Wednesday, 15 February 2012

sepak junior hingga pengsan


PETALING JAYA: Hanya kerana didakwa tidak menghormati senior, seorang pelajar junior cedera dibelasah sekumpulan pelajar terbabit dengan kayu selain menyepaknya di badan hingga pengsan dalam kejadian di sebuah sekolah asrama di Sungai Buloh, di sini kelmarin.
Dalam kejadian jam 12.30 malam itu, mangsa yang berusia 16 tahun berada di bilik asramanya di tingkat tiga sebelum didatangi seorang rakan yang memaklumkan seorang pelajar senior ingin berjumpanya.

Sumber berkata, sebaik tiba di bilik pelajar senior terbabit, mangsa diherdik kerana didakwa tidak menghormati pelajar senior.
Ketika mangsa hendak menerangkan kepada pelajar terbabit, tiba-tiba dia ditendang di dada.

“Sikap mangsa mendiamkan diri itu menyebabkan pelajar terbabit naik angin sebelum rakan sebiliknya datang menyepak mangsa di tepi badan hingga jatuh.

“Tidak cukup dengan itu, seorang lagi pelajar senior menyepak mangsa di badan selain mengugut melanggar ibu bapa mangsa jika dia mengadu kejadian terbabit kepada pihak pengurusan asrama atau sekolah,” katanya.

Menurutnya, mangsa pengsan di biliknya dan jam 11 pagi semalam, mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buluh untuk menerima rawatan selepas mangsa sesak nafas berterusan.

Mangsa disahkan cedera pada bahagian tisu di beberapa bahagian badan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Meor Hamdan Meor Mohamad mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan siasatan lanjut dijalankan.
-- my metro--