Wednesday 4 May 2011

300,000 OKU masih tidak daftar JKM

IPOH 3 Mei - Dianggarkan terdapat dua peratus atau seramai 600,000 penduduk negara ini terdiri daripada orang kurang upaya (OKU) tetapi hanya sekitar 300,000 orang yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Hadzir Md. Zain berkata, punca utama ialah kerana ibu bapa merasa malu mempunyai anak OKU dan tidak mengetahui kemudahan yang disediakan oleh kerajaan kepada golongan istimewa itu.

''Setakat ini, hanya lebih kurang 300,000 penduduk negara berdaftar dengan JKM tetapi kita anggarkan terdapat separuh lagi yang belum berdaftar.

''Oleh itu, kita minta ibu bapa supaya tidak merasa malu untuk mendaftarkan anak-anak mereka dengan JKM bagi membolehkan mereka mendapat kemudahan yang disediakan oleh kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Intervensi Awal Mencegah Berlakunya Kecacatan kepada Kanak-kanak di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.

Kempen anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Hadzir, salah satu program yang disediakan oleh JKM kepada OKU adalah program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) melalui sebanyak 428 pusat PDK di seluruh negara.

Katanya, di pusat pemulihan harian itu, keluarga bersama tenaga pengajar memberi latihan kepada anak mereka dan setiap kanak-kanak berkenaan menerima elaun bulanan sebanyak RM150.

''Kanak-kanak OKU perlu dibawa ke pusat untuk pemulihan kerana intervensi peringkat awal boleh meningkatkan keupayaan apabila remaja dan banyak kes menunjukkan mereka berjaya pulih.

''Kita hendak golongan OKU boleh uruskan diri sendiri kerana jika terlantar, usaha ibu bapa mencari pendapatan akan terjejas," katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya meletakkan sasaran untuk mewujudkan tambahan 20 pusat PDK pada setiap tahun supaya lebih ramai anggota masyarakat mendapat manfaat daripadanya.

sumber: Utusan

No comments:

Post a Comment