Tuesday 6 March 2012

Ustaz mengaku salah sebab kematian pelajar


HANIF (kiri) diserbu jurugambar ketika dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Alor Setar selepas mengaku bersalah, semalam.
HANIF (kiri) diserbu jurugambar ketika dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Alor Setar selepas mengaku bersalah, semalam.
ALOR SETAR: Seorang ustaz sebuah sekolah agama persendirian di Arau, Perlis mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, semalam, terhadap pertuduhan pilihan menyebabkan kematian pelajar Tahun Satu, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, tahun lalu.

Hanif Mohd Ali, 28, yang berasal dari Teluk Intan, Perak membuat pengakuan salah itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Zaki Abdul Wahab.
Tuduhan pindaan itu dibuat selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun berjaya membuktikan kes itu mengikut Seksyen 304 (a) kanun sama.
Sebelum ini, tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Kangar, Perlis namun tiada sebarang pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Terdahulu, Hanif yang berjubah putih dan berkopiah ketika membuat permohonan kepada mahkamah untuk meringankan hukuman ke atasnya, turut menyatakan rasa kesalnya terhadap tindakan yang menyebabkan kematian kanak-kanak berusia tujuh tahun itu.

“Saya mohon maaf kepada semua pihak terhadap tindakan saya dan merayu mahkamah meringankan hukuman kerana masih mempunyai keluarga yang uzur termasuk hutang pengajian dan bukannya hutang peribadi.

“Saya juga berharap pihak mahkamah dapat menghukum saya selayaknya dan apa yang berlaku adalah di luar jangkaan saya. Berilah saya peluang untuk memperbaiki diri dan bertaubat,” katanya.
Sementara itu, pihak pendakwa memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh kerana menyebabkan kematian mangsa, selain menyifatkan tertuduh sudah menyalahgunakan kuasanya sebagai warden asrama.

Mengikut pertuduhan, Hanif didakwa kerana menyebabkan kematian Saiful Syazani di Sekolah Rendah Agama Al Furqan, Jejawi, Perlis.
--my metro--
Hanif dituduh melakukan kesalahan itu di bilik warden asrama putera sekolah terbabit antara jam 6 petang hingga 12 tengah malam pada 31 Mac 2011.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin dan Nadia Hanim Mohd Tajuddin, manakala tertuduh diwakili Ariff Azami Hussien, Azizul Shariman Mat Yusoff, Zulmi Sabri dan Mohd Fikri Abdul Rahman.