Thursday 25 August 2011

Dana kebajikan RM1.4 bilion

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebanyak RM1.4 bilion diperuntukkan bagi membantu kira-kira 500,000 penerima bantuan kebajikan masyarakat melalui Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA).

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, bantuan yang akan diberikan pada setiap bulan itu bagi membantu kumpulan sasar yang antaranya terdiri daripada warga emas, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal termasuk balu askar dan polis.

Katanya, langkah itu bagi memastikan golongan tersebut tidak terus berada dalam keadaan terpinggir dan terbiar dalam masyarakat.

"Dalam kemelut ekonomi dunia, kita lihat ada ekonomi negara tertentu yang bukan sahaja tidak menentu tetapi menguncup, ada juga negara yang pencen orang bersara terpaksa dipotong dan bantuan kebajikan terpaksa dikurangkan.

"Tetapi alhamdulillah di Malaysia bukan sahaja kita dapat meneruskan program ini malah dapat menambah lagi jumlah peruntukan untuk rakyat dan mereka yang amat memerlukan," katanya ketika melancarkan program tersebut di pejabatnya di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Peruntukan itu merangkumi bantuan untuk golongan kanak-kanak sebanyak RM290 juta, orang kurang upaya (RM332 juta), warga emas (RM455 juta) dan membiayai program-program kemasyarakatan di peringkat komuniti (RM303 juta).

Di bawah program itu juga, satu kategori baharu bantuan kewangan diperkenalkan bagi balu anggota tentera dan polis yang layak melibatkan peruntukan sebanyak RM4.1 juta.

- Bernama

No comments:

Post a Comment