Saturday 14 May 2011

Khabar gembira pada sambutan hari guru isnin ini?

KUANTAN 14 Mei — Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengumumkan khabar gembira buat warga pendidik bersempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei ini.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut, sebaliknya berkata: “Insya-Allah, tunggulah...”.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama warga pendidik Pahang di sini hari ini, Muhyiddin berkata, cabaran baru warga pendidik kini amat mencabar dalam usaha kerajaan mencapai hasrat menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

"Paling utama ialah soal menyediakan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran selari dengan sasaran menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020,” katanya.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata, peranan guru amat penting dalam mendidik anak bangsa bagi mewujudkan modal insan berkualiti pada masa depan.

Katanya, kerajaan juga telah menggariskan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang bakal menyediakan 33 juta peluang pekerjaan serta tenaga kerja terlatih dalam semua bidang.

"Terdapat 12 sektor ekonomi perlu diisi dengan tenaga manusia terlatih dan ia merupakan cabaran besar untuk disediakan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

"Dalam konteks menjadi negara maju, kita berhadapan dengan persaingan, kecekapan pengurusan, keupayaan menjana sumber baru dan nilai tambah tinggi yang mana perkara itu berpandukan kepada penyediaan tenaga kerja terlatih,” katanya.

Beliau berkata kesemua perkara itu memerlukan tuntutan warga pendidik yang mempunyai beban tugas mencabar bagi membentuk manusia terlatih. — Bernama

sumber: Utusan

No comments:

Post a Comment