Monday 15 August 2011

Tidak logik pengemis buta dapat RM1,000 sehari’

KUALA LUMPUR: “Pendapatan orang cacat penglihatan kini terjejas berikutan dakwaan itu,” kata Presiden Persatuan Kebajikan Pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) Cacat Penglihatan Kuala Lumpur, Mohd Salleh Mat Idris.

Beliau mengulas dakwaan Ketua Bahagian Warga Tua dan Keluarga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan, Mujah Hamat berhubung pendapatan pengemis buta yang dipercayai mampu meraih RM500 dan RM1,000 sehari.

Menurutnya, dakwaan itu bukan saja mengundang persepsi buruk masyarakat terhadap orang buta, malah menjejaskan pendapatan golongan cacat penglihatan yang terpaksa menyara keluarga dengan menjual tisu di kaki lima serta premis makanan seluruh negara.

“Dakwaan pengemis cacat penglihatan mampu memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM500 dan RM1,000 sehari, itu jelas tidak logik. “Lagipun tidak semua orang buta mencari rezeki dengan cara sedemikian. Setahu saya, kalau yang menjual tisu di sekitar bandar raya ini, mereka hanya meraih pendapatan sekitar RM40 hingga RM60 saja dalam sehari.

“Itupun tidak ditolak dengan tambang teksi yang perlu dibayar setiap kali hendak pergi atau pulang,” katanya.

Mohd Salleh berkata kenyataan dikeluarkan Mujah itu terlalu bersifat terbuka hingga menjejaskan kehidupan orang buta yang berusaha mencari rezeki halal.

“Bayangkan, umat Islam sedang sibuk membuat persiapan perayaan, warga cacat penglihatan ini juga gigih berusaha menjual tisu untuk meraih pendapatan lebih buat keluarga.

“Namun selepas pihak JKM mengeluarkan kenyataan sedemikian, orang ramai bukan saja mula menjauhkan diri malah ada yang mencemuh usaha mereka,” katanya.

sumber: Metro Online

No comments:

Post a Comment