Tuesday 22 January 2013

Punca ponteng sekolah dalam kalangan pelajar asrama


Laporan tentang Punca  Masalah Ponteng Sekolah
dalam  Kalangan  Pelajar Asrama

1.0   Pendahuluan

Masalah ponteng merupakan satu perbuatan salah laku dan melanggar peraturan sekolah. Sejak akhir-akhir ini masalah ini semakin menjadi-jadi dan telah sampai ke peringkat yang serius. Media massa juga sering menyiarkan berita tentang masalah ini sehingga pihak guru dan ibu bapa berasa sesuatu tindakan tegas perlu dilakukan segera sebelum gejala ini semakin berleluasa sehingga ke peringkat yang lebih kronik lagi. Menurut laporan yang pernah dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, peratus pelajar yang terbabit dengan gejala ponteng  didapati semakin meningkat dari semasa ke semasa. Umumnya masalah ponteng ini sering dikaitkan dengan pelajar sekolah yang berulang alik dari rumah sahaja, namun bergitu pada hari ini masalah ponteng ini juga melibatkan pelajar-pelajar yang tinggal di asrama sekolah. Baru-baru ini, saya telah diminta untuk membuat laporan bagi mengenalpasti kesan dan langkah mengatasi masalah ponteng sekolah dalam kalangan pelajar asrama. Berikut adalah laporan tersebut.

2.0   Senarai  Ahli Jawatankuasa

Pengerusi:                  Rabiatul Adawiyah Muhamad
Setiausaha:                 Mailin Mopinpin
Bendahari:                  Nifail Nausar
Ahli Jawatankuasa:
1)      Nizam Saimin
2)      Fara Chua Ai Fong

3.0   Punca Masalah Ponteng dalam Kalangan  Pelajar Asrama

3.1   Diri Sendiri

Masalah ponteng sekolah di kalangan pelajar dari aspek diri adalah punca penting yang menentukan kemampuan diri sendiri.  Kebanyakan pelanggaran disiplin pelajar berpunca dari faktor diri sendiri iaitu faktor dalaman. Faktor dalaman seperti sikap, minat, motivasi  dan keyakinan diri pelajar itu sendiri merupakan faktor utama yang menyumbang kepada ponteng sekolah.Sikap negatif pelajar terhadap persekolahan banyak mewujudkan masalah ponteng kerana mereka tidak sedar akan kepentingan pendidikan. Bagi mereka, sekolah itu merupakan satu bebanan kepada mereka. 

3.2   Rakan Sebaya

Pada peringkat remaja, rakan sebaya merupakan satu aspek penting yang dapat mempengaruhi kehidupan. Kecenderungan untuk bercampur gaul dengan rakan sebaya menyebabkan pelajar sekolah tidak berhati-hati dalam membuat pilihan rakan sebaya. Di asrama juga kecenderungan  tidak berhati-hati memilih rakan sebaya mengakibatkan pelajar mudah terikut-ikut dengan corak kehidupan yang negatif. Contohnya jika rakan sebaya sering ponteng sekolah pelajar akan terikut-ikut dengan gaya kehidupan tersebut. Pelbagai alasan yang akan diberikan kepada warden untuk mengelakkan diri dari  hadir ke  sekolah seperti masalah kesihatan, pakaian basah, pakaian sekolah dicuri dan sebagainya.  Umumnya pada peringkat umur remaja  adalah  satu peringkat membentuk identiti  sendiri seperti  tingkah  laku, memilih rakan sebaya, cara berpakaian dan lain-lain. Jika peringkat ini gagal diperoleh, pelajar tersebut akan tertekan dan cenderung untuk melanggar disiplin sekolah seperti ponteng sekolah.  Ada juga rakan sebaya yang mempunyai sikap dan motivasi yang positif terhadap mutu pelajarannya serta menilai salah laku disiplin sebagai negatif dan  dapat membantu anggota rakan yang lain untuk sama- sama berjaya dalam segala lapangan yang diceburi. Justeru itu,  terpulang kepada pelajar asrama itu sendiri untuk memilih rakan sebaya  yang terbaik untuk masa depan mereka sendiri .

3.3   Sikap Ibu Bapa

Punca masalah ponteng sekolah yang seterusnya ialah sikap ibu bapa tidak mengambil berat terhadap anak-anak mereka di asrama. Keadaan ini menyebabkan mereka memberontak dan melakukan masalah disiplin seperti ponteng sekolah. Kebanyakan ibu bapa menghabiskan masa yang banyak mencari kekayaan dan mengejar status sehinggakan tiada masa untuk melawat anak mereka di asrama. Peranan Ibu bapa diserahkan terus kepada warden di asrama. Ini menyebabkan pelajar tersebut merasakan diri mereka terpinggir seperti ayam kehilangan ibu. Kesannya mereka  akan melanggar disiplin seperti ponteng sekolah seolah-olah memberontak dengan sikap ibu bapa mereka yang kurang memberi perhatian terhadap diri mereka.

3.4   Sikap Guru  dan Pengajaran  dalam Kelas

Sikap guru merupakan faktor yang penting dalam masalah ponteng sekolah. Adakalanya guru tidak menghormati peranan pelajar di sekolah. Hormat menghormati merupakan salah satu nilai murni yang perlu diamalkan oleh setiap individu tanpa mengira had umur, darjat, keturunan dan agama. Apabila kita menghormati seseorang, maka sudah tentu kita akan dihormati. Ini merupakan proses interkasi sosial yang biasa dalam sesebuah masyarakat. Andainya terdapat guru yang tidak menghormati pelajarnya sebagai seorang pelajar yang mempunyai hak tersendiri, maka pelajar tersebut akan bertindak balas untuk memenuhi kehendak nalurinya membalas dendam ini akan ditafsirkan sebagai tingkah laku “devian” dan seterusnya mengambil jalan mudah dengan ponteng sekolah. Selain itu, pengajaran guru di dalam kelas yang membosankan menyebabkan  pelajar sering ponteng sekolah. Pengajaran guru di dalam kelas perlulah menarik minat pelajar. Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menarik  perlu diambil kira untuk menarik minat pelajar untuk datang ke sekolah.
 .

4.0  Penutup

Kesimpulannya, terdapat pelbagai punca yang menyebabkan gejala ponteng sekolah berlaku dalam kalangan pelajar asrama. Dalam hal ini, semua pihak hendaklah berganding bahu untuk membenteras gejala ini sehingga ke akar umbi. Jika tidak gejala ponteng ini akan mencetuskan pelbagai masalah lain yang lebih buruk lagi jika tidak di  bendung. Kerjasama dari pihak sekolah serta pengurusan asrama seperti warden dan penyelia asrama dalam membantu menangani  masalah ponteng sekolah dalam kalangan pelajar asrama kerana mereka merupakan generasi muda yang akan menjadi pemimpin pada masa depan.




            Laporan di sediakan oleh,                                                          22 Januari 2013
Mailin mopinpin
………………………………………….
(MALIN MOPINPIN)
Setiausaha Unit Asrama
SMK Badin Tuaran
Sabah

 P/S Akhirnya siap satu contoh karangan berformat untuk pelajar pendidikan khasku. Semoga contoh karangan berformat ini dapat membantu mereka dalam menghadapi ujian pada hari jumaat ini..