Friday 14 October 2011

Sahut cabaran jadi doktor

Sahut cabaran jadi doktor

KETEKUNAN dan pengorbanannya belajar selama lima tahun berbaloi apabila menerima Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaya (UM), kelmarin.
Bagi Muhammad Zayyid Mohd Mokhtar, 23, tiada istilah rehat sepanjang tempoh pembelajaran itu kerana kursus perubatan memerlukan seseorang yang fokus dan sentiasa bersedia.

Katanya, ketika orang lain seronok bercuti semester, dia terpaksa mentelaah pelajaran bagi membolehkan lulus cemerlang.

“Ketika menuntut di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan saya tidak terfikir untuk menjadi doktor, hanya mahu lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan cemerlang.


“Apabila memasuki kursus Matrikulasi di Kepala Batas, Pulau Pinang ramai rakan senior memberi semangat supaya mengambil jurusan perubatan bagi membuktikan kebolehan anak Melayu.

“Saya menyahut cabaran itu apatah lagi dalam keluarga tiada sesiapa yang pernah mengambil jurusan perubatan atau menjadi doktor,” kata anak kelahiran Alor Star, Kedah yang kini menetap di Telok Air Tawar, Pulau Pinang.

Dia yang kini Pegawai Perubatan Latihan Siswazah di Hospital Kulim, Kedah mengakui tidak dapat melupakan ketika pertama kali menjalani latihan praktikal di hospital.

Menurutnya, ketika menjalani latihan praktikal di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dia berhadapan dengan seorang pesakit kencing manis kronik dan terpaksa membersihkan darah dan nanah.

“Bau busuk yang meloyakan tekak hampir membuatkan saya muntah, tetapi memikirkan tugas serta tanggungjawab, saya bertahan.

“Selepas itu saya tiada selera makan selama beberapa hari memikirkan bau busuk nanah dan darah itu, tetapi selepas itu keadaan menjadi normal.

“Kini, darah, nanah atau apa sahaja adalah sebahagian tugas dan tanggungjawab saya sebagai doktor,” katanya.

Dia mengakui pernah membantu doktor melakukan pembedahan jam 4 pagi selama empat jam membabitkan seorang yang terbabit dalam kemalangan ngeri.

“Saya juga pernah membantu doktor membedah pesakit kanser membuang ketumbuhan dalam perut sebesar sebiji bola, alhamdulillah pesakit itu selamat,” katanya.

Sementara itu, Majlis Konvokesyen UM 2011 berakhir kelmarin selepas dirasmikan Pro Canselornya, Raja Dr Nazrin Shah, minggu lalu.

Konvokesyen itu menyaksikan seramai 6,638 graduan menerima anugerah masing-masing melibatkan 309 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), ijazah sarjana (1,931), ijazah sarjana muda (4,232) dan diploma (166).

Dalam ucapannya, Raja Nazrin mengingatkan graduan menjadi masyarakat berpendidikan tinggi supaya menyempurnakan tanggungjawab dengan membayar balik pinjaman kewangan apabila telah bekerja.

“Graduan juga perlu membantu dan membalas jasa ibu bapa, para pensyarah dan universiti,” katanya.
sumber: myMetro

No comments:

Post a Comment