUMPUR - Kurang upaya dan kemiskinan hidup bukan penghalang kepada seseorang itu untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang diumumkan Isnin.
Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St John, Mohd Rifaat Hussin yang cacat penglihatan dan pelajar istimewa Low Hong Ping serta Syivero Patrick, pelajar SMK Kota Marudu, Sabah, kekurangan yang dihadapi tidak sedikit pun melunturkan semangat mereka untuk mencapai keputusan 4A dalam STPM 2010.
Mohd Rifaat, anak bongsu daripada tiga adik beradik, terpaksa berdepan cabaran di mana beliau mengikuti kelas bersama-sama dengan pelajar normal.
Beliau bernasib baik kerana kawan-kawan sekelas sudi menghulurkan bantuan selain daripada sokongan guru-guru yang tidak pernah membezakan antara pelajar normal dan kurang upaya sepertinya.
"Dalam kelas, saya belajar dengan pelajar normal yang lain terutamanya apabila cikgu menulis di papan hijau. Saya tidak boleh melihat dan meminta kawan-kawan membacakan kepada saya apa yang ditulis itu," katanya.
Mohd Rifaat, dari Seremban, Negeri Sembilan, yang mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan sama ada di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) atau Universiti Malaya (UM), berpendapat bahawa kecacatan tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada seseorang itu untuk berjaya dalam hidup.

"Saya ingin menjadi seorang guru kerana saya hendak membantu orang-orang macam saya supaya sama-sama berjaya dalam hidup.

"Saya terkejut apabila mengetahui saya adalah antara pelajar terbaik STPM hari ini. Saya hanya dimaklumkan oleh pengetua supaya menghadiri majlis hari ini tapi tidak tahu yang saya adalah antara yang terbaik," katanya.

Mengenai sesi belajar yang diamalkan, Mohd Rifaat yang mencatat keputusan 4A dalam Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Kesusasteraan Melayu dan Pengajian Perniagaan berkata tumpuan penuh diberikan ketika di dalam kelas, dan menggunakan masa dua jam sehari di sebelah malam untuk mengulang kaji pelajaran.

Seorang lagi pelajar SMK St John, Low Hong Ping, calon istimewa kategori spastik pula mencatat keputusan 4A dalam Pengajian Am, Ekonomi, Pengajian Perniagaan dan Matematik Statistik.

Menurut ibunya, Cheong Yee Yee, 50, beliau bangga kerana anaknya yang serba kekurangan itu mencapai keputusan cemerlang dalam STPM.

Katanya keadaan kesihatan Low yang terbatas ternyata tidak menghalang kegigihan anak bongsunya itu untuk belajar sekaligus mencatat keputusan membanggakan.

"Saya tahu, anak saya sentiasa fokus dalam kelas dan mengulang kaji pelajaran selagi mampu sebab dia tidak boleh belajar sehingga lewat malam kerana keadaannya kesihatannya yang tidak mengizinkan. Di sekolah pula, Low sentiasa dibantu kawan-kawan dan orang gaji sentiasa menemani Low kerana banyak perkara yang dia tidak boleh lakukan sendiri," katanya.

Cheong berkata Low sangat berminat dalam bidang ekonomi dan mungkin melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya (UM), yang berdekatan dengan rumah mereka.

Tidak seperti kebanyakan remaja di bandar yang menghabiskan cuti sekolah dengan aktiviti melancong, Syivero Patrick, anak kelahiran Kota Marudu, Sabah, pula menghabiskan cuti hujung minggu atau cuti sekolah dengan membuat kerja-kerja sambilan bagi mendapatkan wang belanja untuk membeli keperluan sekolah.

"Saya bekerja sendiri, kadang-kadang saya tolong orang buat rumah atau tolong ibu bapa bersawah. Saya mahu bantu orang tua saya kerana mereka juga perlu menyara abang saya yang belajar di universiti," katanya.

Syivero, yang berazam untuk mengubah nasib keluarganya itu, berhasrat melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya (UM) dalam bidang perakaunan atau pendidikan.

"Saya biasanya mengamalkan sistem ulang kaji secara santai, tidak terlalu menekan tapi yang penting saya berikan tumpuan penuh dalam pelajaran di dalam kelas," katanya.

Syivero mendapat keputusan 4A dalam mata pelajaran Pengajian Am, Geografi, Ekonomi dan Pengajian Perniagaan dan 1B dalam Sejarah.

Pasangan kembar dari SMJK Katholik Petaling Jaya, Charlotte Teong Chuin Yi dan Aimee Teong Chuin Ai pula sentiasa menghabiskan masa bersama-sama mengulang kaji pelajaran.

Kedua-dua mereka memperoleh keputusan 5A dalam mata pelajaran Pengajian Am, Matematik Tulen, Fizik, Kimia dan Biologi.

"Kami aktif dalam bidang sukan dan ini tidak menghalang kami untuk memberi tumpuan dalam pelajaran. Yang penting adalah tumpuan di dalam kelas, apa yang cikgu ajar dan nasihat, kami patuhi," kata Aimee yang berminat melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan manakala Charlotte pula mahu meneruskan pengajian dalam bidang undang-undang.

Mereka adalah antara 10 pelajar cemerlang dari seluruh negara yang diberi ganjaran wang RM1,000, sijil penghargaan dan plak oleh Majlis Peperiksaan Malaysia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment