Friday 6 January 2012

Hidup insan kaki lima


Golongan gelandangan lebih selesa hidup bebas bersama rakan senasib daripada terikat dengan aktiviti kemasyarakatan yang diadakan.


BERMULA pukul 10 malam, apabila orang ramai beransur-ansur meninggalkan pusat bandaraya dan keluar dari ibu kota menuju ke rumah masing-masing, muncul kelibat sekumpulan manusia mula berkeliaran di kaki-kaki lima sekitar ibu kota.
Tidak kira jantina, tua atau muda, masing-masing kelihatan kusut masai membawa sekeping kotak dan segulung surat khabar dengan menggalas sebuah beg di bahu.
Mata mereka sentiasa liar memerhati lokasi mana yang paling sesuai untuk dijadikan tempat bermalam dan cebisan saki baki makanan yang boleh dijadikan ‘santapan’ makan malam.
Ada yang bersendirian, ada yang berkumpulan dan ada juga telah berkeluarga. Ibu menggendong anaknya yang masih kecil dan kotak dan helaian surat khabar menjadi hamparan bagi si kecil itu.
Kedengaran agak tidak masuk akal, namun itulah realiti yang berlaku terhadap golongan gelandangan di negara ini.
Berkesempatan mengikuti Program Agihan Makanan kepada Asnaf Fakir dan Miskin di Wilayah Persekutuan anjuran Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memberi gambaran sebenar kehidupan sebagai golongan yang tidak mempunyai rumah tersebut.
Jika diperhatikan susuk tubuh mereka, boleh dikatakan hampir semuanya masih segar bugar dan bertenaga. Tetapi, perhentian bas, kaki lima dan bangunan terbengkalai juga menjadi pilihan sebagai tempat kediaman.
Tidak kira hujan atau panas dan diserbu pihak berkuasa berulang kali, tidak sesekali menginsafkan diri mereka. Termasuk mengubah kehidupan mereka untuk bercampur dan bersaing dengan masyarakat lain.
Lebih menyedihkan, boleh dikatakan lebih 70 peratus golongan itu adalah berbangsa Melayu dan berstatus bumiputera.
Pada program itu, Baitulmal mengagihkan 300 bungkus makanan kepada gelandangan bermula di sekitar Kampung Baru, Puduraya dan berakhir di sebuah kompleks beli-belah berdekatan.
Golongan itu pada mulanya ketakutan sehingga ada menjerit dan bertempiaran melarikan diri apabila melihat rombongan van MAIWP dan media tiba.
Namun, apabila diberitahu kedatangan itu bertujuan mengagihkan bantuan makanan, bagaikan bulan jatuh ke riba, golongan itu terus menerpa ke arah rombongan.
Tanpa segan silu, mereka pantas membuka bungkusan dan menjamah makanan di ‘rumah’ masing-masing.
Penulis cuba mendekati sepasang suami isteri gelandangan yang pakaiannya kelihatan kusut tetapi mempunyai fizikal yang boleh dikatakan sempurna.
Pasangan suami isteri itu yang hanya ingin dikenali sebagai Mahathir, 36, dan Noraida, 30, berkata, mereka tidak berjaya mencari pekerjaan walaupun setelah lebih dua tahun mencuba nasib di sekitar ibu kota.
Keadaan Noraida yang kelihatan pucat dan tidak sihat memakai sehelai baju sejuk lasam dengan mengikat skarf di leher.
Mahathir berkata, isterinya baru sahaja menggugurkan kandungannya kerana bimbang melahir dan membesarkan anaknya dalam keadaan yang serba kekurangan.
“Bukan saya tak berusaha, pelbagai pekerjaan dah saya cuba minta, tetapi tiada siapa yang ingin mengambil kami bekerja. Orang hanya menganggap kami tidak berguna dan hidup sebagai sampah masyarakat.
“Setelah berbincang dengan isteri, kami mengambil keputusan menggugurkan kandungan isteri saya kerana bimbang terhadap masa depan dan keselamatan bayi itu nanti,” katanya.
Mahathir yang berasal dari Johor Baharu itu menegaskan bahawa dia lebih rela hidup susah daripada mengharap bantuan orang lain.
Menurutnya, dia ke ibu kota dua tahun lalu bersama isterinya untuk mencari rezeki kerana yakin akan memperoleh pekerjaan di lubuk rezeki itu.
“Biarlah orang nak kata apa pun, asalkan saya dan isteri bahagia di sini. Buat masa ini, saya bekerja sambilan sebagai pembantu penjual tiket bas di hentian Puduraya.
“Hasil daripada wang itu saya gunakan untuk membeli makanan kami. Jika ada duit lebih, saya akan pulang ke kampung bertemu orang tua,” jelasnya.
Menceritakan pengalamannya, Mahathir berkata, dia pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah premis perniagaan tetapi ditipu oleh majikannya.
“Salah satu sebab saya tidak bekerja kerana sering ditipu oleh majikan. Pada mulanya mereka tidak membayar gaji penuh seperti yang dijanjikan, lama kelamaan mereka terus tidak membayar langsung,” katanya.
Ditanya mengenai nasibnya tidur di kaki lima selama lebih dua tahun, Mahathir berkata, pada mulanya memang rasa malu dan tidak selesa, namun lama kelamaan sudah menjadi biasa kerana terdapat ramai kawan gelandangan senasib lain.
“Tempat tidur kami di merata-rata tempat. Jika tidak dapat tidur, kami akan menghabiskan seluruh malam dengan bersembang dengan rakan lain.
“Jika hujan pula, kami akan mencari tempat berlindung di kaki lima bangunan atau lorong-lorong untuk berteduh,” katanya.
Bagaimanapun, Mahathir mengakui dia juga ingin hidup seperti orang lain yang mempunyai pekerjaan dan tempat tinggal yang selesa, tetapi malangnya tidak mampu berbuat demikian.

-Utusan Melayu

No comments:

Post a Comment