Wednesday 8 June 2011

Pilih telus, ikut merit

PUTRAJAYA: Pemilihan 35,000 pelajar yang merayu untuk memasuki program matrikulasi sesi 2011/12 dibuat secara telus dan berdasarkan merit bagi memastikan hanya mereka yang layak serta memenuhi syarat saja diterima masuk.

Mereka yang merayu termasuk 113 pelajar diploma tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menolak tawaran dan ingin mengikuti pengajian dalam program matrikulasi.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, jumlah yang merayu adalah besar namun pihaknya tidak mempunyai cukup tempat untuk menampung semua pelajar.

Katanya, isu mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak diterima ke program berkenaan juga tidak timbul kerana pemilihan dibuat berdasarkan merit ditetapkan.

“Ada yang mempertikaikan kenapa ada pelajar yang mendapat 8A diterima masuk, sedangkan pelajar yang mendapat keputusan 10A tidak diterima.

“Sebenarnya, kita melihat kepada empat subjek utama untuk diterima masuk ke program matrikulasi iaitu Matematik, Matematik Tambahan, Kimia dan Fizik serta Biologi, jika pelajar 8A mendapat A + dalam empat mata pelajaran berkenaan, sudah pasti dia akan diterima.

“Tetapi jika pelajar yang mendapat 10A hanya mendapat A+, 2A- dan 1A dalam keempat-empat mata pelajaran itu kita tidak terima, dan syarat itu membabitkan semua pelajar sama ada Bumiputera atau bukan Bumiputera” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan taklimat mengenai pengambilan pelajar ke program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Sesi 2011/2012 kepada parti komponen Barisan Nasional di sini, semalam.

Pada majlis berkenaan, beberapa wakil daripada MCA, MIC, Gerakan dan PPP hadir untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung beberapa kekeliruan yang timbul mengenai pengambilan pelajar matrikulasi bagi sesi berkenaan.

Dr Mohd Puad berkata, taklimat berkenaan dibuat selepas mendapat arahan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran supaya semua pihak jelas mengenai pengambilan pelajar matrikulasi terutama bagi bukan Bumiputera.

Menurutnya, selain rayuan, pelajar juga keliru mengenai pengkhususan dalam program berkenaan.
\
Katanya, isu pelajar tidak diberitahu mengenai pengkhususan tidak timbul kerana perkara itu tidak pernah wujud dan ia timbul berikutan kekeliruan pelajar sendiri.


sumber: My Metro

No comments:

Post a Comment