Saturday 28 January 2012

Tak kisah asal boleh ajar Bahasa Inggeris

HULU BERNAM: Seorang lelaki warga Amerika Syarikat sanggup berhijrah dan menetap di kawasan pedalaman di negara ini untuk berkongsi kaedah meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dengan guru tempatan.

Lelaki terbabit, Micheal Van Zander, 32, yang berasal dari Connecticut, New York, Amerika Syarikat kini mula serasi dengan budaya Malaysia dengan matlamat memantapkan teknik pengajaran bahasa Inggeris di sekolah.

Dia yang ditemui melahirkan rasa kagum dengan semangat guru luar bandar di negara ini yang cekal mengajar walaupun melalui pelbagai masalah.
“Kehadiran saya di sini untuk membantu guru bahasa Inggeris tempatan daripada sudut aktiviti pengajaran dan pembelajaran supaya objektif pengajaran,” katanya.

Dia adalah salah seorang Guru Mentor di bawah Program Penutur Jati, Kementerian Pelajaran Malaysia yang dihantar ke sekolah rendah di kawasan Hulu Bernam, Selangor, bagi membantu guru mata pelajaran bahasa Inggeris meningkatkan penguasaan bahasa itu di kalangan murid sekolah rendah.

Zander berkata, dia diberi tanggungjawab melaksanakan tugas itu di lima sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Keledang, SK Sungai Selisik, SK Kampung Shoeharto, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Ladang Changkat Asa dan SJK Cina Kalumpang.

Katanya, sepanjang bersama guru sekolah rendah di bawah seliaannya sejak tahun lalu, dia tidak mempunyai masalah kerana semua guru memberi kerjasama baik.

“Pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris lebih berkesan jika guru sentiasa membabitkan murid dengan mempelbagaikan aktiviti di dalam kelas,” katanya.
Zander yang memiliki Ijazah Ekonomi dari University of Rochester, AS berkata, teknik lakonan, nyanyian dan permainan dalam kelas yang membabitkan penyertaan murid menjadikan suasana dalam kelas lebih menarik untuk mempelajari bahasa Inggeris.
- my metro

No comments:

Post a Comment