KOTA BHARU 13 Mac - Seramai 30,000 guru mendaftar di beberapa institusi pengajian tinggi di seluruh negara bermula hari ini bagi mengikuti program khas Sarjana Muda Pengajaran iaitu program pengsiswazahan guru yang baru diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran.
Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran, Datuk Mohd. Ghazali Ab. Rahman berkata, program tersebut diperkenalkan pada tahun ini untuk mencapai sasaran sekurang-kurangnya seramai 60,000 guru sekolah menengah dan rendah memiliki ijazah menjelang 2015.
Katanya, ia merupakan pelan jangka panjang kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) membabitkan perbelanjaan mencecah RM1.4 bilion.
"Ini adalah program untuk meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan sektor perguruan di mana guru-guru ini akan mengikuti pengajian selama empat tahun di institusi masing-masing dalam bidang sarjana.
"Buat masa ini, seramai 89 peratus guru sekolah menengah sudah mempunyai ijazah, manakala 28 peratus di sekolah rendah, tetapi menjelang 2015, kita mahu jumlah itu meningkat kepada masing-masing 90 dan 60 peratus," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Pendaftaran Sarjana Muda Pengajaran Ambilan 2011, Universiti Terbuka Malaysia (OUM) di Maktab Sultan Ismail di sini, hari ini.
Hadir sama, Naib Presiden Kanan OUM, Profesor Dr. Mansor Fadzil.
Mohd. Ghazali berkata, seramai kira-kira 30,000 guru lagi akan menyertai program tersebut pada tahun depan dengan kos termasuk yuran pembelajaran ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
Katanya, sistem pembelajaran akan dibuat secara pendidikan jarak jauh (PJJ) untuk memastikan guru terlibat dapat memberi tumpuan seratus peratus kepada tugas hakiki mereka di sekolah.
"Langkah ini adalah platform terbaik untuk melahirkan modal insan yang berkualiti pada masa depan, kerana hanya guru berkualiti dapat melahirkan pelajar yang cemerlang.
"Selain itu, kebajikan guru-guru juga diambil kira di mana selepas memiliki ijazah, gaji mereka akan dinaikkan secara automatik mengikut tahap pendidikan masing-masing," jelasnya.
Sementara itu, OUM mengambil seramai 5,685 guru ke program tersebut di 20 cawangannya di seluruh negara.
Guru-guru berkenaan akan mengikuti program tersebut selama empat tahun membabitkan 12 semester yang akan berakhir pada Disember 2014.
Universiti itu menawarkan sebanyak 11 bidang pengajian iaitu pra sekolah, pendidikan Islam, bahasa Melayu, bahasa Cina, kemahiran hidup, matematik, muzik, pendidikan jasmani, pendidikan khas, pendidikan seni visual dan sains.
Sumber: Utusan Melayu
No comments:
Post a Comment