Daripada Adha Ghazali di Christchurch, New Zealand
bhnews@bharian.com.my
2011/03/09
Pelajar Malaysia cekal walaupun terlantar di hospital
CHRISTCHURCH (New Zealand): Bebanan penyakit barah tulang dihidapi tidak pernah menghalang seorang pelajar, Richard Yap, 21, meneruskan pengajiannya di Universiti Canterbury, di sini, walaupun sepanjang masa terpaksa terlantar di katil hospital. Malah, keadaannya yang terpaksa bergantung kepada rawatan kemoterapi itu mendorong Richard, anak kelahiran Taman Desa di Kuala Lumpur, lebih cekal menempuh dugaan hidup terutama untuk mencapai kejayaan dalam jurusan undang-undang yang diminatinya. Difahamkan, Richard yang turut menjadi mangsa gegaran gempa bumi yang melumpuhkan bandar perniagaan pusat ini pada 22 Februari lalu, dirawat di Hospital Christchurch sejak beberapa tahun lalu, selepas penyakit barah tulang yang dihidapinya sejak lima tahun lalu, kembali.
Menceritakan kisahnya, Richard berkata, pada peringkat awal, dia hanya merasai kesakitan pada lutut kiri, sebelum merebak ke bahagian rusuk kanan, tulang belakang serta kepala.
“Selepas disahkan menghidap Osteosarcoma lima tahun lalu, saya menerima rawatan khusus sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Canterbury.
“Bagaimanapun, ketika di sini, penyakit itu berulang menyebabkan saya menjalani rawatan di hospital.
“Saya dinasihatkan tangguh pengajian, namun enggan berbuat demikian. Malah, saya bernasib baik kerana pihak universiti begitu prihatin sehingga sanggup menghantar tutor membantu saya dalam pelajaran di hospital,” katanya yang enggan gambarnya dirakam.
Terdahulu, Richard menerima kunjungan pasukan perubatan Kelab Putera 1Malaysia yang diketuai Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, semalam.
Sementara itu, Richard ketika ditanya mengenai pengalamannya ketika gempa bumi, berkata hanya Tuhan yang tahu perasaannya apabila tidak mampu melarikan diri, sedangkan bangunan yang diduduki bergegar dan bergoyang dengan kuat.
“Saya tidak dapat gambarkan ketakutan saya ketika itu. Sudahlah diri sendiri sakit, gempa bumi pula melanda dan secara kebetulan turut membabitkan bangunan yang saya duduki,” katanya yang bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu.
Sementara itu, Abdul Azeez ketika ditemui mengaku kagum dengan semangat kental Richard yang berkeras untuk meneruskan pembelajaran, walaupun dalam keadaan dirinya yang berdepan pelbagai kesukaran.
“Saya simpati sekali dengan nasib yang menimpanya itu, saya harap, semangat kental ditunjukkan Richard ini dapat menjadi contoh kepada pelajar lain,” katanya.
p/s : semangat pelajar ini memang kental.. Inilah sikap yang baik. Ada juga pelajar yang sihat tetapi malas untuk belajar dan beranggapan belajar itu membuang masa.. Tetapi bagi pelajar yang mengganggap ilmu itu penting, mereka sanggup[ mengharungi kepayahan serta cabaran yang mendatang, belajar harus di utamakan untuk mengubah masa depan.
No comments:
Post a Comment