Saturday, 28 January 2012

Amaran pelajar salah guna BB1M

KUALA LUMPUR 27 Jan. – Polis akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pelajar yang layak menerima Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) namun menyalahgunakan baucar tersebut bagi tujuan lain, selain membeli buku.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pelajar menyalahgunakan baucar itu berdasarkan laporan polis yang diterima.
“Justeru, pelajar yang menerima bantuan BB1M dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan kerana tindakan diambil pihak polis terhadap mereka.
“Kerajaan sudah memberi bantuan BB1M untuk kebaikan dan kemudahan membeli buku, jadi janganlah salah guna baucar tersebut dengan menjualnya untuk mendapatkan wang tunai,” katanya.
Beliau diminta mengulas laporan polis yang dibuat Kementerian Pengajian Tinggi berhubung penyalahgunaan BB1M oleh pelajar yang layak menerima baucar tersebut selepas menghadiri Program Kepimpinan Polis Diraja Malaysia bersama masyarakat di Masjid Al-Imam Ash-Syafie di Taman Maluri Cheras di sini hari ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai permasalahan yang disuarakan penduduk di sekitar Taman Maluri, beliau menjelaskan, pihaknya akan mempertingkatkan operasi bagi memastikan kebimbangan penduduk terhadap kejadian jenayah dapat diatasi.
Katanya, pihaknya juga akan menyelesaikan kegiatan premis perjudian yang didakwa penduduk masih tetap berleluasa walaupun sudah beberapa kali diserbu.
“Polis sentiasa bekerjasama dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi mengesan dan menyerbu premis beroperasi tanpa lesen dan salah dari segi undang-undang,” katanya.
-- utusan online

No comments:

Post a Comment