Wednesday 1 June 2011

Pelajar OKU terima anugerah cemerlang

KUALA LUMPUR 31 Mei - Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia mahu golongan orang kurang upaya (OKU) tidak hanya mengejar kecemerlangan akademik tetapi mampu menguasai bidang lain.

Presidennya, Mohd. Nazari Othman berkata, meskipun cacat, setiap individu mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada pembangunan modal insan yang menjadi aset negara.

"Mereka juga seharusnya mempunyai anjakan paradigma dan pengetahuan tentang teknologi baru agar mampu bersaing dengan golongan normal serta tidak ketinggalan dalam arus pemodenan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menutup Kursus Anjakan Paradigma Pekerja OKU Penglihatan Peringkat Kebangsaan 2011 dan anugerah Pelajar OKU Penglihatan Cemerlang 2010 di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai empat pelajar cacat penglihatan menerima anugerah bagi setiap kategori peperiksaan awam dari Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sehingga Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Bagi kategori pelajar cemerlang STPM, ia diberikan kepada Mohd. Rifaat Husin yang mendapat 4A 1B manakala Tang Kah Huang menerima kategori Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di atas kejayaannya memperoleh 10A.

Sementara itu, Nor Amirah Azali yang mendapat 6A, 1B dan 1C dipilih penerima kategori Penilaian Menengah Rendah (PMR) manakala Celene Lean, yang mendapat 5A dipilih penerima UPSR.

No comments:

Post a Comment