Saturday, 4 February 2012

North Borneo Railway kembali beroperasi



KOTA KINABALU 4 Feb. - Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) dengan kerjasama Sutera Harbour Resort hari ini melancarkan semula kereta api lokomotif era Borneo Utara yang dihentikan sejak penambahbaikan landasan kereta api pada 2005.
Pengoperasian semula kereta api enjin wap era 1880-an, North Borneo Railway itu disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun.
Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Japlin Akim; Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Abidin Madingkir; Pengerusi Sutera Harbour Resort, Tan Sri Ahmad Kamil Jaafar; Presiden Sutera Harbour Resort, Datuk Edward Ong dan Pengurus Besar JKNS, Mohd. Zain Mohd. Said.
Masidi berkata, kereta api lima gerabak reka bentuk kolonial yang boleh memuatkan 80 penumpang itu akan menjadi antara daya tarikan pelancong di negeri itu.
"Kereta api ini akan memberi pelancong merasai pengalaman menaiki sebuah kereta api era kolonial yang begitu unik dan cantik.
"Dengan perjalanan kira-kira tiga jam dari Kota Kinabalu ke Papar penumpang akan melalui perkampungan, dusun buah-buahan, sawah padi, hutan bakau dan hutan semulajadi Sabah yang begitu indah," katanya di sini hari ini.
Menurutnya, kereta api tersebut beroperasi pada hari Rabu dan Khamis dengan bayaran RM250 bagi dewasa dan RM150 bagi kanak-kanak, termasuk sajian makanan bertaraf lima bintang yang disediakan oleh Sutera Harbour Resort.
Sementara itu, Ahmad Kamil berkata, pihaknya yakin perkhidmatan kereta api berkenaan akan mampu menarik minat pelancong ke negeri itu.
"Ini menunjukkan kesungguhan semua pihak dalam menjadikan Sabah sebagai destinasi pilihan pelancong dan komitmen kita dalam mempromosikan keharmonian masyarakat di negeri ini," ujarnya
- utusan