Tuan Man Tuan Wel, dari Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh, melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam jurusan kaunseling psikologi kerana berhasrat menjadi pakar motivasi suatu hari nanti.
“Saya melihat ramai yang melanjutkan pengajian di OUM, di sini, dan hati saya terdetik mengapa tidak mengambil peluang berkenaan.
“Saya juga mahu membuktikan orang kelainan upaya (OKU) seperti saya juga boleh melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya, ketika ditemui di OUM, kelmarin. Tuan Man mendaftar di OUM bersama isterinya, Robiah Abdullah, 41, yang turut melanjutkan pengajian dalam jurusan sama dan memulakan kelas pertama, kelmarin. Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, Tuan Man yang cacat sejak lahir layak digelar ‘OKU Super’ berikutan kemampuannya hidup seperti manusia normal termasuk memandu kereta sejauh hampir 100 kilometer setiap hari, malah tiada masalah membawa isteri dan anak makan angin dengan memandu dari Pasir Puteh, Kelantan ke Cameron Highlands.
Dia yang bekerja sebagai pembantu tadbir di Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan sejak 2002, memandu Perodua Kancil yang diubah suai dengan kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas memperoleh lesen memandu kereta pada 2004.
Hasil perkahwinan dengan Sabariah, Tuan Man yang berkelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dikurniakan tiga anak, Tuan Nur Qurratu Ainy Mardiah, 15, Tuan Nur Azim Qoyyum, 11 dan Tuan Nur Qasrina Amaniey Mardiah, 6.
-metro-