Sunday 17 April 2011

BMI pelajar dicatat dalam kad laporan prestasi

PETALING JAYA 17 April — Dalam usaha mengurangkan masalah berat badan berlebihan dan obesiti di kalangan rakyat negara ini, kerajaan kini mewajibkan setiap indeks jisim badan (BMI) pelajar direkod dalam kad laporan prestasi oleh guru mereka untuk perhatian ibu bapa.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sebelum ini BMI tidak dicatat dalam kad laporan pelajar menyebabkan ibu bapa tidak dapat mengawal pemakanan anak-anak mereka kerana tidak tahu sama ada berat badan anak mereka ideal, terlebih berat atau mengalami obesiti.

"Dengan langkah itu, jika ada yang mempunyai berat badan berlebihan atau mengalami obesiti, ibu bapa boleh mendapatkan nasihat daripada klinik kesihatan berdekatan bagi membantu anak-anak mereka mendapatkan kembali berat badan yang ideal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penutup Konvensyen Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) dan melancarkan kad ahli PPKK 2010-2013 di sini hari ini.

Beliau berkata, selain itu, berkuatkuasa serta merta penjualan makanan yang tidak sihat seperti yang mengandungi gula dan garam berlebihan serta minuman ringan tidak lagi dibenarkan di kantin-kantin sekolah.

Langkah itu yang dipersetujui dalam satu mesyuarat jawatankuasa dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 4 April lepas adalah permulaan untuk memperkenalkan gaya hidup yang lebih sihat di peringkat awal berikutan Malaysia berada pada kedudukan keenam di Asia sebagai negara yang mempunyai orang dewasa obesiti yang tinggi. — Bernama

sumber: Utusan Online

No comments:

Post a Comment