Tuesday 6 March 2012

450,000 guru tunggu KUP dilaksana



KUALA LUMPUR : Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) merayu kerajaan melaksanakan skim perkhidmatan khas untuk penyandang (KUP) seperti yang diumumkan kerajaan pada Belanjawan 2012.
Presidennya, Hashim Adnan berkata, NUTP menyokong penuh skim perkhidmatan itu kerana ia membabitkan kira-kira 450,000 guru yang melalui proses kenaikan pangkat berdasarkan cukup tempoh perkhidmatan (time base).

Katanya, sekiranya kenaikan pangkat berdasarkan ‘time base’ itu dapat dilaksanakan sudah pasti mutu kerja guru dapat ditingkatkan dengan jayanya.
“‘Time base’ ialah cukup tempoh masa perkhidmatan apabila guru mendapat kenaikan pangkat, sebagai contoh di bawah sistem baru ini guru siswazah gred DG44 yang berkhidmat lapan tahun akan naik pangkat untuk jawatan gred DG48 berbanding tempoh masa 10 tahun sebelum ini.

“Bagi guru bukan siswazah gred DG29 yang turut berkhidmat lapan tahun akan naik pangkat untuk jawatan gred DG32, jika sebelum ini seorang guru itu terpaksa menunggu 10 tahun untuk naik pangkat, kini hanya lapan tahun saja mereka dapat kenaikan pangkat,” katanya di sini, semalam.

Katanya, NUTP berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelaksanaannya seiring dengan pengumuman semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang bakal diumumkan keputusannya tidak lama lagi.

“Guru sering bertanya kepada kami mengenai KUP ini selepas diumumkan kerajaan tahun lalu kerana lebih 100,000 guru di negara ini masih tidak berpeluang mendapat kenaikan pangkat.

“NUTP yakin Perdana Menteri turut menyampaikan berita baik kepada warga pendidik di negara ini ketika pengumuman keputusan semakan semula SBPA nanti,” katanya.
Katanya, NUTP menyokong penuh penambahbaikan yang dilakukan kerajaan terhadap sistem ‘time base’ yang mula dilaksanakan sejak Sistem Saraan Malaysia (SSM) pada 2002.

Sementara itu, Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng berkata, kesatuan itu turut mengirim telegram kepada Perdana Menteri, kelmarin merayu menjaga kebajikan guru di negara ini.

--my metro--