Friday 14 October 2011

Pelajar autisme calon harapan peroleh 9A



Ketua Sektor Pendidikan Khas JPN, Ngah Bidin (kiri) dan Pengetua SMKA Sheikh Abdul Malik, Rabiah Ab. Samad memberi kata-kata perangsang kepada Muhammad Danial di Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU 4 Okt. - Muhammad Danial Zainuddin, 16, mula dikesan mengalami autisme ketika usianya dua tahun apabila sukar berkomunikasi dan menyesuaikan diri dengan persekitaran selain bersifat hiperaktif.
Namun, autisme tidak menghalang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malik dekat sini menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang bermula hari ini bersama calon lain.
Apa yang membezakannya dengan pelajar lain ialah anak sulung daripada tiga beradik itu merupakan satu-satunya pelajar pendidikan khas yang mengambil peperiksaan tersebut di sekolah itu dan merupakan calon harapan bagi mendapat 9A.
Dia pernah menerima anugerah Tokoh Pelajar sempena Hari Guru peringkat negeri dua tahun lalu kerana memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Muhammad Danial merupakan antara 23,157 calon PMR di seluruh negeri ini dan daripada jumlah itu, 91 calon adalah pelajar Pendidikan Khas terdiri daripada enam calon masalah penglihatan, pendengaran (10), pembelajaran (75) dan kurang upaya fizikal (9).
Seramai lima banduan muda dan pesalah juvenil dari Sekolah Integriti Marang turut menduduki PMR yang mula didaftarkan sebagai calon sekolah tahun ini.
Muhammad Danial yang gemar bermain catur memperoleh 9A ketika peperiksaan percubaan lalu dan mengambil subjek Bahasa Arab biarpun kebanyakan rakan lain hanya mengambil lapan kertas.
Menurut ibunya, Ruzina Mohd. Ikram, 46, menjaga Muhammad Danial tidak sama dengan kanak-kanak lain kerana dia sangat aktif ketika kecil dan sukar dikawal, namun apabila berumur 10 tahun dia mula gemar membaca.
Ruzina yang ditemui ketika mengiringi Muhammad Danial menduduki PMR bersama Ketua Sektor Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan negeri, Ngah Bidin menceritakan, anaknya itu yang mempunyai tabiat pelik iaitu suka melompat secara tiba-tiba mampu membaca banyak buku dalam sehari.
Katanya, keadaan tersebut terpaksa dilaluinya dengan tabah bersama suami, Zainuddin Muhamad, 46.
"Keajaiban berlaku ketika usia anak saya lapan tahun apabila mampu membaca akhbar biarpun sebelum itu mereka tidak pernah mengajar mahupun menghantarnya ke sekolah.
"Kami melihat potensi Muhammad Danial semakin baik di dalam pelajaran dan ketika umurnya 10 tahun dia dimasukkan ke kelas pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan Padang Hiliran dan ditempatkan dalam darjah tiga," katanya.

P/s: semoga berjaya....Insyaa Allah...

No comments:

Post a Comment