Wednesday 1 June 2011

Dasar pembiayaan biasiswa JPA dikaji semula

KUALA LUMPUR 1 Jun - Kerajaan akan mengkaji semula dasar pembiayaan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang bakal dilaksanakan tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, kajian tersebut akan dijalankan secara menyeluruh termasuk membabitkan kuota pemberian biasiswa yang sebelum ini terhad kepada 1,500 pelajar cemerlang.

Menurut beliau, rasional kerajaan untuk menjalankan kajian berkenaan adalah bagi mengelak pelbagai kekeliruan dan jangkaan berhubung pembiayaan tersebut pada masa depan.

"Kalau menyebut soal jangkaan, kita lihat jumlah pelajar cemerlang semakin bertambah. Kemampuan kerajaan untuk menampung pembiayaan biasiswa turut menjadi antara faktor mengapa dasar itu perlu dikaji semula," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di bangunan Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, isi kandungan berkaitan dasar baru itu akan diumum secepat mungkin bagi membolehkan pelajar memperoleh maklumat mengenainya lebih awal.

Dalam perkembangan lain Mohamed Nazri menjelaskan, beliau telah diberi tanggungjawab oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mempengerusikan mesyuarat bagi menyenaraikan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh 8A+ ke bawah untuk diberi penajaan pengajian di bawah 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

"Mesyuarat akan diadakan Isnin ini membabitkan menteri-menteri yang mewakili parti komponen (Barisan Nasional) termasuk Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam serta Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

"Mesyuarat itu akan menyenaraikan nama-nama pelajar yang tidak termasuk dalam kategori 9A+ dan 8A+ untuk kita taja menerusi 1MDB. Justeru, setiap menteri bagi parti komponen telah dimaklumkan untuk menyediakan senarai nama mereka.

"1MDB sedia tawar tempat sekurang-kurangnya kepada 500 pelajar. Tahun lepas 1MDB telah menaja 360 pelajar dan tahun ini kita boleh taja lebih ramai lagi," jelasnya.

No comments:

Post a Comment