Tuesday, 14 February 2012

Elak dianggap mengemis simpati

HULUR BANTUAN...kehadiran rakan yang bertindak sebagai sukarelawan banyak memudahkan mahasiswa OKU melakukan tugasan.













TATKALA melihat kesungguhan beberapa mahasiswa Orang Kelainan Upaya ( OKU) Universiti Malaya asyik dan bersungguh - sungguh mentelaah pelajaran, mata penulis cukup ralit biarpun hati diamuk pelbagai perasaan.
Sesungguhnya penulis berasa kagum kerana di sebalik kekurangan, mereka tidak menjadikannya sebagai alasan untuk tidak berjaya seperti orang lain biarpun terpaksa menggandakan usaha hanya untuk menggenggam kejayaan.

Walaupun hidup penuh cabaran, mahasiswa OKU UM cukup cekal dan tegar melalui dunia pengajian tinggi yang sering kali dilabelkan sebagai ‘destinasi’ pelbagai tugasan serta peperiksaan yang membebankan.

Bagi mereka, kekurangan itu bukan bermakna untuk berpeluk tubuh atau perlu dikasihani semata-mata sebaliknya menjadi pendorong dan azimat paling berharga dalam menggenggam segulung ijazah.


“Jika kami tidak berusaha, ibarat mengemis simpati orang lain. Ini lebih menjatuhkan maruah golongan OKU keseluruhannya di mata masyarakat.

“Sudahlah tidak sempurna, jika peluang diberikan tidak digunakan sepenuhnya, apalah nanti nasib dan masa depan kami. Biarlah tidak cukup anggota, sekurang-kurangnya ada pelajaran,” kata mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Melayu, Faiq Adnan.

Dia dan rakan senasib tidak pernah menjadikan keadaan serba kekurangan itu sebagai alasan untuk memperoleh terlalu banyak keistimewaan biarpun sebenarnya perlu dibantu dalam beberapa aspek.

Menurut anak kelahiran Sungai Petani, Kedah ini, sama seperti mahasiswa lain dia berjalan kaki ke bilik kuliah, membuat tugasan mahupun mentelaah di perpustakaan atau ruang khas disediakan di kolej.

“Saya tidak mahu kerana kekurangan ini menjadikan saya terlalu dimanjakan atau tidak mampu berdikari. Selagi boleh, saya berusaha melakukannya biarpun dalam keadaan payah.

“Cuma kelebihannya kami ada sukarelawan yang sudi membantu membacakan buku dan menerangkannya dengan lebih terperinci. Jadi mudahlah sikit proses pembelajaran itu.

“Malah UM juga menyediakan kemudahan komputer khas yang membantu kami membuat tugasan. Selebihnya, kami juga seperti mahasiswa biasa yang terpaksa bergelut dengan kekangan waktu, tugasan dan kehidupan kampus,” katanya yang mengalami cacat penglihatan sejak lahir.

Sementara rakannya, Muhamad Nadhir Abdul Nasir, berkata walaupun sukar pada awal kemasukannya untuk menyesuaikan diri, dia bertuah kerana dapat melalui dengan cekal hasil sokongan padu keluarga, rakan dan pensyarah.

Akuinya, situasi kampus tidak sama di sekolah, justeru menggantungkan pengharapan pada orang lain untuk menghulurkan bantuan, tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.

“Di sini (kampus), segala-galanya perlu dilakukan dengan kudrat sendiri tanpa bergantung kepada orang lain. Mulanya memanglah sukar sebab orang seperti kami ini terpaksa melalui proses penyesuaian diri yang rumit.

“Kalau mahasiswa normal juga berdepan masalah, apatah lagi kami yang serba kekurangan ini. Bagaimanapun, saya boleh menyesuaikan diri apatah lagi ramai yang sudi menghulurkan bantuan.

“Mulanya rasa malu juga kerana selalu meminta bantuan dan rasa tersisih, namun syukurlah perasaan itu tidak lama. Rakan dan pensyarah memang banyak membantu meringankan bebanan. Kami perlu tahu membawa diri,” katanya yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Antropologi dan Sosiologi.

Bercerita mengenai cabaran terbesar terpaksa dilalui, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Pentadbiran, Nur Aisyatul Radhiah Alidaniah, berkata antara yang paling sukar adalah ketika pembelajaran di bilik kuliah atau tutorial.

“Bagi yang sempurna, tentulah tidak sukar untuk menyalin nota tapi kami yang tidak nampak ini, ia satu kesukaran mencabar emosi.

“Kami hanya boleh mendengar dan tidak boleh menulis. Apabila sesi pembelajaran tamat, kami bergegas mencari rakan yang boleh membantu dan jika sudi mudahlah tapi kami pun faham, mereka juga ada tanggungjawab perlu dilaksanakan.

“Justeru pandai-pandailah kami untuk ‘memujuk’ atau mencari alternatif lain.
Paling penting, tugasan siap dan kami faham mengenai apa yang diajar,” katanya mengakui kebanyakan OKU sangat sensitif dan sentiasa merasakan diri menjadi bebanan orang lain.

Dia berkata, perasaan itu memang tidak boleh dielakkan kerana perlu mencari dan mengharapkan bantuan hingga ada kalanya terbit rasa malu pada diri sendiri.

“Sebab itu, kami sering berjumpa untuk memotivasikan diri antara satu sama lain supaya tidak terlalu bergantung harap. Apa yang boleh dilakukan, kami buat sehabis daya untuk tidak menyusahkan rakan.

“Jika sudah tidak mampu saja, kami minta bantuan orang lain. Ini juga sebagai satu ‘isyarat’ supaya kami tidak dilabelkan terlalu meminta-minta,” katanya.

Mengakui hubungan mereka amat rapat, dia berkata dalam kalangan mahasiswa OKU saling membantu dan menyokong antara satu sama lain.

“Apabila berjumpa, kami berbincang pelbagai topik semasa mahu pun peribadi. Hubungan erat menjadikan kami seperti adik-beradik.

“Mungkin kerana senasib, kami lebih mudah memahami dan menerima kekurangan masing-masing biarpun rakan tidak pernah menyisihkan kehadiran kami dalam kalangan mereka.

“Di kampus, kebergantungan dan keyakinan terhadap diri sendiri adalah paling utama untuk menentukan kejayaan atau kegagalan seseorang,” katanya.

Menjadi salah satu institusi pengajian tinggi awam negara yang menyediakan kemudahan lengkap bagi OKU, UM dilihat sebagai antara harapan terbaik golongan berkenaan memperoleh pendidikan tertinggi serta membina masa depan.

Pengetua Kolej Kediaman Ketujuh UM yang menempatkan kolej mahasiswa OKU, Profesor Madya Dr Rohana Jani berkata, tidak perlu gusar atau mempertikaikan kemampuan golongan terbabit untuk berjaya kerana mereka lebih cekal mengharungi dugaan.

Menurutnya, ini terbukti apabila mereka berusaha melaksana atau terbabit dalam aktiviti anjuran kolej selain tidak suka dipinggirkan atas alasan tidak ‘berupaya’.

“Zahirnya memang nampak mereka serba kekurangan dan seperti memerlukan bantuan tapi jika sudah mengenali, pasti terbit rasa kagum. Mereka mahu melakukannya sendiri selain tidak pernah mahu mengasingkan diri.

“Segala aktiviti kolej dan pengurusan keperluan diri dilakukan atas inisiatif sendiri. Biarpun serba kekurangan, semangat berdikari tidak pernah luntur menjadikan mereka insan terpilih yang cukup istimewa.
- metro-