Saturday 20 August 2011

OKU desak bina jambatan udara di KLIA2

2011/08/20
KUALA LUMPUR: Sembilan badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili golongan kurang upaya menggesa Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menimbangkan semula keputusannya untuk tidak membina jambatan udara (aerobridge) di Terminal Syarikat Penerbangan Tambang Murah yang baru (KLIA2).
Seorang daripada wakil NGO itu, Christine Lee, berkata keputusan itu dibuat tanpa berunding dengan kumpulan pengguna dan tanpa mengambil kira pendapat orang ramai. "Keputusan MAHB untuk tidak membina jambatan udara merupakan langkah ke belakang dan menongkah arus," katanya pada perhimpunan yang dihadiri kira-kira 30 orang yang mengalami pelbagai jenis ketidakupayaan untuk melahirkan kekecewaan mereka berhubung perkara itu di sini, hari ini.
"Jika negara-negara tidak membangun boleh mempunyai jambatan udara di
lapangan terbang mereka, kenapa pula Malaysia yang semakin hampir mencapai
status negara maju, masih terikat dengan perkhidmatan dan infrastruktrur dunia ketiga," kata Lee mengenai kemudahan Persekitaran Bebas Halangan dan Akses Kepada Pengangkutan (BEAT) itu.
Beliau berkata, jambatan udara patut dan mesti dijadikan ciri universal di
semua rekaan dan pembangunan lapangan terbang.
Presiden Persatuan Damai Orang-orang Kurang Upaya Selangor dan Wilayah
Persekutuan, V Murugeswaran, berkata jambatan udara akan menjadikan pergerakan orang ramai untuk turun dan naik pesawat lebih mudah dan selamat khususnya bagi golongan kurang upaya.
"Lapangan terbang tanpa jambatan udara boleh menimbulkan keadaan bahaya dan tidak selesa terutama kepada kami yang mengalami masalah sukar berjalan, orang yang menggunakan kerusi roda, orang yang rabun dan lain-lain ketidakupayaan," katanya. - BERNAMA

p/s: Sangat setuju.....

No comments:

Post a Comment