Wednesday 7 March 2012

Saya kena usaha lebih’

SELAYANG: “Saya amat bersyukur kerana berjaya membuktikan insan cacat penglihatan seperti saya ini juga mampu berjaya dan memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan seperti insan normal lain,” kata pelajar istimewa cemerlang kategori buta bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Malik (B), Alor Setar, Kedah, Anis Nabilah Wahab.
Anis Nabilah, 20, yang menghadapi masalah cacat penglihatan sejak dilahirkan berjaya memperoleh keputusan 1A, 1A- dan 2B sekali gus membolehkannya menjadi pelajar cemerlang dengan menerima hadiah berupa wang tunai RM1,000, sijil penghargaan dan sebuah plak.

Menurutnya, dorongan daripada ibu bapa menjadi semangat utama baginya untuk berjaya dan amat berterima kasih kepada rakan-rakan yang banyak memberikan bantuan untuknya belajar tanpa melihat kepada kekurangan dimilikinya.

Katanya, walaupun menghadapi sedikit masalah dalam mata pelajaran Pengajian Am kerana membabitkan pengiraan namun tidak mematahkan semangatnya yang memang berminat untuk mengambil STPM berbanding melanjutkan pengajian ke peringkat diploma.

“Saya terpaksa melebihkan waktu untuk belajar kerana saya bukan seperti insan lain. Tetapi saya yakin kekurangan yang dimiliki ini pasti ada hikmahnya dan kini baru saya tahu sesiapa saja boleh berjaya sekiranya mempunyai kemahuan.


“Selepas habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya tidak memohon untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) sebaliknya memilih untuk menduduki peperiksaan STPM dan tidak kisah walaupun ada mengatakan STPM susah.

“Tinggal di asrama sekolah menyebabkan saya mempunyai banyak masa untuk mengulangkaji dan selepas ini saya akan cuba mencapai cita-cita untuk menjadi seorang pensyarah agar masa depan lebih terjamin,” katanya.
--berita harian--