Wednesday 4 May 2011

Elak risiko anak cacat kekal

IPOH 3 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ibu bapa perlu memahami punca kepada risiko yang boleh menyebabkan berlaku kecacatan dalam kalangan anak-anak.

Menurutnya, pemahaman awal terhadap punca itu akan membolehkan tindakan pencegahan dilakukan segera, sekali gus dapat mengelak sebarang risiko kecacatan kepada anak-anak.

Beliau menarik perhatian, ada ketikanya, tindakan yang perlu dilakukan bagi mengelak kepada berlakunya risiko kecacatan itu sangat mudah.

''Sebagai contoh, jika suhu badan anak kita tinggi kerana demam, terapi untuk menurunkan suhu badan tersebut sangat mudah iaitu dengan hanya meletakkan seketul ais di kepala.

''Tetapi jika kita tidak sedar dan tidak ada pengetahuan, ia boleh memberi kesan buruk kerana demam panas pada tahap tinggi boleh menyebabkan kecacatan sepanjang hayat," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Semai Bakti, Kempen Intervensi Awal Mencegah Berlakunya Kecacatan Kepada Kanak-Kanak anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) di Stadium Indera Mulia, di sini hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua Bakti, Datin Seri Rosmah Mansor; Naib Yang Dipertua Bakti, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli serta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Najib berkata, keupayaan serta keperluan ibu bapa untuk menguasai ilmu mencegah kecacatan awal sangat penting demi perkembangan anak-anak.

Sehubungan itu, beliau memuji langkah Bakti menerbitkan Buku Manual Panduan Pencegahan Kecacatan Kanak-Kanak dan berharap sektor swasta dapat bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerbitkan lebih banyak buku manual seumpama itu.

Sementara itu, Najib memberitahu, sejak Program Semai Bakti dilancarkan pada 2005, seramai 14,000 kanak-kanak istimewa telah menerima latihan di 428 pusat Pemulihan Dalam komuniti (PDK) dan hampir 4,500 lagi menerima latihan daripada petugas PDK di rumah masing-masing.

''Di sebalik kejayaan pusat PDK ini, saya percaya terdapat lagi kanak-kanak istimewa yang belum diketengahkan oleh ibu bapa, mungkin disebabkan perasan malu atau mengambil sikap berserah.

''Sewajarnya perasaan sedemikian tidak harus wujud kerana berdasarkan pendapat pakar perubatan, kanak-kanak kelainan upaya ini berpotensi diberikan latihan, didikan dan bimbingan bagi membolehkan mereka menjadi individu produktif dan berupaya menyumbang kepada masyarakat dan negara," katanya.

sumber: Utusan Melayu

No comments:

Post a Comment