Tuesday, 14 February 2012

Bakti bantu Muzamil capai impian

KUALA LUMPUR 13 Feb. - Cacat anggota badan dan pernah dilabel sebagai buta huruf kerana lambat bersekolah ekoran kesempitan hidup ternyata bukan alasan untuk Mohammad Muzamil Mohammad Noor hanya layak menganyam tikar seperti yang dikhuatiri oleh bapanya.
Dengan azam yang kuat serta tuah yang menyebelahinya, anak kelahiran Alor Setar, Kedah berusia 39 tahun yang kudung kedua-dua kaki sejak lahir berjaya memperoleh Doktor Falsafah (PhD) dan menjadi antara tenaga pengajar termuda berkelulusan tersebut di Universiti Sains Malaysia (USM).
Beliau yang kini merupakan pensyarah di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh USM bertuah kerana tamat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) terus ditawarkan menjadi pelajar tajaan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI) di USM.
"Saya amat bersyukur kerana pada awalnya tidak yakin dapat meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi terutama mendapat tempat di USM untuk membuat ijazah sarjana muda kerana tidak mahu keluarga terbeban untuk menampung kos pengajian saya.
"Tetapi ternyata rezeki saya dalam bidang akademik memang ada apabila Bakti mengubah hidup saya dan kerana itu saya berjanji untuk memberikan yang terbaik kepada anak muda dengan menjadi pensyarah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mohammad Muzamil seterusnya berkata, Bakti telah menaja pengajiannya bukan sahaja di peringkat ijazah sarjana muda tetapi juga di peringkat ijazah sarjana dan kerana itu beliau bertekad untuk tidak berhenti setakat itu sebaliknya menyambung pengajian ke peringkat PhD di Universiti Malaya (UM).
"Kini saya bergelar doktor falsafah dan impian untuk menjadi pensyarah sudah dalam genggaman, tetapi saya sedar ilmu itu tidak pernah berhenti daripada dicari, maka saya mengembangkan lagi pencarian ilmu dengan menjadi penyelidik.
"Segala kekurangan yang dimiliki adalah kekuatan untuk saya, tidak semestinya orang cacat perlu mendapat simpati tetapi kami harus bergerak setanding dengan golongan normal," katanya.
Anak bongsu daripada lapan beradik itu satu-satunya anak istimewa dalam keluarganya dan yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti berasa amat puas setelah bergelar pensyarah kerana ia membuktikan orang cacat mampu berjaya.
"Dahulu arwah ayah selalu bimbang saya akan menjadi penganyam tikar atau pembuat sampul surat sahaja. Tetapi hari ini saya bukan sahaja boleh memandu kenderaan, bahkan menjadi insan yang dihormati dalam kalangan penuntut yang amat saya sayangi," katanya.
Sebelum mengakhiri perbualan, beliau sempat berkongsi minatnya yang mendalam terhadap dunia penulisan dan memberitahu bakal menerbitkan karya pertamanya iaitu sebuah buku bertajuk Guru Melayu: Nasionalisme dan Politik di Kedah pada April ini.
-- utusan-