Monday 30 May 2011

CD interaktif untuk murid disleksia

PENYELIDIK Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Syariffanor Hisham berjaya menghasilkan cakera padat (CD) interaktif MyLexics yang dicipta khusus untuk membantu kanak-kanak disleksia berusia tiga tahun ke atas mempelajari pengetahuan asas bahasa Malaysia.

Menurut beliau, berdasarkan maklum balas daripada ibu bapa dan guru prasekolah, MyLexics juga sesuai digunakan untuk kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran seperti Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD) dan autisme.

"Keputusan penilaian penggunaan di tiga pusat Persatuan Disleksia Malaysia menunjukkan peningkatan ketara dalam prestasi pembelajaran kanak-kanak disleksia setelah menggunakan CD MyLexics," katanya.

CD tersebut mengandungi dua modul iaitu Pembelajaran dan Aktiviti. Dalam modul Pembelajaran terdapat sub modul Abjad, Suku Kata dan Perkataan.

Manakala modul Aktiviti pula terdiri daripada beberapa permainan berasaskan pembelajaran yang bertujuan menggalakkan kanak-kanak tersebut untuk mencuba dan menilai kefahaman masing-masing tentang sub modul Pembelajaran.

Produk ini juga sesuai digunakan di peringkat prasekolah atau sekolah rendah khususnya untuk kelas pemulihan dan kelas pendidikan khas.

Untuk maklumat lanjut, hubungi talian 06-3316691 atau e-mel kepada syariffanor@utem.edu.my.

sumber: Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment