Saturday 23 June 2012

Usah abai nasib OKU

Usah abai nasib OKU

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) digesa bertindak lebih proaktif dan relevan bagi memastikan nasib golongan orang kelainan upaya (OKU) di negara ini lebih terjamin.
Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh, berkata pelbagai pendekatan sudah dilaksanakan kerajaan bagi membantu golongan itu khususnya orang buta untuk mendapatkan pendidikan sewajarnya, sekali gus menjalani hidup berdikari.

“Ini termasuk mewujudkan dasar pendidikan khas kepada mereka menerusi Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) dan pusat latihan vokasional.
“Namun kita kesal dengan SPA kerana apabila golongan ini (orang buta) membuat permohonan, mereka tidak menerima jawapan positif agensi berkenaan,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan penubuhan Sekretariat Istimewa di Pejabat Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno di Solaris Dutamas di sini, semalam. Menurut Muhd Khairun, kegagalan SPA berbuat demikian menyumbang kepada masalah mendapatkan pekerjaan bagi orang buta hingga merempat dan meminta-minta.

“Kerajaan sebelum ini pernah mengumumkan pelaksanaan dasar satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada OKU, namun sasaran kecil masih gagal dicapai.

“Begitu juga dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 menetapkan mandatori bagi setiap pembangunan dilaksanakan adalah mesra OKU, namun kita kecewa kerana mereka seolah-olah mengambil tanggungjawab secara selektif.

“Kita boleh lihat wujud pelaksanaan dasar terpilih apabila hanya kawasan tertentu seperti Brickfields dilengkapi longkang bertutup sedangkan banyak tempat lain tidak ada, sekali gus mendedahkan golongan ini kepada kemalangan,” katanya.
Atas sebab itu, Muhd Khairun berkata, beliau menggesa KPKT melaksanakan polisi akta secara menyeluruh dan holistik bagi menjamin keselamatan dan keselesaan OKU.
“Perkara ini penting kerana orang buta tidak mempunyai insurans perlindungan. Apapun, kita harap Sekretariat Istimewa ini nanti boleh menjadi pusat sehenti memperjuangkan hak golongan OKU penglihatan,” katanya. Sementara itu, Pengurus Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), Silatul Rahim Dahman berkata, pihaknya mahu kerajaan peka dalam proses pembikinan polisi, undang-undang serta penetapan agenda pembangunan negara bagi memastikan tidak wujud masalah keciciran golongan minoriti, khususnya OKU penglihatan.

sumber: my metro