Thursday 12 January 2012

Ramai tidak ambil peduli masalah kecelaruan jantina


JOHOR BAHRU: Sikap segelintir masyarakat memandang ringan gejala kecelaruan jantina dipercayai antara faktor mengakibatkan masalah itu semakin berleluasa hingga segelintir individu terjebak dalam hubungan sejenis.
Keadaan itu dikhuatiri boleh menyebabkan institusi kekeluargaan semakin goyah selain memupuk generasi masa depan yang tidak mampu memahami erti hubungan mahram mahupun perkahwinan.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Khaidzir Ismail berkata, semakin ramai penduduk negara ini memandang ringan gejala kecelaruan jantina walaupun ia boleh membawa pelbagai kesan buruk terhadap masyarakat dan negara. “Jika zaman dulu, tingkah laku sebegini dianggap sebagai suatu masalah keruntuhan akhlak yang serius dan penyakit kecelaruan minda, sebaliknya kini ia menjadi suatu perkara normal kerana tiada pihak memandang serius.
“Ditambah pula, terdapat segelintir kelab mewujudkan laman web tertentu semata-mata menunjukkan sokongan terhadap golongan terbabit,” katanya.

Dr Khaidzir berkata, bagaimanapun, gejala ini mampu diatasi dengan beberapa cara penyelesaian dengan ia lebih berkesan apabila menerima sokongan pelbagai lapisan masyarakat.

Menurutnya, golongan itu seharusnya digalakkan bertemu pakar psikologi atau psikiatri.

“Bukan mudah mengubah minda golongan ini, oleh itu setiap keluarga seharusnya bersabar dan tidak berputus asa memberi sokongan bagi membolehkan mereka menjalani gaya hidup sihat secara berperingkat,” katanya.

Dr Khaidzir berkata, setiap ibu bapa tidak seharusnya hilang keyakinan terhadap anak masing-masing memandangkan peranan mereka amat penting bagi memastikan golongan ini kembali ke pangkal jalan.
Semalam, akhbar ini mendedahkan pengakuan seorang suri rumah berkaitan hubungan songsang dengan seorang pengkid yang dikenali sebagai Abang Man.

Bermula daripada perkenalan biasa, pasangan itu menjalin hubungan intim tanpa pengetahuan keluarga semata-mata untuk memenuhi nafsu serakah masing-masing.

-my metro

No comments:

Post a Comment