KUALA LUMPUR 28 Mac – Sidang Dewan Rakyat hari ini ‘hangat’ apabila Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mendakwa pemanduan golongan wanita di negara ini kebanyakannya amat berbahaya sekali gus boleh mengundang kemalangan.
Dakwa beliau, apabila golongan wanita memandu kereta, mereka tidak mempedulikan keadaan sekeliling dan ia menyebabkan pemandu lain terdedah dengan risiko kemalangan.
Malah, ujarnya, pemandu wanita terbabit akan berasa marah selain ada yang sanggup mengeluarkan tangan mereka menunjukkan pelbagai isyarat sekiranya pemandu lain membunyikan hon.
‘‘Saya terpanggil membicarakan soal-soal sebegini kerana pada saya kemalangan boleh berlaku disebabkan kecuaian orang lain. Maka kita di jalan raya tidak juga selamat daripada pemandu-pemandu yang cuai terutama pemandu wanita.
‘‘Dia relaks, dia tidak peduli kiri kanan. Kita hon, dia marah ada juga yang sanggup keluarkan tangan dan menunjukkan pelbagai isyarat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2010) 2011 di Dewan Rakyat hari ini.
Kenyataan itu membangkitkan kemarahan Dr. Siti Mariah Mahmud (Pas-Kota Raja) yang serta-merta meminta Bung Moktar menarik balik kenyataan itu kerana tuduhan tersebut bersifat umum.
‘‘Minta tarik balik Yang Berhormat (YB) terutama perkara berkaitan pemandu wanita kerana ia terlalu umum,” katanya.
Bung Moktar ketika mempertahankan kenyataannya itu dengan tegas berkata, beliau ikhlas menegur kerana ia melibatkan soal keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
‘‘Saya tidak berhujah berdasarkan emosi dan itu juga tidak bermakna saya tidak menghormati wanita. Saya tetap menghormati mereka.
‘‘Namun perkara ini perlu diambil perhatian lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan pemandu wanita yang baru lulus daripada ujian memandu,” katanya.
Nancy Syukri (BN-Batang Sadong) ketika mencelah berkata, kecenderungan pemandu-pemandu wanita yang baru lulus memandu secara perlahan adalah kerana mereka amat berhati-hati.
p/s: Pada saya kedua-dua gender sama ada lelaki dan perempuan sama-sama cuai semasa di jalan raya.. kadang kala yang perempuan pun memandu laju manakala lelaki pula memandu perlahan. Yang paling sakit hati tidak tahu mana lorong laju dan perlahan.. sakit lah hati bila berada si belakang,bila tengok rupa-rupanya lelaki sedang bergayut telefon bimbit...
No comments:
Post a Comment