Sunday 8 May 2011

NUTP cadang tugas rekod BMI pelajar dilakukan jururawat

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan Kementerian Kesihatan mengendalikan masalah obesiti di kalangan pelajar dengan menghantar jururawat secara berkala ke sekolah untuk merekod indeks jisim badan (BMI) pelajar.
Presidennya, Hashim Adnan berkata tugas merekod BMI seharusnya diserah kepada jururawat kerana mereka lebih berpengetahuan dalam bidang kesihatan. "Kami mencadangkan agar jururawat dibenar datang ke sekolah secara berkala supaya mereka sendiri yang menerangkan mengenai kesihatan kepada pelajar serta merekodkan BMI," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco ke-9 di Hotel Vistana di sini hari ini. Turut hadir ialah Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng.

Hashim berkata, sekiranya tugas merekod BMI pelajar sekolah dilakukan oleh jururawat, ia dapat meringankan beban guru.

Sementara itu, Lok berkata NUTP tidak bersetuju jika ada sekolah terutama yang mengamalkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) menambah waktu pembelajaran dari 46 waktu kepada 52 waktu seminggu (1,380 minit).

"Jika waktu pembelajaran ditambah, ia dibimbangi memberi masalah kepada pelajar kerana kurangnya masa berehat di rumah dan masa untuk bermain kerana terpaksa berada lebih lama di sekolah," katanya.

Lok berharap pihak sekolah tidak menambah waktu tanpa kebenaran pihak tertentu agar pelajar dapat melalui proses pembesaran yang sihat, kreatif, boleh berfikir dan inovatif.

Mengenai sistem penilaian pelajar, beliau berkata pihaknya menerima rungutan guru yang terpaksa menyediakan borang penilaian pelajar secara manual kerana program di dalam komputer khusus untuk menilai pelajar belum siap.

"Guru terpaksa menyediakan 18 helai borang penilaian bagi setiap subjek kerana program itu belum siap. Ini telah mengganggu tugas guru dan membebankan mereka kerana terpaksa melakukan perkara itu pula," katanya.

Lok berharap Kementerian Pelajaran khususnya Lembaga Peperiksaan Malaysia mempercepatkan proses pemantapan ICT untuk digunakan guru di sekolah bagi memudahkan mereka membuat penilaian terhadap pelajar. - BERNAMA

sumber: Berita harian

No comments:

Post a Comment