JASIN 23 Mac - Bercucuran air mata pasangan Noraihan Sharif dan Rafidah Aziz di kala melihat kegembiraan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meraikan kejayaan bersama ibu bapa masing-masing hari ini.
Walaupun di tangan mereka tertera slip keputusan 6A 3B milik anak kesayangan, Mohamad Zulhaili namun ia tidak membawa apa-apa makna kerana dia tiada lagi di dunia.
Pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Selandar itu tidak sempat menikmati kejayaan cemerlangnya dalam SPM apabila menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah akibat jangkitan kuman pada 15 Februari lalu.
Allahyarham Mohamad Zulhaili yang ketika itu mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Ovai Papar mengalami demam selepas mandi di sebuah kolam di kem berkenaan.
"Walaupun cita-cita anak saya untuk menjadi juruterbang tidak tercapai, tetapi saya amat bangga kerana atas usaha gigihnya dia memperoleh keputusan yang cemerlang," ujarnya ketika ditemui di sekolah itu hari ini.
Noraihan, 49, dan Rafidah, 43, amat merasai kehilangan anaknya itu kerana dia seorang yang taat dan menghormati ibu bapa.
"Saya menitiskan air mata sebaik sahaja memasuki pekarangan sekolah ini. Tidak tahan saya melihat pelajar lain dan ibu bapa masing-masing gembira dengan keputusan SPM anak mereka," ujarnya.
Mereka berdua bagaimanapun tetap bangga dengan keputusan yang dicatat Allahyarham anaknya yang merupakan hasil penat lelahnya belajar selama ini.
Kedatangan mereka ke sekolah itu juga bagi berjumpa dengan guru-guru dan kawan-kawan Mohamad Zulhaili bagi mengucapkan terima kasih atas sokongan mereka terhadap remaja itu selama ini.
sumber: Utusan Melayu
No comments:
Post a Comment